FAKTOR-FAKTOR
YANG MENDORONG GERAKAN NASIONALISME DI SYRIA
Selepas Perang Dunia Pertama
tamat, empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Empayar ini
berpecah-belah. Kuasa-kuasa imperialis menguasai kawasan-kawasan yang
dibebaskan dari naungan kerajaan Turki Uthmaniyah. Syria diletakkan di bawah
kawalan Perancis dan Perancis menjaga hal ehwal Syria lalu memulakan
penjajahannya. Gerakan nasionalisme di Syria berlaku akibat pencerobohan Barat
yang menguasai keadaan politik dan ekonomi Syria.
Antara faktor yang mendorong
kemunculan semangat nasionalisme ialah pengaruh agama. Keadaan ini muncul dalam
kalangan tokoh-tokoh agama untuk menghalang imperialisme dan menjaga kesucian
agama Islam. Mereka menekankan perpaduan umat Islam untuk menyekat perluasan
kuasa Barat. Atas kesedaran agama Islam, muncul penggerak-penggerak nasionalis
di Syria. Golongan ini mengambil berat tentang kedudukan orang Islam di negara
jiran, iaitu di Palestin. Semangat nasionalisme juga muncul kerana tindakan
orang Yahudi yang ingin menempatkan orang Yahudi di kawasan orang Palestin.
Keadaan ini menyemarakkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Syria.
Bahasa dan kesusasteraan
juga memainkan peranan dalam kemunculan semangat nasionalisme di Syria.
Perancis mengamalkan dasar pecah dan perintah. Mereka memperjuangkan bahasa
golongan minoriti. Golongan minoriti ingin bahasa mereka diiktiraf sebagai
bahasa rasmi di kawasan masing-masing. Semangat nasionalisme dalam kalangan
orang Kurdi dan orang Turki muncul kerana isu bahasa di kawasan yang diduduki
oleh mereka.
Pengaruh kewartawanan
khususnya majalah Al-Manar menyebarkan konsep pembaharuan dan tajdid di Kaherah
oleh Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria. Penyebaran idea-idea pembaharuan dan
dakwah Islamiah oleh majalah ini merupakan pendorong kepada gerakan
nasionalisme. Majalah ini memberikan ruang untuk perbincangan pelbagai isu,
mempelopori pertukaran idea serta mengemukakan cara-cara baharu menangani
isu-isu sosial. Sejak tahun 1899, majalah ini disebarkan ke seluruh wilayah
Islam.
Pendidikan juga memainkan
peranan dalam kebangkitan semangat nasionalisme di Syria. Sebuah akademi bahasa
ditubuhkan di Syria dan menjadi tempat pertemuan golongan ahli linguistik untuk
berkumpul dan bertukar-tukar fikiran. Mereka mengutamakan bahasa Arab dan ingin
melihat penubuhan sebuah negara Arab di Syria. Di bandar Damsyik dan Beirut,
universiti-universiti didirikan dengan fungsi sebagai tempat perbincangan dan
perdebatan golongan intelektual.
Tidak dapat dinafikan bahawa
golongan intelektual merupakan pendorong utama semangat nasionalisme.
Tokoh-tokoh ini memperjuangkan hak mereka melalui pelbagai kaedah. Rasyid Rida
seorang warganegara Syria berusaha untuk mengembangkan ideologi pembaharuan dan
Pan-Islamisme. Tokoh ini mengkaji kelemahan masyarakat Islam serta cara
mengatasinya dengan mengamalkan prinsip-prinsip dasar Islam dan idea modenisme
penulisan. Rasyid Rida Berjaya membangkitkan semangat nasionalisme di Syria.
Selain
itu, pengaruh dari luar Syria juga memainkan peranan yang penting. Dasar
Pan-Islamisme menjadi dasar kerajaan Turki Uthmaniyah semasa pemerintah Sultan
Abdul Hamid II. Pengaruhnya juga terdapat di Syria kerana Syria merupakan
kawasan di bawah pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Shakib Arselan yang
berasal dari Lubnan menyeru kepada penduduk Syria untuk menentang kemaraan
kuasa Barat. Dia juga menggesa orang Syria supaya melawan orang British semasa
Perang Dunia Pertama.
Kesimpulannya, wilayah Timur
Tengah terdedah kepada kuasa Berikat selepas Perang Dunia Pertama. Perancis
mendapat mandate untuk memerintah Syria. Mereka memerintah Syria selama tujuh
tahun sebelum pilihan raya diadakan. Walau bagaimanapun, Syria masih tidak
mendapat kemerdekaan penuh.
No comments:
Post a Comment