Wednesday 11 June 2014

MASYARAKAT ISLAM :D

PERKEMBANGAN MASYARAKAT ISLAM SEMASA PEMERINTAHAN 
KHULAFA’ AL-RASYIDIN DI SEMENANJUNG TANAH ARAB

                  Pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin berlaku setelah wafatnya Nabi Muhammad SAW, iaitu antara tahun 632 M hingga 661 M. Pada zaman ini, pemerintahan berpusat di Madinah dan diperintah oleh empat orang khalifah yang dikenali sebagai Khulafa al-Rasyidin.

                  Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama ialah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq yang memerintah pada tahun 632 M hingga 634 M. Selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW, masyarakat Islam mula berpecah kepada empat golongan iaitu Muhajirin, Ansar, Bani Hashim dan aristokratik kerana ingin menjawat jawatan sebagai khalifah bagi menggantikan Rasulullah SAW memerintah negara  dan umat Islam. Masalah perpecahan orang Islam ini telah diselesaikan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dan berdasarkan kewibawaan, ketokohan, hubungan rapat dengan Nabi Muhammad SAW dan masyarakat Islam serta kepimpinan yang ada pada beliau. Masyarakat Islam bersetuju untuk melantik beliau sebagai Khulafa’ al-Rasyidin yang pertama. Semasa pemerintahan beliau juga, telah muncul satu kumpulan baharu di Madinah, iaitu masyarakat yang keluar dari Islam dan masyarakat yang tidak mahu membayar zakat. Golongan ini telah dihapuskan oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq dengan gerakan berbentuk ketenteraan dikenali sebagai Gerakan al-Riddah dan mereka kembali menganut Islam yang sebenar. Namun, beliau telah meninggal dunia pada 13 H kerana sakit tua.

                  Setelah wafatnya Khalifah Abu Bakar al-Siddiq, Khalifah Umar al-Khattab telah dilantik sebagai khalifah yang kedua. Semasa pemerintahan beliau, masyarakat Islam hidup aman damai kesan pemerintahan Khalifah Abu Bakar al-Siddiq sebelumnya dan beliau hanya menumpukan perhatian kepada perluasan kawasan dan penaklukan seperti penaklukan ke atas Parsi, Syria, Palestin dan Mesir. Oleh itu, Islam berjaya berkembang dengan pesat melalui penaklukan tersebut. Namun, terdapat juga golongan yang tidak menyenangi pemerintahan Khalifah Umar al-Khattab sehingga membawa kepada peristiwa pembunuhan beliau. Khalifah Umar al-Khattab telah meninggal dunia akibat dibunuh pada Rabu 26 Zulhijjah 23 H di dalam masjid ketika beliau sedang mengerjakan solat subuh.

                  Khalifah Umar al-Khattab telah digantikan oleh Khalifah Uthman bin Affan sebagai Khalifah al-Rasyidin yang ketiga. Sewaktu enam tahun pertama pemerintahan beliau, masyarakat Islam telah hidup dalam aman damai kesan pemerintahan khalifah-khalifah sebelumnya namun selepas itu masyarakat Islam berada dalam perpecahan dan kucar-kacir disebabkan sikap dan polisi pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan. Antaranya ialah tindakan beliau yang memecat pegawai pentadbir dan kakitangan kerajaan berpengalaman dan berwibawa yang dilantik oleh khalifah-khalifah sebelumnya dan mereka telah digantikan dengan ahli keluarganya yang terdiri daripada Bani Umayyah. Oleh hal yang demikian, masyarakat Islam telah terbahagi kepada dua golongan iaitu golongan penyokong yang terdiri daripada keturunan Bani Umayyah dan golongan penentang. Golongan penentang tersebut telah melakukan kepungan di rumah Khalifah Uthman bin Affan selama dua hari dan akhirnya pada 13 Zulhijjah 35 H beliau telah dibunuh di rumah sewaktu sedang membaca al-Quran. Kesan pembunuhan tersebut, perpecahan masyarakat Islam semakin memuncak dan wujudnya dua golongan iaitu penyokong Khalifah Uthman bin Affan dan anti kepada Khalifah Ali bin Abu Talib dan penyokong Khalifah Ali bin Abu Talib.

                  Khalifah yang keempat dan terakhir ialah Khalifah Ali bin Abu Talib yang menggantikan Khalifah Uthman bin Affan. Pada peringkat awal masyarakat Islam terdiri daripada dua golongan iaitu golongan penyokong Khalifah Ali bin Abu Talib yang terdiri daripada keturunan Bani Hashim dan golongan penentang Khalifah Ali bin Abu Talib yang terdiri daripada keturunan Bani Umayyah pimpinan Muawiyah bin Abu Sufyan. Golongan penentang ini mendakwa Khalifah Ali bin Abu Talib terlibat dalam pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan dan mendesak beliau menyiasat dan mencari pembunuh sebenar. Keadaan ini menyebabkan pertelingkahan antara dua golongan tersebut dan keadaan ini menjadi semakin buruk apabila Khalifah Ali bertindak memecat pegawai dan kakitangan keturunan Bani Umayyah yang dilantik oleh Khalifah Uthman. Muawiyah telah mempengaruhi bekas isteri Nabi Muhammad SAW, iaitu Saidina Aishah binti Abu Bakar al-Siddiq kerana dendamnya terhadap Khalifah Ali bin Abu Talib yang tidak bersetuju dengan perlantikan Khalifah Abu Bakar. Oleh hal yang demikian, masyarakat Islam terbahagi kepada tiga golongan iaitu golongan Bani Hashim, golongan Bani Umayyah dan golongan pimpinan Saidatina Aishah dan Abdullah bin Zuber. Perpecahan masyarakat ini sampai ke penghujungnya pada tahun 656 M apabila berlaku Perang Jamal antara Bani Hashim dengan Saiditina Aishah dan perang tersebut berpihak kepada Khalifah Ali. Pada tahun 658 M pula, Bani Umayyah pimpinan Muawiyah melancarkan Perang Siffin ke atas Khalifah Ali dan serangan ini berakhir dengan perdamaian melalui Majlis Tahkim pada 17 Hijrah. Rentetan perang tersebut, pada tahun 661 M, Khalifah Ali telah dibunuh oleh golongan Khawarij semasa beliau bersama Muawiyah dan Amr al-As berada di dalam Masjid Kufah pada 17 Ramadan 40 H.

                  Kesimpulannya, keempat-empat Khulafa’ al-Rasyidin yang menggantikan Nabi Muhammad SAW telah berusaha sedaya-upaya untuk mempertahankan negara Islam di samping mengembangkan ajaran umat Islam.