Abad ke 11 menyaksikan bermulanya era
kemerosotan kerajaan Umayyah. Namun, perkembangan ilmu naqli dan ilmu aqli
berkembang subur melalui kemunculan golongan cerdik pandai Islam pada masa itu.
Pemerintah yang bertanggungjawab mengembangkan ilmu naqli ialah Abdul Rahman
III dan anaknya al-Hakam II melalui pembinaan sekolah-sekolah agama dan
menjemput para ulama dari Timur datang mengajar di Andalusia.
Perkembangan ilmu naqli khususnya
dapat dilihat dengan jelas dalam bidang fiqah melalui Ibn Hazm. Beliau
merupakan seorang ulama terkenal yang arif dalam bidang fiqah dan qiraat. Ibn
Hazm juga seorang ahli usul yang mendalam dan luas ilmunya sehingga
menghasilkan beberapa kitab fiqah dan syariah. Salah satu karya beliau yang
paling penting ialah al-Fasl fi al-Milal wa ‘I-ahwa’ wa ‘I-nithal, sebuah buku
kajian yang lengkap tentang sejarah para nabi, perbincangan segala agama,
pendapat ahli falsafah dan hujah yang menolak golongan anti-Tuhan khasnya
penentang Islam. Karya ini mendahului pengetahuan masyarakat Barat beberapa
kurun yang memperlihatkan kehebatan sarjana Islam.
Seterusnya, bidang hadis
memperlihatkan perkembangannya dengan kemunculan Ibn Abd al-Barr, seorang ulama
hadis yang terkenal di Sepanyol dan Afrika. Karya beliau yang teragung ialah
al-Istiah li Sahabah dan karya kedua beliau pula telah diterjemahkan ke dalam
bahasa Melayu. Ilmu naqli di Andalusia juga terus berkembang walaupun kerajaan
Bani Umayyah mengalami kejatuhan. Hal ini berikutan pemerintah al-Muwahiddun
yang sangat mengambil berat terhadap perkembangan ilmu dan berusaha gigih
mengumpul para cendekiawan dari seluruh dunia bagi mengisi keperluan tenaga
pengajar di institusi pengajian tinggi. Malah, pemerintah juga turut
memperkenalkan aliran Asy’ariyah dan al-Ghazali yang membawa kepada
perkembangan ilmu-ilmu kalam. Qadi Iyad juga seorang tokoh terkenal abad ke 12
Masihi telah membantu mengembangkan ilmu naqli melalui penghasilan lebih 20
kitab dalam bidang hadis, fiqah dan sejarah.
Pembangunan ilmu aqli telah berkembang
pesat kerana mendapat galakan dan insentif daripada pemerintah. Hal ini dapat
dilihat melalui beberapa bidang ilmu aqli. Sejarah merupakan antara ilmu yang
paling berkembang di Andalusia terutamanya melalui Marwan ibn Hayyan yang telah
menulis lebih daripada 50 karya dalam bidang ini. Karyanya, al-Muqtabis fi
Tarikh Rijal al-Andalus yang menerangkan sejarah tokoh-tokoh ilmuan, para
pemerintah dan umat Islam Andalusia dari pembukaan sehinggalah zamannya masih
kekal sehingga hari ini. Buku al-Matin pula memberi faedah besar kepada
pengkaji sejarah Andalusia kerana menyentuh semua aspek sejarah dan mempunyai
60 jilid. Perkembangan ilmu aqli terus diperlihatkan melalui sejarah Andalusia
yang terus diperkenalkan melalui karya daripada beberapa tokoh lain seperti Abu
al-Qasim bin Ahmad dan Gharib bin Said.
Ilmu falsafah sebagai salah satu
cabang ilmu aqli terus berkembang pesat di Andalusia sewaktu masyarakat
Kristian di Eropah berada dalam Zaman Kegelapan. Hal ini diperkukuhkan apabila
golongan intelektual Islam berjaya menggabungkan falsafah Yunani dan Islam. Ibn
Rushd muncul sebagai seorang ahli falsafah terkenal dunia kerana usahanya
memperkenalkan hasil karya Aristotle kepada dunia Barat. Ulasannya juga telah
diterjemahkan kepada beberapa bahasa. Karyanya, Tahafut al-Tahafut masih diguna
pakai dan menjadi kajian di institusi pengajian tinggi Barat. Ibn Bajjah juga
terkenal di Barat kerana karyanya, Tadbir al-Mutawahhid yang mendedahkan falsafah
dirinya sendiri manakala ibn Tufail pula menceritakan evolusi manusia dari
kelahiran sehingga dewasa melalui karyanya yang bertajuk Hayy ibn Yaqzan.
Tokoh-tokoh lain juga membawa kepada perkembangan bidang falsafah dengan
penghasilan karya berkaitan kepercayaan, pengenalan, logik serta kegunaan
falsafah.
Bidang astronomi pula mendapat galakan
daripada pemerintah sehingga ahli astronomi Andalusia Berjaya mencipta
alat-alat astrolabe dan membolehkan orang Eropah menentukan saiz bumi dengan
lebih tepat. Malah, terdapat juga sebuah sekolah astronomi di Andalusia yang
membantu memesatkan perkembangan bidang astronomi. Andalusia juga mempunyai
sebuah balai cerap yang dikenali sebagai Giralda. Al-Zarqali, pembuat alat-alat
astrolabe di Andalusia turut mengemukakan teori bintang dan pergerakan planet
serta membetulkan ukuran panjang Laut Mediterranean selain menjadi ahli
astronomi pertama mengetahui kedudukan matahari dengan merujuk bintang. Beliau
juga membina sebuah jam air bagi menentukan waktu manakala karyanya digunakan
secara meluas oleh Maharaja Alfonso X serta ahli astronomi istana. Perkembangan
bidang ini dapat dilihat daripada nama bintang dan istilah teknikal yang
dipinjam daripada bahasa Arab.
Selain itu, bidang matematik
terus membantu memperkembangkan ilmu aqli di Andalusia dengan memperkenalkan
sistem angka yang berasal daripada angka Hindi yang memudahkan sistem penulisan
angka. Ilmuwan Islam juga telah memperkenalkan teknologi untuk mengekstrak
getah daripada pokok melalui alat alambique yang mengkagumkan. Ahli-ahli kimia
juga mencipta banyak ubat baharu, pharmacopeia (daftar buku ubat-ubatan) dan
menubuhkan farmasi. Bidang perubatan juga turut berkembang dengan penulisan
sebuah ensiklopedia perubatan lengkap berjudul Kitab al-Tasrif yang membincangkan
secara khusus tentang pembedahan oleh Abu al-Qasim al-Zahrawi. Karya beliau ini
juga menjadi rujukan penting ilmu surgeri Zaman Pertengahan dan diterjemahkan.
Ibn Zuhr pula muncul doktor Muslim pertama memberi penjelasan penyakit barah
dalam perut dan rawatan penyakit pinggang. Karya perubatan Islam banyak
diterjemahkan ke bahasa Eropah.
Bidang geografi pula
memperlihatkan perkembangannya dengan penghasilan Kitab al-Masalik wa
al-Munalik oleh Abu Ubaid Abdullah, sebuah penulisan berkenaan jalan-jalan yang
ditempuhinya di tiap-tiap buah negeri dan maklumat tentang kerajaan yang
memerintah. Karyanya telah membantu urusan penghantaran surat dan utusan rasmi.
Beliau juga menghasilkan sebuah kamus geografi. Tokoh-tokoh geografi yang lain
telah menghasilkan karya tentang pengembaraan mereka termasuklah al-Idrisi yang
juga menghasilkan peta glob daripada perak serta karya tentang kritikan dan
penambahbaikan teori-teori Ptolemy. Perkembangan bidang zoologi dan botani
dapat dilihat melalui karya Ibn Bassal yang digunakan secara meluas oleh
penulis-penulis botani kemudiannya. Malahan, ada ahli botani yang mendaki
gunung-gunung dan menerokai ladang di seluruh Andalusia serta Afrika dalam
mencari tumbuhan herba untuk tujuan perubatan dan menghasilkan kamus lengkap
tentang makanan dan perubatan. Sebuah ensiklopedia pertanian turut dihasilkan
oleh ahli botani Andalusia.
Abad ke 11 hingga abad ke 13
menyaksikan perkembangan pesat ilmu naqli dan ilmu aqli berlaku di Andalusia.
Hal ini dapat dilihat melalui karya-karya dan penemuan sarjana-sarjana Islam
Andalusia yang seterusnya menjadi asas ilmu pengetahuan moden secara amnya dan
membantu perkembangan ilmu di Eropah pada Zaman Pertengahan.
No comments:
Post a Comment