SUMBANGAN
IBNU SINA DALAM
PERKEMBANGAN INTELEKTUAL
PERKEMBANGAN INTELEKTUAL
Ibnu Sina dikenali sebagai Avicenna dalam kalangan Barat. Beliau
mula mempelajari al-Quran dan bahasa Arab ketika berusia lima tahun manakala
menghafal al-Quran serta menguasai banyak bidang ilmu agama menjelang umur 10
tahun. Beliau mempelajari ilmu kedoktoran semasa berumur 16 tahun daripada Abu
Sahl al-Jarjan, malah telah berjaya mengubati penyakit Perdana Menteri ketika
berumur 17 tahun. Beliau turut mempelajari ilmu logik, geometri dan astronomi.
Antara sumbangan beliau adalah
dalam bidang perubatan. Beliau menghasilkan sebuah karya yang terkenal, iaitu Qanun fi At-Tibb yang menyenaraikan
ubat-ubatan dan penyakit yang dihadapi oleh manusia melibatkan semua anggota
badan. Beliau juga dianggap sebagai ‘Bapa Kedoktoran’ oleh penulis Barat.
Beliau telah mengembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung. Beliau juga
mencatatkan penyakit paru-paru sebagai penyakit berjangkit serta memberi
tanda-tanda dan kesan penyakit kencing manis.
Selain itu, beliau menemui sistem
peredaran darah manusia dan merupakan orang pertama berjaya mengubati penyakit
radang selaput otak. Beliau bertanggungjawab mengubati penyakit serius seperti
barah termasuk barah usus malah memperkenalkan cara mengubati penyakit jiwa dan
tekanan perasaan melalui kaedah psikoterapi.
Dalam bidang falsafah, beliau cuba
menyesuaikan ajaran falsafah Yunani dengan ajaran Islam. Al-Syifaa’ merupakan karya beliau yang terkenal dalam bidang
falsafah kerana telah memuatkan ilmu metafizik, fizik, psikologi dan yang
lain-lain. Beliau telah membicarakan pelbagai istilah yang digunakan dalam
bidang falsafah dalam Kitab al-Hudud, membicarakan proses keinsafan dalam Kitab al-Insaaf dan mengupas tentang
kebimbingan dan peringatan serta memperkatakan tentang prinsip ketuhanan dan
keagamaan dalam Kitab al-Isyarat wa
al-Tanbihat.
Tambahan pula, beliau
berpendapat bahawa matematik boleh digunakan mengenal Tuhan, malah berpendapat
bahawa muzik merupakan satu daripada cabang ilmu matematik yang berhubung
dengan not-not muzik. Beliau telah mengkategorikan dua jenis muzik, iaitu
natural dan buatan. Dalam bidang geologi, beliau telah berbicara tentang
kejadian pembentukan gunung, manakala dalam bidang kimia pula, beliau
mengemukakan teori tentang pembentukan kuningan dengan warna putih yang diambil
daripada cairan perak atau membentuk perak dengan warna merah hingga seperti
warna emas. Beliau menyimpulkan bahawa penyatuan itu boleh membentuk logam
baharu.
Dalam bidang astronomi,
beliau diberikan kepercayaan untuk memperbaik sistem kalendar perancangan untuk
pembinaan balai cerap. Dalam bidang politik, beliau menggambarkan idea negara
yang bercorak kemasyarakatan dalam karya al-Madinah
al-Fadhilah. Beliau turut mengandaikan penyusunan negara dan keluarga
adalah sama. Beliau juga sering menulis syair dalam bidang falsafah dan
terserlah sebagai seorang penyair.
Kesimpulannya, Ibnu Sina
telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang terutamanya bidang
perubatan. Jasa beliau telah membantu para doctor pada masa kini dalam merawat
kebanyakan penyakit yang dihidapi oleh pesakit.