Monday, 1 December 2014

PEMBENTUKAN & PENYATUAN UMMAH DI MADINAH

PEMBENTUKAN & PENYATUAN UMMAH OLEH NABI MUHAMMAD SAW 
DI KOTA MADINAH

PENDAHULUAN
Ummah bererti masyarakat atau umat manusia. Perkataan ummah disebut dalam al-Quran sebanyak 40 kali. Umat-umat yang disebut dalam al-Quran termasuklah umat Nabi Ibrahim a.s.,umat Nabi Isa a.s., dan umat Nabi Muhammad SAW. Dalam konteks ummah pada zaman Nabi Muhammad SAW di Madinah, ia tidak sahaja terhad kepada umat Islam sahaja, tetapi juga termasuk umat bukan Islam seperti kaum Yahudi yang berada di Madinah ketika itu. Dengan kata lain, ummah Nabi Muhammad SAW ialah masyarakat yang mematuhi undang-undang negara Islam sama ada mereka seagama atau pun tidak. Namun berikutan dengan penyingkiran kaum Yahudi dari Madinah, maka konsep ummah terbatas kepada umat Islam yang tinggal di kota Madinah. Hal ini disebabkan mereka tidak mematuhi Piagam Madinah dan sekali gus terkeluar daripada lingkungan ummah Nabi Muhammad SAW. Sebelum ketibaan baginda ke Madinah, agama Islam telah tersebar di Madinah menerusi usaha mereka yang menyertai Perjanjian Aqabah I dan II serta 12 orang naqib yang dilantik oleh baginda. Oleh itu, penyebaran Islam di Madinah lebih mudah berbanding di Makkah. Namun begitu, usaha ke arah mendaulatkan agama Islam di Madinah bukanlah satu perkara yang mudah.

MENJADIKAN AL-QURAN DAN HADIS SEBAGAI ASAS PENYATUAN DAN PERPADUAN MASYARAKAT MADINAH.
Kejayaan pembentukan dan penyatuan masyarakat Madinah adalah kerana baginda menjadikan al-Quran dan hadis sebagai pegangan dan panduan mentadbir negara. Prinsip keadilan digunapakai oleh baginda yang merupakan dasar segala bentuk tindakan mentadbir Negara. Hal ini dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu tanpa mengira bangsa dan agama. Secara tidak langsung, hal ini memudahkan pembentukan masyarakat Madinah.

MENYATUKAN DAN MEMPERSAUDARAKAN KAUM AUS DAN KHAZRAJ.
Aus dan Khazraj merupakan penduduk asal Madinah. Sebelum kedatangan baginda, kedua-dua kaum ini sudah lama bermusuhan hingga berlaku peperangan Bu’ath yang merupakan peperangan yang berlarutan di antara kedua-dua kaum tersebut. Hal ini berpunca dari masalah kepimpinan kerana kedua-duanya ingin menerajui pentadbiran kota Madinah. Baginda sedar jika masalah ini tidak diselesaikan, keadaan ini tidak akan aman. Oleh itu, baginda menyatukan kedua-dua kaum tersebut menjadi orang Ansar. Persaudaraan Islam menggantikan semangat ‘assabiyyah’. Baginda menanamkan sifat-sifat mahmudah kepada mereka sehingga mereka sanggup melupakan permusuhan yang berlaku antara mereka. Hal ini menjadi titik tolak pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu padu dan bekerjasama.

MEMPERSAUDARAKAN & MENYATUKAN ORANG ANSAR DAN MUHAJIRIN.
Setelah baginda berjaya menyatukan Aus dan Khazraj, baginda berusaha mempersaudarakan orang Muhajirin yang berpindah dari Makkah ke Madinah dengan orang Ansar. Tujuan baginda adalah untuk membantu orang Muhajirin dari sudut ekonomi dan juga kepentingan umum termasuklah sosial dan politik Islam di Madinah. Sekiranya masalah ekonomi tidak diselesaikan terlebih dahulu adalah sukar bagi baginda membangunkan sebuah Negara yang benar-benar kukuh. Sebagai contohnya, baginda telah mempersaudarakan Hamzah bin Abdul Muttalib dengan ‘Ithban bin Malik, Abdul Rahman bin Auf dengan Said bin Rabi’ dan lain-lain. Dengan adanya ikatan ini, golongan Ansar tanpa ragu-ragu sanggup memberikan harta benda mereka untuk dijadikan modal sehingga akhirnya ekonomi orang Muhajirin berjaya dipulihkan. Secara tidak langsung, persaudaraan ini melahirkan masyarakat Madinah yang bersatu padu dan mantap.

PENGGUBALAN PIAGAM MADINAH
Sebaik baginda sampai di Madinah, sebuah perlembagaan untuk Negara Islam Madinah diwujudkan oleh baginda demi menjamin perpaduan di kalangan penduduk Madinah sebagai sebuah ummah. Secara tidak langsung, ini dapat memperkukuh kedudukan pelbagai kaum kerana undang-undang menjadi asas dan teras pemerintahan dan pembentukan masyarakat Madinah yang bersatu. Ia diwujudkan hasil dari persetujuan bersama antara orang Islam dan juga orang bukan Islam. Golongan Yahudi dan Nasrani menerima status mereka sebagai dhimmi dan patuh kepada Piagam Madinah. Pada dasarnya, kesemua penduduk Madinah menerima perlembagaan ini secara terbuka. Walau bagaimanapun, berdasarkan perundangan yang adil, baginda telah menyingkirkan kaum Yahudi iaitu Bani Qainuqa’, Bani Nadhir dan Bani Quraizah dari kota Madinah kerana melanggar Piagam Madinah. Tindakan tersebut menyebabkan kedudukan Islam di Madinah semakin kukuh.

MENGAWAL DAN MEMBENDUNG KEGIATAN KAUM MUNAFIK
Di Madinah, musuh-musuh Islam terdiri daripada kaum munafik dan Yahudi yang menjadi penghalang kepada penubuhan Negara Islam. Mereka diibaratkan seperti musuh dalam selimut yang menjadi penghalang kepada penubuhan Negara Islam. Kaum Munafik berpura-pura memeluk Islam dan berniat jahat untuk memecahbelahkan dan menghancurkan masyarakat Islam. Oleh itu, baginda menasihati para sahabat agar berwaspada terhadap niat jahat kaum munafik. Langkah baginda mengawal dan membendung kegiatan ini berjaya hingga tidak wujud permusuhan secara terbuka. Hal ini demikian kerana kematian ketua kaum munafik, Abdullah bin Ubay melenyapkan cita-cita kaum munafik. Para pengkaji kaum munafik berpendapat, satu daripada faktor kegagalan mereka kerana tidak mempunyai ideology yang jelas.

KESIMPULAN

Nabi Muhammad SAW terpaksa menyelesaikan pelbagai masalah setelah baginda berhijrah ke Madinah, sama ada masalah yang dihadapi oleh umat Islam sendiri mahu pun masalah yang ditimbulkan oleh musuh-musuh Islam. Baginda telah membuktikan ketokohannya sebagai seorang negarawan ulung yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Tanah Arab. Bangsa-bangsa Arab telah berjaya disatukan dan sebuah Negara Islam yang tidak berlandaskan perkauman telah berjaya ditegakkan.

No comments: