Friday, 1 May 2015

KAIN TENUNAN MALAYSIA ORI(Y) OFFICIAL

KAIN TENUNAN “MADE-HAND ORIGINAL”

TEKAT (PERAK)

Seni tekat dihasilkan dengan cara menyulam benang emas atau perak ke atas kain dasar jenis baldu. Teknik tekat-menekat juga disebut ‘sulaman timbul’ atau ‘suji timbul’. Motif tumbuh-tumbuhan dan geometri sering digunakan dalam menghasilkan tekat. Ia digunakan sebagai kelengkapan perkahwinan, peminangan, istiadat dan upacara tertentu.



PUA KUMBU (SARAWAK)

Tenunan kain ikat juga dikenali sebagai tenunan kain pua. Ia merupakan hasil warisan tradisional wanita Iban di Sarawak. Antara motif yang digunakan adalah motif Engkeramba, flora dan fauna. Dahulunya digunakan untuk adat istana, kini telah diubahsuai antaranya menjadi hiasan dinding dan alas meja.








SONGKET (TERENGGANU)

Kain Songket adalah hasil daripada tenunan benang sutera atau benang kapas yang ditenun bersama-sama dengan benang emas atau perak. Ia terkenal di Malaysia sejak abad ke 15. Motif yang biasa digunakan adalah motif pucuk rebung, tapak manggis dan labi ayam.


TENUN PAHANG (PAHANG)

Kain Tenun Pahang merupakan sejenis kain tenunan benang sutera yang popular dan masyhur di negeri Pahang. Ia juga dikenali sebagai ‘Kain Tenun Pahang Di Raja’. Corak petak, jaluran dan penggunaan ruang sering dititikberatkan dalam menghasilkan kain Tenun Pahang.




BATIK LUKIS (KELANTAN)

Batik Lukis bukan sahaja sangat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia malahan juga terkenal di peringkat antarabangsa. Ianya dilukis tangan secara bebas mengikut kreativiti pelukis. Pelbagai jenis kain digunakan termasuk kain kapas, sutera, rayon dan voile. Motif yang sering digunakan adalah motif tumbuh-tumbuhan serta corak geomatrik.






KEBAYA NYONYA (MELAKA)

Popular dalam kalangan masyarakat peranakan Cina (Baba dan Nyonya) di Melaka. Kebaya Nyonya adalah gabungan dua budaya iaitu kaum Cina dan Melayu. Ianya dipadankan dengan kain sarong batik dan sering dipakai ke majlis keramaian dan perkahwinan.







KELINGKAM (SARAWAK)

Kelingkam merupakan sejenis sulaman yang menggunakan benang emas, satu lagi warisan yang indah dan unik hasil sulaman Negeri Sarawak. Dikenali juga sebagai kain layah, penggunaannya sebagai pelengkap pakaian pengantin. Motif geometri, segi tiga, segi empat dan yang bersesuaian dengannya sering digunakan sebagai pembangkit seri dalam menghasilkan kain kelingkam.



SONGKET BUNGA TABUR (TERENGGANU)

Songket Bunga Tabur banyak memaparkan corak dan motif tumbuh-tumbuhan, motif alam dan lain-lain. Kini, amat popular dipakai ke majlis rasmi dan sering dijadikan pakaian pengantin.




JAKET MANIK (SARAWAK)

Jaket yang dipenuhi dengan sulaman manik yang berbagai warna ini adalah antara hasil kerja masyarakat peribumi seperti kaum Kenyah, Kayan dan Iban di Sarawak. Ia biasa dijadikan barang hantaran perkahwinan, perhiasan diri dan barang-barang yang digunakan untuk tujuan pengebumian.





BATIK CAP (TERENGGANU)

Blok yang diperbuat dari tembaga dicelupkan terlebih dahulu dalam pewarna. Ia kemudiannya ditekapkan di atas kain dan dilakukan secara berulang-ulang mengikut susunan. Unsur flora dan fauna, abstrak, organik dan corak-corak lain merupakan motif yang kerap diadaptasi dalam menghasilkan Batik Cap.



KAIN DASTAR (SABAH)

Motif reka corak kain dastar banyak berunsurkan kehidupan dan kebudayaan masyarakat di Sabah terutamanya kaun Bajau dan Illamum. Warna hitam adalah pilihan untuk warna dasar kain dastar. Manakala reka coraknya pula berwarna merah, jingga, kuning, hijau dan putih, kadang-kadang benang emas atau seumpamanya juga digunakan bagi menyerikan lagi reka corak yang ditenun.






SONGKET LIMAR (TERENGGANU/KELANTAN)

Tenunan kain Limar dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu tenun kain kapas, benang sutera dan songket. Motif kain Limar berbeza mengikut jenis kain. Antaranya ialah motif pohon bunga bersayap, kepala pucuk rebung dan bunga renik patola.

No comments: