Monday, 1 December 2014

BUKTI NEGARARAWAN YANG UNGGUL

NABI MUHAMMAD SAW SEBAGAI NEGARAWAN DAN 
PERKAITAN DENGANNYA.

PENDAHULUAN
Nabi Muhammad SAW diputerakan pada 12 Rabiulawal bersamaan 20 April tahun Gajah. Baginda diputerakan di kalangan keluarga ternama dalam masyarakat Quraisy. Baginda dilantik secara rasmi sebagai nabi ketika berusia 40 tahun. Baginda telah menerima wahyu yang pertama pada 17 Ramadan bersamaan 16 Ogos 610 Masihi, iaitu melalui surah al-Alaq ayat 1-5. Setelah itu diikuti pula dengan surah al-Mudathir ayat 1-7 yang menandakan kerasulan baginda SAW. Baginda mula menjalankan dakwah secara sulit selama tiga tahun dan kemudian secara terbuka. Baginda bukan sahaja seorang nabi dan rasul tetapi juga pemimpin Negara dan masyarakat, panglima tentera serta perancang ekonomi yang disegani.

BUKTI KEUNGGULAN NABI MUHAMMAD SAW SEBAGAI NEGARAWAN YANG UNGGUL

SEBAGAI NABI DAN RASUL
Baginda diakui sebagai nabi dan rasul melalui tiga cara iaitu menerusi kitab suci al-Quran, Taurat, Injil dan Zabur, kedua melalui sifat-sifat kenabian seperti menerima wahyu dan memiliki sifat mulia seperti Siddiq, Amanah, Tabligh dan Fatanah serta melalui bukti-bukti sejarah.

Selain kitab suci, tanda-tanda kenabian baginda sudah diperlihatkan sewaktu baginda masih kanak-kanak lagi. Dada baginda dibedah oleh malaikat Jibrail untuk dibersihkan. Selama 13 tahun baginda di Makkah, baginda lebih dikenali sebagai seorang nabi dan rasul yang membawa agama Islam.

Ada yang menyokong dan ada pula yang menentang dakwah baginda. Semasa menyebarkan agama Islam, nabi telah menunjukkan sifat sabar, lemah-lembut, toleransi tetapi tegas. Teras ajaran adalah berpaksikan aspek akidah, syariat dan akhlak. Baginda berakhlak menurut akhlak al-Quran sehingga menjadi insane yang paling sempurna dan menjadi ikutan seluruh umat manusia. Sebagai pemimpin agama, baginda telah menentukan beberapa bidang bagi menjamin kesejahteraan masyarakat. Bidang-bidang tersebut adalah seperti ibadat (solat, puasa, zakat dan lain-lain), nikah (kahwin), jenayah dan ketatanegaraan serta hubungan antarabangsa.

SEBAGAI PEMIMPIN MASYARAKAT DAN NEGARAWAN
Baginda terkenal sebagai pemimpin masyarakat dan negarawan. Semasa di Madinah, sifat-sifat kepimpinan baginda dalam masyarakat terserlah kembali. Baginda melakukan pelbagai langkah seperti :

v Berjaya menyatukan semula masyarakat Madinah yang berbilang agama dan keturunan setelah perpecahan begitu lama.

v Mengeratkan lagi hubungan di kalangan masyarakat Islam sendiri menerusi usaha gigih mempersaudarakan orang Ansar dan Muhajirin. Madinah menjadi kuat, aman, stabil dari segi politik dan ekonomi.

v Mengekalkan perpaduan masyarakat Madinah dengan menyeru sendiri mereka bekerjasama dan bantu-membantu mempertahankan kota Madinah dengan penggubalan Piagam Madinah.

v Menegakkan agama Islam dan tidak menafikan agama-agama lain dan adat budaya bukan Islam. Tidak memaksa menganut ajaran Islam.

v Ketua-ketua suku diberi peranan mengendalikan urusan dan masalah anggota suku masing-masing selagi tidak bercanggah dengan ajaran Islam.

v Membantuk konsep ummah yang berteraskan kepada kesatuan akidah dan menolak semangat assabiah pada zaman jahiliah.

KEPIMPINAN POLITIK
Kepimpinan politik baginda terserlah sejak baginda di kota Makkah lagi seperti dalam menyelesaikan masalah meletakkan semula Hajar Aswad ke tempat asal di Kaabah akibat banjir yang melanda Makkah ketika itu.

Dalam Perjanjian Aqabah, baginda menunjukkan kepimpinan politik yang matang sehingga mendapat sokongan yang baik dari orang Aus dan Khazraj. Sebagai pemimpin politik yang berkaliber, nabi tidak pernah menunjukkan permusuhan terhadap kaum lain terutamanya Yahudi, malah terus mengadakan perundingan dengan mereka.

Berjaya menyatukan puak Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar dan mempersaudarakan golongan Muhajirin dan Ansar di Madinah. Pembentukan Piagam Madinah sebagai panduan pentadbiran Madinah yang berteraskan wahyu.

Dalam politik di peringkat antarabangsa, baginda dianggap diplomat yang berjaya kerana baginda menghantar perwakilan ke Habsyah, Mesir, Byzantine dan Parsi bagi memperkenalkan ajaran Islam. Tidak sampai setengah abad, semua Negara tersebut tunduk di bawah pemerintahan Islam.

Sistem syura diperkenalkan dlam semua bidang termasuk politik dan ekonomi.

SEBAGAI PERANCANG EKONOMI
Nabi sebagai perancang ekonomi, baginda memperkenalkan dasar ekonomi baru menggantikan dasar ekonomi jahiliah. Baginda menggalakkan orang Islam bekerja keras dan aktif dalam urusan perniagaan dan pertanian.

Masyarakat diminta mengelakkan riba dan wajib menunaikan zakat serta jujur dalam urusniaga.

Nabi berusaha membangunkan ekonomi Islam dengan menggalakkan tanah-tanah terbiar diusaha semula, tanah tergadai ditebus semula dan dikerjakan. Telaga-telaga air milik orang Yahudi yang asalnya milik orang Islam telah dibeli dan dikuasai semula orang Islam.

MENJADI PEMIMPIN TENTERA
Dalam bidang ketenteraan, baginda menjadi pemimpin tentera bagi setiap ekspedisi ketenteraan yang disertainya. Asas ketenteraan baginda adalah berdasarkan akidah, syariah dan akhlak mulia.

Baginda mempunyai keyakinan ketika menghadapi musuh. Dalam peperangan, baginda bertindak mengikut batas-batas dan etika yang ditetapkan seperti tidak memerangi golongan lemah dan golongan tidak bersenjata serta tidak memusnahkan harta benda dan tanaman.

Baginda menunjukkan akhlak baik dengan perasaan kemanusiaan seperti pernah memulangkan harta benda musuh yang ditawan (Perang Hunain & Perang Taif). Kaedah ini menarik minat musuh untuk memeluk agama Islam.

Rasulullah SAW ialah seorang pemimpin perang yang cekap dan berpengetahuan luas dalam bidang taktik dan strategi perang. Sebagai contohnya, dalam Perang Badar, baginda menggunakan sistem saf dalam Perang Khandak menggunakan sistem pertahanan parit serta teknik mengepung dalam Perang Taif.

KESIMPULAN
Jelaslah bahawa Nabi Muhammad SAW bukan sahaja seorang nabi dan rasul yang disegani malah baginda merupakan seorang pemimpin masyarakat, negarawan, perancang ekonomi dan pemimpin tentera yang berjaya. Baginda cuba menonjolkan Islam yang tidak hanya mementingkan aspek akidah tetapi juga menitikberatkan hal ehwal kehidupan seharian. Baginda berjaya membina tamadun Islam dan diwarisi pula oleh Khulafa’ al-Rasyidin.


No comments: