PERANAN YANG DIMAINKAN OLEH ORANG MUHAJIRIN DAN ORANG
ANSAR DALAM USAHA MENGEMBANGKAN ISLAM
DI MAKKAH DAN MADINAH
Orang Muhajirin merupakan orang Islam
yang berasal dari Makkah yang telah berhijrah ke Madinah bagi mengelakkan diri
daripada penindasan dan kezaliman kaum Quraisy Makkah. Perpindahan mereka
didorong oleh Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah II antara Nabi Muhammad
SAW dengan kaum Aus dan Khazraj dari Madinah. Orang Ansar pula ialah orang
Islam Madinah yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj. Golongan ini membuka
jalan untuk orang Islam Makkah berhijrah ke Madinah kerana kesediaan mereka
memeluk Islam dan memberikan apa jua bantuan yang diperlukan. Peranan kedua-dua
golongan ini dalam penyebaran dan mempertahankan Islam adalah amat penting dan
besar sekali. Peranan golongan Muhajirin bermula sejak awal penyebaran Islam di
Makkah manakala peranan Ansar hanya bermula apabila menandatangani Perjanjian
Aqabah I dan Perjanjian Aqabah II.
Dalam
usaha mempertahankan Islam, selama 13 tahun golongan Muhajirin telah
mempertahankan keimanan dan ketaatan mereka terhadap ajaran Islam. Mereka
ikhlas dan berani untuk terus berkorban jiwa raga mereka biarpun ditindas dan
dizalimi oleh musyrikin Makkah. Tanpa keteguhan iman, kesetiaan dan keikhlasan
pada peringkat awal ini, Nabi Muhammad SAW tentunya akan menghadapi pelbagai
kesulitan yang serius. Keyakinan dan sokongan padu umat Islam di Makkah
menyukarkan usaha-usaha golongan musyrikin. Penyebaran Islam dalam kalangan
masyarakat Makkah disebarkan ke luar Makkah sehingga golongan yang tidak
memeluk Islam pun sudah tahu sedikit sebanyak tentang Islam.
Kesabaran
golongan Muhajirin menjadi factor penting kemenangan Nabi Muhammad SAW.
Pengorbanan mereka menyebabkan penganut Islam yang lain semakin teguh keimanan
mereka sehingga mendorong orang bukan Islam ingin tahu rahsia ajaran Islam itu
sendiri. Langkah-langkah seperti pemulauan ekonomi dan sosial tidak dapat
mematahkan semangat orang-orang Islam untuk terus menyebarkan dan
mempertahankan Islam. Penghijrahan golongan Muhajirin ke Madinah merupakan satu
peristiwa yang penting. Ia membantu menyebarkan Islam dalam kalangan penduduk
Madinah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Mereka merupakan
guru-guru agama bagi golongan Ansar sebelum ketibaan baginda. Kesanggupan
mereka berhijrah disanjung tinggi oleh Allah SWT dalam al-Quran. Mereka
menyumbangkan harta kekayaan mereka untuk kepentingan penyebaran dan
mempertahankan Islam. Kebanyakan harta kekayaan ini digunakan untuk membantu
orang Islam yang lemah, miskin dan hamba yang hendak menebus diri daripada
tuan-tuan yang sentiasa menyeksa mereka kerana memeluk Islam.
Semasa
di Madinah, golongan Muhajirin berusaha menyebarkan dan mempertahankan Islam.
Mereka terus mengorbankan jiwa raga dan material untuk kepentingan Islam.
Walaupun menghadapi pelbagai kesempitan mereka terus menolong Nabi Muhammad SAW
untuk menyebarkan Islam dalam kalangan penduduk di luar Madinah. Mereka juga
rela berkorban nyawa untuk menentang musuh-musuh Islam. Mereka memainkan
peranan penting dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti Perang Badar,
Perang Uhud dan Perang Tabuk. Golongan Muhajirin juga membantu Nabi Muhammad
SAW dalam mentadbir Negara Islam Madinah yang baru didirikan. Mereka menjadi
orang kanan baginda dalam pentadbiran dan pemerintahan seperti Abu Bakar dan
Umar al-Khattab. Mereka juga membantu baginda menyelesaikan segala masalah
politik, sosial dan pentadbiran yang timbul.
Peranan
golongan Ansar pada zaman Makkah dalam mempertahankan dan penyebaran Islam
tidaklah sebesar sumbangan golongan Muhajirin. Kesanggupan mereka
menandatangani Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah II merupakan sumbangan
mereka yang penting. Ketika perjanjian itu dibuat, baginda sangat-sangat
perlukan bantuan dan sokongan yang disumbangkan oleh golongan Ansar.
Sahabat-sahabat baginda dihantar ke Madinah sebagai guru agama. Tanpa kedua-dua
perjanjian ini sudah tentunya Nabi Muhammad SAW akan menemui jalan buntu dan
Islam tidak dapat diperkenalkan di Madinah.
Di
Madinah, peranan orang Ansar sama pentingnya dengan golongan Muhajirin. Mereka
telah menyumbangkan harta benda mereka untuk membantu orang-orang Muhajirin
yang amat memerlukan bantuan. Mereka sanggup menjadikan orang Muhajirin sebagai
saudara mereka. Bantuan yang dihulurkan oleh mereka dapat meringankan beban dan
penderitaan orang Muhajirin. Golongan Ansar juga rela mengorbankan jiwa raga
dan kekayaan mereka untuk menghadapi musuh-musuh Islam.
Golongan
Ansar juga memainkan peranan penting dalam pemerintahan dan pentadbiran Negara
Islam Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Mereka membuat pengakuan dalam
Sahifah Madinah bahawa mereka sebagai orang Islam mempunyai kewajipan untuk
membuat perkara-perkara yang baik. dengan kerjasama mereka, pemerintahan Islam
di Madinah dapat dijalankan dengan sempurna. Mereka juga menjadi
pegawai-pegawai tentera yang baik dan berjasa terhadap Islam. Golongan ini
terus bekerjasama dengan golongan Muhajirin selepas kewafatan baginda untuk
terus memelihara dan memperkuat Negara Islam.
Kesimpulannya,
peranan golongan Muhajirin adalah lebih besar semasa di Makkah jika
dibandingkan dengan orang Ansar tetapi semasa di Madinah kedua-dua golongan ini
banyak menyumbang bakti di pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial,
ketenteraan dan agama. Selepas kewafatan baginda, Negara Islam Madinah dan
agama Islam terus dipelihara dan berkembang dengan pesat.
No comments:
Post a Comment