Wednesday, 10 August 2016

ISTIMEWANYA TANAH ARAB

WILAYAH HIJAZ


Semenanjung Arab terbahagi kepada lima wilayah. Salah satunya ialah wilayah Hijaz. Hijaz ialah wilayah yang terletak di sebelah utara Yaman dan sebelah timur Tihamah. Ia terdiri daripada beberapa lembah yang terletak di celah-celah pergunungan al-Surah yang terbentang dari Syam hingga ke Najran di Yaman dan memuatkan dua kota suci Makkah dan Madinah.

Ia dinamakan Hijaz kerana ia memisahkan antara Tihamah dan Najd. Hijaz dahulunya merupakan zon gunung berapi yang aktiviti volkaniknya sangat tinggi. Ia diperkuatkan dengan adanya gunung-gunung berapi besar yang menghiasi permukaan dataran tinggi Ethiopia yang mempunyai kawah-kawah gunung berapi yang lebar seperti kawah Ambafrit, Jujam, Amidamit, Samin dan Dathan.

Allah melindungi Hijaz bermula dari Laut Merah. Di dalam Laut Merah terdapat aktiviti gunung berapi yang kecil yang menghasilkan batu-batu lahar. Dr. Thalat Abduh menyatakan bahawa aktiviti gunung berapi besar di Ethiopia dan aktiviti gunung berapi kecil di semenanjung Arab membersihkan kawasan Laut Merah yang penuh dengan rekahan-rekahan yang mempunyai aktiviti gempa bumi yang tinggi. Laut Merah juga asalnya adalah rekahan lapisan bumi yang sangat besar tetapi ia dipenuhi air dan menjadi laut.

Para geologi membuat kajian bahawa terdapat lintasan batu api berstatus pasif dan ia masih mengalirkan lahar volkanik sepanjang lintasannya. Laut Merah juga dikatakan bergerak dan bertambah luas. Gerakan ini mengakibatkan peningkatan aktiviti gempa bumi dan gunung berapi.




Sebenarnya Hijaz adalah wilayah yang memiliki struktur tanah yang rapuh. Seorang peneliti geografi bernama Fisher menyatakan bahawa ada garis kerapuhan structural yang melintasi semua wilayah Hijaz. Struktur batuan wilayah ini memang tidak seimbang dan boleh menyebabkan kegelongsoran tanah. Tetapi Allah Maha Kuasa. Walaupun wilayah Hijaz ini dikepung oleh lahar dan mempunyai aktiviti volkanik yang tinggi, Allah menjaganya daripada segala kemusnahan dan bala bencana.

Walaupun kawasan kejiranan wilayah Hijaz dilanda gempa bumi yang dahsyat, ia sedikitpun tidak memusnahkan dan menggoncang Hijaz. Hijaz juga ialah wilayah anti-penggurunan. Walaupun seluruh wilayah ini adalah zon padang pasir yang luas dan kering tetapi Allah menjaganya daripada menjadi tempat yang tandus dan gersang. Buktinya, Allah melimpahkan wilayah ini dengan sumber-sumber mata air seperti air zamzam yang melimpah-limpah.

Ini kerana Allah ingin menjaga dua kota suci iaitu Makkah dan Madinah daripada terkena apa-apa bencana dan malapetaka. Di sini terserlahlah bukti dan kebenaran kata-kata Abdul Mutalib iaitu datuk Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa kota Makkah memiliki Tuhan yang selalu menjaganya. Wallahu a’lam.


Sumber:
Ustaz Fauzi Abdul Hamid (Segmen Islam & Sains)

Majalah al-Ustaz Isu no. 20.

9 DESTINASI WAJAR TUJU PELANCONG MUSLIM


MAKKAH ARAB SAUDI

Sejarah : Tempat kelahiran Nabi Muhammad dan juga tempat Baginda menerima wahyu daripada Allah.

Keistimewaan : Kota paling suci bagi umat Islam.

Mesti Ziarah : Di sini terletaknya Masjidil Haram yang didalamnya terdapat Kaabah, kiblat umat Islam. Lima kali sehari, lebih kurang 1.5 bilion Muslim tidak kira di mana mereka berada pasti akan menghadap kiblat di Kota Makkah untuk bersolat. Ia juga tempat perhimpunan tahunan umat Islam bagi menunaikan Haji pada bulan Zulhijah.


MADINAH ARAB SAUDI

Sejarah : Masjid pertama umat Islam terletak di Madinah iaitu Masjid Quba. Madinah, bumi paling dikasihi Allah kerana ia lokasi penghijrahan Nabi.

Keistimewaan : Kota suci kedua bagi umat Islam.

Mesti Ziarah : Masjid al-Nabawi yang di dalamnya terdapat makam Nabi Muhammad. Juga terdapat perkuburan Baqi’, makam keluarga dan para sahabat Nabi. Lokasi rakaman peristiwa penting sejarah Islam, antaranya Perang Badar dan Perang Uhud. 


BAITUL MAQDIS PALESTIN

Sejarah : Kiblat pertama pada zaman Nabi Muhammad sebelum ditukar kepada Kaabah di Masjidil Haram.

Keistimewaan : Masjid kedua tertua dan ketiga tersuci di dunia.

Mesti Ziarah : Masjidil Aqsa sebenarnya berkubahhijau kehitaman bukannya berkubah keemasan seperti yang selalu ditayangkan. Kubah emas itu ialah ‘Dome of Rock’ (Qubbat al-Sakhrah) yang di dalamnya terdapat sebuah batu besar yang dikatakan tempat Nabi Muhammad berdiri ketika peristiwa Israk Mikraj.



ISTANBUL TURKI

Nama Lama : Constantinople.

Sejarah : Kota ini berjaya ditawan oleh Sultan Muhammad al-Fateh dengan 70 kapal laut melalui daratan sejauh tiga batu dengan hanya satu malam. Kekallah bumi yang mulia itu sebagai pusat pemerintahan, keilmuan dan keagungan Islam berkurun lamanya.

Lokasi Pelancongan : Masjid Biru, Istana Topkapi, Pamukkale (Cotton Castle), Muzium Hagia Sophia (kini menjadi sebuah masjid), Library of Celsus.


ANDALUSIA SEPANYOL

Sejarah : Pusat kerajaan Islam Bani Umaiyyah pada abad ke 8. Bandar-bandar seperti Cordova dan Granada berkembang menjadi pusat ilmu serantau pada zaman itu. Asalnya, wilayah ini dihuni oleh bangsa kafir. Kemudian panglima Bani Umayyah, Tariq Ibn Ziyad dan Musa Ibn Nusayr menentang pemerintahan zalim bangsa Visigoth ini dan menggelar wilayah tersebut sebagai Tanah Vandal (Vandalusia atau Andalusia).

Lokasi Pelancongan : Istana al-Hambra, Selat Gibraltar, Pergunungan Sierra Nevada, Masjid Cordoba, Ronda (White City).


PETRA JORDAN

Keistimewaan : Salah satu Tujuh Keajaiban Baru Dunia. Tapak kota lama ini tidak diketahui sehingga pada tahun 1812, seorang penjelajah Switzerland, Johann Ludwig Burckhardt menjumpainya.

Keunikan : Ukiran dan pahatan pada batuan cadas berwarna merah jambu dengan ketinggian mencapai 40 meter. Hasil ukiran Kaum Nabataean yang mahir dalam seni bina dan mengukir.


KAHERAH MESIR

Sejarah : Kota Nabi Musa. Kota kebudayaan, agama dan pusat ilmuwan sedunia.

Lokasi Pelancongan : Piramid, Sakkara, Memphis, Citadel (rumah pemerintah Mesir berusia 700 tahun), Gereja Gantung dan Sinagog Ben Ezra (Kuil Yahudi).

Pusat Ilmuwan : Universiti al-Azhar.




DAMSYIK SYRIA

Lokasi Pelancongan : Masjid Umawi yang dibina oleh Khalifah al-Walid bin Abdul Malik, benteng Aleppo, Busra.

Makam Tokoh : Makam Sayidina Husin, Nabi Yahya dan Salahudin al-Ayyubi. Di sini jugalah bersemadinya para sahabat seperti Abu Hurairah, Abu Darda’, Bilal bin Rabah, Muawiyah Abi Sufyan dan ramai lagi.


DUBAI EMIRIAH ARAB BERSATU

Keistimewaan : Negara Islam yang maju dan berteknologi tinggi.

Lokasi Pelancongan : Bangunan pencakar langit tertinggi di dunia: Burj Khalifa dan pelbagai aktiviti menarik.

Pulau Buatan Terbesar di Dunia : Palm Islands.









Sumber : Majalah al-Ustaz Isu no.20 

Friday, 5 August 2016

1 MALAYSIA (ERA DATO' SRI MOHD NAJIB BIN TUN HJ ABD RAZAK)


1 MALAYSIA adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia. Ia buan satu dasar baru yang terpisah dari dasar-dasar kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, sebaliknya ia merupakan pelengkap kepada pendekatan-pendekatan yang sedia ada untuk mengukuhkan lagi perpaduan bagi menjamin kestabilan, ke arah mencapai kemajuan dan pembangunan yang lebih tinggi bagi rakyat dan negara Malaysia.

Dalam erti kata lain 1Malaysia digagaskan sebagai satu formula yang akan membantu memastikan aspirasi negara iaitu Wawasan 2020 tercapai jika ia diterapkan ke dalam sanubari rakyat dan diamalkan oleh setiap lapisan masyarakat.


Pengertian ini adalah berdasarkan hujah bahawa untuk mencapai status negara maju sepertimana yang diilhamkan melalui Wawasan 2020, syarat yang paling utama ialah sebuah negara yang kukuh dan stabil dan ini akan hanya dapat dicapai apabila rakyatnya bersatu padu.

Perpaduan yang digambarkan oleh gagasan 1Malaysia amat berbeza dari konsep asimilasi yang diamalkan di negara-negara lain di mana identiti kaum-kaum etnik dilenyapkan dan diganti dengan satu identiti nasional yang sama.



Sebaliknya, 1Malaysia menghargai dan menghormati prinsip-prinsip Perlembagaan Persekutuan serta identity-identiti etnik setiap kaum di Malaysia, dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.

1Malaysia menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat kita hidup bersama dalam keadaan saling hormat-menghormati sebagai rakyat dalam satu negara.


Menjadi asas kepada semua ini adalah prinsip keadilan untuk semua kaum, yang membawa maksud bahawa nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah mengambil taraf kemajuan kaum-kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh itu, dasar-dasar kerajaan dan peruntukan-peruntukan Perlembagaan yang memberkan pembelaan kepada golongan yang memerlukannya, akan tetap dilaksanakan.

1Malaysia adalah penerusan agenda membina negara. Untuk mencapai kemajuan bagi negara, rakyat perlu dimajukan terlebih dahulu, dan ini dimulakan dengan membentuk sikap penerimaan antara kaum, yang membawa kepada perpaduan yang utuh. Apabila perpaduan dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.

Sumber: