Tuesday 3 December 2013

COUNT CAMILLO DI CAVOUR

LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH 
COUNT CAMILLO DI CAVOUR
UNTUK MENYATUKAN ITALI

Count Camillo Benso di Cavour merupakan seorang negarawan yang memainkan peranan penting dalam usaha penyatuan Itali.  Beliau berasal daripada keluarga bangsawan Piedmont. Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam politik Piedmont. Beliau pernah memegang jawatan sebagai ahli Parlimen dan Menteri Pertanian dan Perdagangan Piedmont. Pada tahun 1852, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Piedmont dan mengambil pelbagai langkah untuk merealisasikan usaha penyatuan Itali.

Sebagai Perdana Menteri Piedmont, Count Cavour mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan dala bidang politik dan ekonomi. Beliau menjalankan reformasi dalam bidang ketenteraan pentadbiran dan perindustrian. Reformasi dalam bidang pentadbiran diperlihatkan dengan menjalankan reformasi dalam bidang ketenteraan dan perundangan. Ekonomi kerajaan juga dibangunkan dengan memajukan sector pertanian, perdagangan dan perindustrian. Count Cavour menggalakkan penubuhan industri baharu, menggalakkan pelabur-pelabur dari luar Negara melabur di Piedmont dan mendapatkan khidmat nasihat pakar ekonomi luar Negara dalam membangunkan ekonomi Piedmont. Langkah-langkah tersebut diambil bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan bagi menghadapi peperangan dengan Austria. Selain itu, tindakan tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh beliau untuk menyatukan Itali.

Langkah seterusnya yang diambil oleh beliau untuk merealisasikan hasrat menyatukan Itali adalah dengan menjalinkan perikatan Perancis. Beliau menggunakan kebijaksanaan politik bagi mengelakkan kewujudan perikatan dengan antara Austria dan Perancis. Beliau berpendapat perikatan antara Austria dan Perancis akan mengancam kedudukan Piedmont. Tambahan pula, pemimpin Perancis iaitu Napoleon berminat memberi bantuan kepada Itali.

Count Cavour mengambil peluang tersebut untuk menjalinkan hubungan rapat dengan Perancis. Selain itu, beliau juga mengadakan pakatan ketenteraan dengan Perancis bagi menyerang Austria. Pakatan ketenteraan ini membolehkan Piedmont mendapat bekalan tentera dari Perancis dan mendapat Lombardy dan Venetia sekiranya Austria dapat ditewaskan dalam peperangan tersebut.

Bagi merealisasikan usaha penyatuan Itali, Count Cavour turut melibatkan Piedmont dalam hal ehwal yang berlaku di luar Negara. Beliau berpendapat, kuasa-kuasa Eropah akan membantu menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi sekiranya Itali memainkan peranan aktif dalam hal ehwal antarabangsa. Sehubungan dengan itu, beliau membuat keputusan untuk melibatkan Itali dalam peperangan yang berlaku di Crimea. Pada tahun1856, pasukan tentera Piedmont mencapai kejayaan dalam pertempuran di Tchemaya. Kemenangan ini memberi keyakinan kepada Piedmont untuk menghadapi peperangan dengan Austria.

Count Cavour turut memainkan peranan dalam pembentukan Persatuan Kebangsaan. Persatuan ini ditubuhkan bagi menyatukan kumpulan-kumpulan yang berjuang untuk menyatukan Itali. Persatuan ini memainkan peranan melahirkan kesedaran dalam kalangan nasionalis untuk mewujudkan sebuah organisasi bagi menyelaraskan usaha penyatuan Itali. Antara tokoh-tokoh yang terlibat ialah Pallavincio, La Farina, Garibaldi dan Daniele Manin. Mereka menjadikan Count Cavour sebagai rakan sekutu bagi menyelaraskan kegiatan pergerakan kebangsaan di Itali.

Count Cavour turut memainkan peranan dalam usaha menyelaraskan kegiatan pergerakan kebangsaan di Itali. Beliau mengadakan rundingan secara sulit dengan pemimpin Persatuan Kebangsaan. Sebagai contohnya, beliau mendapatkan bantuan La Farina bagi mencetuskan kebangkitan rakyat di wilayah utara dan tengah Itali. Beliau turut mendapatkan kerjasama daripada Garibaldi untuk menubuhkan pasukan tentera sukarela daripada kalangan penduduk Lombardy. Langkah-langkah ini menyebabkan wujud kesepakatan dalam kalangan golongan nasionalis untuk menyelaraskan usaha ke arah penyatuan Itali.

Langkah-langkah berbentuk provokatif juga diambil oleh Count Cavour agar Austria memulakan peperangan terhadap Piedmont. Antaranya memutuskan hubungan diplomatik dengan Vienna pada tahun 1857 apabila Vienna melucutkan jawatan seorang Senator Sardinia dari Lombardy. Beliau juga mengarahkan La Marmora, Menteri Kewangan Piedmont mengumpul dana untuk menghadapi peperangan dengan Austria. Tindakan ini telah menyebabkan Austria melancarkan peperangan dengan Piedmont. Count Cavour menjalinkan hubungan sulit dengan Persatuan Kebangsaan tetapi hubungan tersebut menimbulkan kemarahan Austria. Hasil hubungan tersebut, Persatuan Kebangsaan membantu Count Cavour menubuhkan depot-depot tentera dan mengedarkan risalah yang menyeru rakyat menyokong kepimpinan Piedmont.


Kesimpulannya, Count Cavour merupakan tokoh nasionalis yang memberikan sumbangan besar dalam usaha menyatukan Itali. Beliau menggunakan pelbagai pendekatan dan kebijaksanaan politik dalam mengatur gerakan menyatukan Itali. Kesan daripada langkah-langkah tersebut penyatuan Negara bangsa Itali menjadi kenyataan menjelang tahun 1870.

No comments: