PERKEMBANGAN
MASYARAKAT ISLAM SEMASA PEMERINTAHAN
KHULAFA’ AL-RASYIDIN DI SEMENANJUNG TANAH ARAB
KHULAFA’ AL-RASYIDIN DI SEMENANJUNG TANAH ARAB
Pemerintahan Khulafa’
al-Rasyidin berlaku setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, iaitu antara tahun 632
M hingga 661 M. Pada zaman ini, pemerintahan berpusat di Madinah dan diperintah
oleh empat orang khalifah yang dikenali sebagai Khulafa al-Rasyidin.
Khulafa’ al-Rasyidin yang
pertama ialah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq yang memerintah pada tahun 632 M
hingga 634 M. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Islam mula
berpecah kepada empat golongan iaitu Muhajirin, Ansar, Bani Hashim dan
aristokratik kerana ingin menjawat jawatan sebagai khalifah bagi menggantikan
Rasulullah SAW memerintah negara dan
umat Islam. Masalah perpecahan orang Islam ini telah diselesaikan oleh Khalifah
Abu Bakar al-Siddiq dan berdasarkan kewibawaan, ketokohan, hubungan rapat
dengan Nabi Muhammad SAW dan masyarakat Islam serta kepimpinan yang ada pada
beliau. Masyarakat Islam bersetuju untuk melantik beliau sebagai Khulafa’ al-Rasyidin
yang pertama. Semasa pemerintahan beliau juga, telah muncul satu kumpulan
baharu di Madinah, iaitu masyarakat yang keluar dari Islam dan masyarakat yang
tidak mahu membayar zakat. Golongan ini telah dihapuskan oleh Khalifah Abu
Bakar al-Siddiq dengan gerakan berbentuk ketenteraan dikenali sebagai Gerakan
al-Riddah dan mereka kembali menganut Islam yang sebenar. Namun, beliau telah
meninggal dunia pada 13 H kerana sakit tua.
Setelah wafatnya Khalifah Abu
Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar al-Khattab telah dilantik sebagai khalifah yang
kedua. Semasa pemerintahan beliau, masyarakat Islam hidup aman damai kesan
pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sebelumnya dan beliau hanya
menumpukan perhatian kepada perluasan kawasan dan penaklukan seperti penaklukan
ke atas Parsi, Syria, Palestin dan Mesir. Oleh itu, Islam berjaya berkembang
dengan pesat melalui penaklukan tersebut. Namun, terdapat juga golongan yang
tidak menyenangi pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sehingga membawa kepada
peristiwa pembunuhan beliau. Khalifah Umar al-Khattab telah meninggal dunia
akibat dibunuh pada Rabu 26 Zulhijjah 23 H di dalam masjid ketika beliau sedang
mengerjakan solat subuh.
Khalifah Umar al-Khattab telah
digantikan oleh Khalifah Uthman bin Affan sebagai Khalifah al-Rasyidin yang
ketiga. Sewaktu enam tahun pertama pemerintahan beliau, masyarakat Islam telah
hidup dalam aman damai kesan pemerintahan khalifah-khalifah sebelumnya namun
selepas itu masyarakat Islam berada dalam perpecahan dan kucar-kacir disebabkan
sikap dan polisi pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Antaranya ialah
tindakan beliau yang memecat pegawai pentadbir dan kakitangan kerajaan
berpengalaman dan berwibawa yang dilantik oleh khalifah-khalifah sebelumnya dan
mereka telah digantikan dengan ahli keluarganya yang terdiri daripada Bani
Umayyah. Oleh hal yang demikian, masyarakat Islam telah terbahagi kepada dua
golongan iaitu golongan penyokong yang terdiri daripada keturunan Bani Umayyah
dan golongan penentang. Golongan penentang tersebut telah melakukan kepungan di
rumah Khalifah Uthman bin Affan selama dua hari dan akhirnya pada 13 Zulhijjah
35 H beliau telah dibunuh di rumah sewaktu sedang membaca al-Quran. Kesan
pembunuhan tersebut, perpecahan masyarakat Islam semakin memuncak dan wujudnya
dua golongan iaitu penyokong Khalifah Uthman bin Affan dan anti kepada Khalifah
Ali bin Abu Talib dan penyokong Khalifah Ali bin Abu Talib.
Khalifah yang keempat dan
terakhir ialah Khalifah Ali bin Abu Talib yang menggantikan Khalifah Uthman bin
Affan. Pada peringkat awal masyarakat Islam terdiri daripada dua golongan iaitu
golongan penyokong Khalifah Ali bin Abu Talib yang terdiri daripada keturunan
Bani Hashim dan golongan penentang Khalifah Ali bin Abu Talib yang terdiri
daripada keturunan Bani Umayyah pimpinan Muawiyah bin Abu Sufyan. Golongan
penentang ini mendakwa Khalifah Ali bin Abu Talib terlibat dalam pembunuhan
Khalifah Uthman bin Affan dan mendesak beliau menyiasat dan mencari pembunuh
sebenar. Keadaan ini menyebabkan pertelingkahan antara dua golongan tersebut
dan keadaan ini menjadi semakin buruk apabila Khalifah Ali bertindak memecat
pegawai dan kakitangan keturunan Bani Umayyah yang dilantik oleh Khalifah
Uthman. Muawiyah telah mempengaruhi bekas isteri Nabi Muhammad SAW, iaitu
Saidina Aishah binti Abu Bakar al-Siddiq kerana dendamnya terhadap Khalifah Ali
bin Abu Talib yang tidak bersetuju dengan perlantikan Khalifah Abu Bakar. Oleh
hal yang demikian, masyarakat Islam terbahagi kepada tiga golongan iaitu
golongan Bani Hashim, golongan Bani Umayyah dan golongan pimpinan Saidatina
Aishah dan Abdullah bin Zuber. Perpecahan masyarakat ini sampai ke
penghujungnya pada tahun 656 M apabila berlaku Perang Jamal antara Bani Hashim
dengan Saiditina Aishah dan perang tersebut berpihak kepada Khalifah Ali. Pada
tahun 658 M pula, Bani Umayyah pimpinan Muawiyah melancarkan Perang Siffin ke
atas Khalifah Ali dan serangan ini berakhir dengan perdamaian melalui Majlis
Tahkim pada 17 Hijrah. Rentetan perang tersebut, pada tahun 661 M, Khalifah Ali
telah dibunuh oleh golongan Khawarij semasa beliau bersama Muawiyah dan Amr
al-As berada di dalam Masjid Kufah pada 17 Ramadan 40 H.
Kesimpulannya, keempat-empat
Khulafa’ al-Rasyidin yang menggantikan Nabi Muhammad SAW telah berusaha
sedaya-upaya untuk mempertahankan negara Islam di samping mengembangkan ajaran
umat Islam.