Wednesday 28 May 2014

SYRIA

FAKTOR-FAKTOR YANG MENDORONG GERAKAN NASIONALISME DI SYRIA


                    Selepas Perang Dunia Pertama tamat, empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemerosotan. Empayar ini berpecah-belah. Kuasa-kuasa imperialis menguasai kawasan-kawasan yang dibebaskan dari naungan kerajaan Turki Uthmaniyah. Syria diletakkan di bawah kawalan Perancis dan Perancis menjaga hal ehwal Syria lalu memulakan penjajahannya. Gerakan nasionalisme di Syria berlaku akibat pencerobohan Barat yang menguasai keadaan politik dan ekonomi Syria.

                    Antara faktor yang mendorong kemunculan semangat nasionalisme ialah pengaruh agama. Keadaan ini muncul dalam kalangan tokoh-tokoh agama untuk menghalang imperialisme dan menjaga kesucian agama Islam. Mereka menekankan perpaduan umat Islam untuk menyekat perluasan kuasa Barat. Atas kesedaran agama Islam, muncul penggerak-penggerak nasionalis di Syria. Golongan ini mengambil berat tentang kedudukan orang Islam di negara jiran, iaitu di Palestin. Semangat nasionalisme juga muncul kerana tindakan orang Yahudi yang ingin menempatkan orang Yahudi di kawasan orang Palestin. Keadaan ini menyemarakkan semangat nasionalisme dalam kalangan orang Syria.

                Bahasa dan kesusasteraan juga memainkan peranan dalam kemunculan semangat nasionalisme di Syria. Perancis mengamalkan dasar pecah dan perintah. Mereka memperjuangkan bahasa golongan minoriti. Golongan minoriti ingin bahasa mereka diiktiraf sebagai bahasa rasmi di kawasan masing-masing. Semangat nasionalisme dalam kalangan orang Kurdi dan orang Turki muncul kerana isu bahasa di kawasan yang diduduki oleh mereka.

                 Pengaruh kewartawanan khususnya majalah Al-Manar menyebarkan konsep pembaharuan dan tajdid di Kaherah oleh Rasyid Rida yang dilahirkan di Syria. Penyebaran idea-idea pembaharuan dan dakwah Islamiah oleh majalah ini merupakan pendorong kepada gerakan nasionalisme. Majalah ini memberikan ruang untuk perbincangan pelbagai isu, mempelopori pertukaran idea serta mengemukakan cara-cara baharu menangani isu-isu sosial. Sejak tahun 1899, majalah ini disebarkan ke seluruh wilayah Islam.

            Pendidikan juga memainkan peranan dalam kebangkitan semangat nasionalisme di Syria. Sebuah akademi bahasa ditubuhkan di Syria dan menjadi tempat pertemuan golongan ahli linguistik untuk berkumpul dan bertukar-tukar fikiran. Mereka mengutamakan bahasa Arab dan ingin melihat penubuhan sebuah negara Arab di Syria. Di bandar Damsyik dan Beirut, universiti-universiti didirikan dengan fungsi sebagai tempat perbincangan dan perdebatan golongan intelektual.

            Tidak dapat dinafikan bahawa golongan intelektual merupakan pendorong utama semangat nasionalisme. Tokoh-tokoh ini memperjuangkan hak mereka melalui pelbagai kaedah. Rasyid Rida seorang warganegara Syria berusaha untuk mengembangkan ideologi pembaharuan dan Pan-Islamisme. Tokoh ini mengkaji kelemahan masyarakat Islam serta cara mengatasinya dengan mengamalkan prinsip-prinsip dasar Islam dan idea modenisme penulisan. Rasyid Rida Berjaya membangkitkan semangat nasionalisme di Syria.

                    Selain itu, pengaruh dari luar Syria juga memainkan peranan yang penting. Dasar Pan-Islamisme menjadi dasar kerajaan Turki Uthmaniyah semasa pemerintah Sultan Abdul Hamid II. Pengaruhnya juga terdapat di Syria kerana Syria merupakan kawasan di bawah pemerintahan kerajaan Turki Uthmaniyah. Shakib Arselan yang berasal dari Lubnan menyeru kepada penduduk Syria untuk menentang kemaraan kuasa Barat. Dia juga menggesa orang Syria supaya melawan orang British semasa Perang Dunia Pertama.

                    Kesimpulannya, wilayah Timur Tengah terdedah kepada kuasa Berikat selepas Perang Dunia Pertama. Perancis mendapat mandate untuk memerintah Syria. Mereka memerintah Syria selama tujuh tahun sebelum pilihan raya diadakan. Walau bagaimanapun, Syria masih tidak mendapat kemerdekaan penuh.

BIDANG POLITIK ...

PEMBAHARUAN-PEMBAHARUAN DALAM BIDANG POLITIK YANG DILAKUKAN OLEH KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

                    Khalifah Umar bin al-Khattab dilahirkan pada tahun 584 M. Beliau berasal daripada Bani Adi, iaitu keturunan bangsawan yang dihormati. Beliau seorang pemuda yang berani, tegas dan mempunyai pemikiran yang tajam. Beliau disegani dan ditakuti kerana keperibadiannya. Beliau memeluk agama Islam pada usia 33 tahun. Pengislamannya menyebabkan Islam berkembang dengan meluas. Beliau dilantik sebagai khalifah oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq. Perlantikan beliau berdasarkan pengalaman, kewibawaan dan kepimpinannya. Perlantikannya sebagai khalifah kedua dipersetujui oleh para sahabat dan umat Islam. Beliau telah memerintah kerajaan Islam selama 10 tahun. Khalifah Umar al-Khattab telah melakukan banyak pembaharuan dan perubahan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

                    Satu pembaharuan dalam bidang politik yang dilaksanakan oleh beliau ialah perubahan Majlis Syura. Sistem pemerintahan syura yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW tidak diwujudkan sebagai satu badan yang rasmi. Perkara ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Badan ini dibahagikan kepada dua, iaitu Majlis Syura Tinggi dan Majlis Syura Am. Anggota majlis ini dikenali Ahl al-Syura. Anggota majlis ini mestilah mempunyai sifat tertentu seperti beragama Islam, lelaki, merdeka dan mempunyai sahsiah yang tajam.

                    Semasa pemerintahan Khalifah Umar, empayar Islam dibentuk. Banyak kawasan baharu dibuka di Syria, Iraq, Mesir dan Palestin. Untuk melicinkan pentadbiran, Khalifah Umar telah membahagikan pentadbiran Negara kepada lapan wilayah. Di setiap wilayah dilantik seorang Gabenor yang dibantu oleh pegawai-pegawai seperti Setiausaha Tentera, Pegawai Cukai dan Pegawai Perbendaharaan. Pentadbiran wilayah ini adalah untuk memudahkan pengawasan. Setiap wilayah dilengkapi dengan pusat pemerintahan seperti Kufah, Damsyik dan Fustat.

                    Khalifah Umar juga memperkenalkan undang-undang tanah untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan tanah. Tanah dibahagikan kepada dua iaitu tanah bertuan dan tanah tidak bertuan. Tanah tidak bertuan juga dikenali sebagai tanah sawafi iaitu tanah-tanah yang dimiliki oleh pemerintah Parsi, tanah yang tiada waris dan tanah yang pemiliknya melarikan diri menjadi tanah kerajaan. Tanah sawafi ditadbir oleh golongan Ahl al-ayyam dan tanah ini tidak boleh dijual beli atau dimiliki oleh sesiapa. Tanah bertuan, iaitu tanah dhimmah pula ditadbir oleh pemilik asal.

                    Khalifah Umar juga mengemaskinikan struktur pentadbiran tentera. Beliau telah memperkenalkan dua pasukan tentera iaitu tentera tetap dan tentera sukarela. Tentera tetap dibayar gaji dan tidak boleh melibatkan diri dalam kerja sampingan. Mereka diberi latihan intensif, direkodkan nama dan nombor pendaftaran. Pusat-pusat ketenteraan dan kubu-kubu pertahanan dibina sebagai langkah pertahanan demi menjaga keselamatan Negara.

                    Satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan oleh Khalifah Umar ialah bidang kehakiman. Beliau telah menubuhkan jabatan kehakiman dan jabatan tersebut diasingkan daripada jabatan-jabatan yang lain untuk menjamin keadilan. Beliau juga memperketat syarat-syarat perlantikan kadi. Gaji kadi dan pegawai kerajaan dibayar dengan jumlah yang tinggi untuk mengelakkan rasuah. Kadi juga tidak digalakkan bergaul mesra dengan masyarakat umum bagi menjamin keadilan perundangan. Prinsip kehakiman yang dilaksanakan adalah berlandaskan syariat Islam.

                    Zaman pemerintahan Khalifah Umar dianggap sebagai Zaman Keemasan kerajaan Islam. Selain daripada pembaharuan politik, ekonomi dan sosial, Khalifah Umar juga Berjaya membentuk satu empayar Islam yang luas. Dengan sumbangan dan kejayaan yang dicapai oleh beliau, Khalifah Umar digelar ‘Panglima Agung Mukmin’.

Sunday 11 May 2014

PENGISIAN WAKTU

MENGISI WAKTU ANTARA TERBIT MATAHARI SEHINGGA TERGELINCIRNYA


Selain daripada solat sunat duha, ada beberapa perkara bermanfaat yang boleh dilakukan antara waktu terbit matahari (waktu duha) sehingga tergelincirnya (waktu zuhur). Antaranya:


PERTAMA : Paling afdal menghabiskan waktu dengan mencari ilmu yang bermanfaat, bukan ilmu yang sia-sia yang sangat diminati kebanyakan remaja kini (hiburan dan sebagainya). Ilmu bermanfaat ialah ilmu yang memberi pengetahuan tentang sesuatu yang baik dan tidak melanggar syariat.




KEDUA : Usahakan diri untuk berbuat ibadat seperti berzikir, bertasbih dan membaca al-Quran. Dengan cara ini, kita tergolong dalam kalangan orang yang beruntung.



KETIGA : Buat sebarang pekerjaan yang dapat memberi kebaikan kepada orang Islam, menggembirakan hati orang lain atau membantu orang soleh dalam pekerjaan mereka, seperti memberi makan kepada fakir dan miskin, menziarahi orang sakit dan sebagainya.




KEEMPAT : Berusaha untuk menunaikan hajat sendiri dan mencari nafkah untuk diri, keluarga ataupun mungkin juga saudara bawah tanggungan kita. Jaga perlakuan agar tidak mengganggu orang lain sama ada dengan tangan ataupun lidah kita.



Sumber : Majalah Gen-Q isu no.13

Friday 9 May 2014

PEMBAYARAN JIZYAH

NAUNGAN MELALUI PEMBAYARAN JIZYAH PADA ZAMAN PEMERINTAHAN KHULAFA’ AL-RASYIDIN

Jizyah merupakan perkataan Arab yang membawa maksud ganti rugi atau balasan terhadap kebaikan atau keburukan. Jizyah dianggap sebagai sesuatu pemberian ufti oleh seorang individu atau negara bukan Islam kepada kerajaan Islam yang memerintah. Jizyah juga ditakrifkan sebagai cukai politik yang dikenakan ke atas golongan kafir zimmi yang menerima perlindungan nyawa dan harta benda daripada pemerintah Islam. Orang bukan Islam yang membayar jizyah akan diberi hak yang sama seperti orang Islam dan akan mendapat kebebasan beragama. Jizyah bukan satu bentuk denda tetapi merupakan ganjaran ke atas penat lelah kerajaan Islam yang melindungi mereka. Pembayaran jizyah oleh kerajaan bukan Islam merupakan simbol naungan di bawah kerajaan Islam.

Naungan melalui pembayaran jizyah boleh dikategorikan kepada dua iaitu jizyah secara baik dan jizyah secara paksaan. Jizyah secara baik ialah pembayaran atas dasar kerelaan atau persetujuan antara orang bukan Islam dengan pemerintah Islam. Jizyah secara paksaan pula ialah kadar pembayaran yang ditentukan oleh pemerintah Islam apabila ada hubungan antara golongan zimmi dengan pemerintah Islam. Kesanggupan berada di bawah naungan kerajaan Islam dengan membayar jizyah menggambarkan kekuatan kerajaan Islam Madinah.

Pelaksanaan jizyah dijalankan secara meluas pada zaman pemerintahan Khalifah al-Rasyidin. Keadaan ini merupakan susulan kejayaan ekspedisi dakwah dan ketenteraan pada tempoh masa itu. Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar, beliau akan memberikan tiga pilihan kepada Iraq dan Syria iaitu untuk memeluk Islam, diserang atau membayar jizyah. Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan beberapa kawasan seperti Iraq dan Syria dan pemerintah di kawasan tersebut bersetuju untuk membayar jizyah sebanyak 19 ribu dirham kepada kerajaan Islam. Kerajaan al-Anbar dan ‘Ain al-Tamar juga sanggup bernaung di bawah kerajaan Islam apabila ditawan oleh panglima Khalid Al-Walid. Penduduk di wilayah-wilayah tersebut rela membayar jizyah.

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, banyak lagi kawasan yang rela bernaung di bawah kerajaan Islam Madinah. Untuk melicinkan kutipan jizyah, Khalifah Umar telah mengarahkan gabenor-gabenor wilayah untuk menjalankan tugas ini dengan sempurna. Penduduk Mesir sanggup bernaung di bawah kerajaan Islam apabila Amru bin al-As berjaya menewaskan penjajah Rom di Mesir. Pemimpin Baitulmuqaddis sanggup membayar jizyah apabila menandatangani perjanjian damai dengan Khalifah Umar. Kerajaan Islam memberikan jaminan terhadap keselamatan nyawa dan harta benda di samping kebebasan beragama serta amalan beribadat. Penduduk di Syam, Palestin dan Jordan juga bersetuju untuk membayar jizyah selepas kejayaan tentera Islam mengalahkan tentera Byzantine.

Tugasan dan pungutan jizyah diteruskan oleh Khalifah Uthman bin Affan. Kawasan naungan kerajaan Islam bertambah luas akibat perluasan kuasa yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Kejayaan ekspedisi ketenteraan menyebabkan kawasan-kawasan seperti Tripoli, Nabah dan Qairawan menyatakan kesanggupan untuk berada di bawah naungan kerajaan Islam melalui pembayaran jizyah.

Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib, pelaksanaan jizyah agak kabur. Hal ini disebabkan keadaan negara yang tidak aman, berlaku pemberontakan dan perang saudara seperti Perang Jamal dan Perang Siffin. Pendapatan melalui jizyah berkurang kerana terdapat beberapa buah negeri yang tidak membayar jizyah dan membebaskan diri daripada menjadi naungan kerajaan Islam.

Kesimpulannya, pelaksanaan jizyah bukan sahaja membuktikan kehebatan kerajaan Islam Madinah tetapi pada masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan negara. Sistem ini diteruskan lagi pada zaman Khalifah Bani Umaiyah tetapi terdapat perbezaan dari segi kutipannya.


Wednesday 7 May 2014

ETIKA KETIKA MENGHADAPI PEPERANGAN

ETIKA YANG DIAMALKAN OLEH NABI MUHAMMAD SAW 
KETIKA MENGHADAPI PEPERANGAN


                   Islam tidak menggalakkan peperangan, tetapi Nabi Muhammad SAW terpaksa menghadapi pelbagai penentangan dalam usaha baginda untuk mengembangkan agama Islam. Peperangan terpaksa dilakukan untuk mempertahankan kesucian agama, mempertahankan maruah, menjaga keamanan dan menegakkan agama Islam. Peperangan pada zaman Rasulullah SAW dibahagikan kepada dua iaitu Perang Ghazwah dan Perang Sarriyah. Perang Ghazwah disertai oleh Nabi Muhammad SAW yang membawa kepada pertempuran seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak. Dalam peperangan ini, Nabi Muhammad SAW telah memperkenalkan etika peperangan yang berkonsepkan akidah Islam. Perang Sarriyah pula ialah peperangan yang tidak disertai oleh baginda. Etika peperangan dapat dibahagikan kepada sebelum, semasa dan selepas peperangan.

           Sebelum peperangan berlaku, tentera Islam perlu menawarkan perdamaian kepada pihak musuh, sama ada untuk memeluk agama Islam atau membayar jizyah sebagai simbol naungan dan kepatuhan bermula. Seandainya pihak musuh berkeras dan mahu memulakan serangan ke atas orang Islam, maka berlakulah peperangan.

                   Semasa peperangan, beberapa etika harus dipraktikkan. Tentera Islam dilarang memerangi golongan yang lemah seperti kaum wanita, kanak-kanak, orang cacat, orang yang menyerah kalah dan orang tua. Namun demikian, jika golongan tersebut mencetuskan atau menggerakkan perang, maka tentera Islam boleh bertindak balas dengan tindakan yang sewajarnya.

                   Semasa peperangan berlaku, tentera Islam juga dilarang merosakkan harta dan kemudahan awam. Mereka tidak dibenarkan memusnahkan rumah-rumah, kawasan pertanian dan rumah ibadat kerana semua itu melibatkan kepentingan orang awam dan juga merupakan satu pembaziran.


                   Satu lagi etika yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa perang ialah kepatuhan kepada ketua. Semua anggota tentera wajib akur kepada arahan pemimpin atau ketua. Etika ini wajib diamalkan demi mengelakkan perpecahan atau berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Hal ini dapat dilihat semasa Perang Uhud. Tentera Islam mengalami kekalahan kerana mereka tidak mematuhi arahan pemimpin dan mementingkan tujuan lain seperti harta benda dan bekalan makanan.

                   Peperangan haruslah dihentikan sekiranya pihak musuh ingin berdamai. Etika ini diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa baginda dan tentera Islam bersedia untuk menyerang kota Makkah. Penduduk Arab Makkah ingin berdamai dan Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani. Perjanjian ini membawa kepada pembukaan kota Makkah kepada orang Islam. Tentera Islam juga wajib mematuhi segala perjanjian yang telah dipersetujui. Mereka juga perlu memberikan layanan yang adil kepada musuh yang kalah atau ditawan seperti memberikan pengampunan.

                   Sifat adil juga merupakan salah satu etika peperangan. Sifat ini sebati dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sentiasa berlaku adil kepada semua orang tidak kira kawan atau lawan. Keadilan terhadap kawan diperlihatkan apabila baginda membahagikan harta rampasan perang secara sama rata kepada tentera yang menyertai perang tersebut. Keadilan terhadap lawan pula ditunjukkan apabila memberikan layanan yang baik dan tidak melakukan pencerobohan.

                   Etika peperangan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW membawa kejayaan yang besar kepada umat Islam. Asas kekuatan tentera Islam ialah kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Sifat kepahlawanan baginda dicontohi oleh pemimpin-pemimpin Islam yang lain.

SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH

SUMBANGAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH DALAM MENGUKUHKAN EMPAYAR TURKI UTHMANIYAH



                Nama sebenar Sultan Muhammad al-Fatih ialah Muhammad bin Murad. Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 dan menduduki takhta semasa berumur 19 tahun bagi menggantikan bapanya Sultan Murad II. Sultan Muhammad al-Fatih sangat terkenal dalam bidang ketenteraan dan penaklukan negeri dan baginda digelar al-Fatih (penakluk). Baginda telah memerintah empayar yang luas selama 30 tahun. Baginda merupakan seorang negarawan yang ulung dan panglima tentera  yang handal. Kejayaannya yang paling besar dalam bidang ketenteraan ialah penaklukan ke atas kota Constantinople iaitu pusat pemerintahan Byzantine.

                Sejak kecil lagi, Sultan Muhammad al-Fatih telah meninjau dan mengkaji langkah bapanya yang ingin menawan kota Constantinople. Baginda berasa terancam apabila Raja Constantine XI cuba mengugutnya. Baginda menyediakan pasukan tentera seramai 265 000 orang dengan kapal laut sebanyak 400 buah dan peralatan moden seperti meriam gergasi. Kemudian baginda telah membina sebuah kubu pertahanan ‘Rumili Hisari’ di tebing Selat Bosphorus. Baginda telah mengadakan perjanjian damai dengan kawasan-kawasan jiran seperti Serbia dan Hungary. Angkatan Tentera Byzantine pula dibantu oleh Kerajaan Vatican dan beberapa Negara Eropah. Sultan Muhammad al-Fatih telah menggunakan pelbagai strategi untuk mencapai kemenangan.


                Salah satu daripada strategi tersebut ialah membawa ulama untuk memberikan motivasi dan semangat kepada tentera Islam. Baginda juga membawa kapal perang melalui jalan darat. Hampir dua bulan diserang, kota itu masih dapat dipertahankan tetapi setelah sembilan bulan, kota ini jatuh kepada tentera Islam dan rajanya terbunuh. Sultan Muhammad al-Fatih  berjaya memasuki istana raja pada tahun 1435 M. Kota Constantinople ditukar nama kepada Istanbul dan dijadikan sebagai ibu kota Turki Uthmaniyah.

                Tugas baginda seterusnya adalah menambah bilangan penduduk Istanbul yang sudah berkurangan akibat terkorban dalam peperangan. Baginda mengarahkan orang Yahudi kembali ke kota ini. Kekayaan yang dimiliki telah membantu memakmurkan Constantinople. Baginda juga mengarahkan negeri-negeri di bawah takluknya menghantar wakil masing-masing ke Istanbul. Orang Islam dari Asia turut berpindah secara beramai-ramai ke kota ini kerana terletak di tempat yang strategik. Sifat baik hati dan pemurah Sultan Muhammad al-Fatih menjadikan kota ini sebagai pusat pendidikan dan intelektual.

                Sumbangan penting Sultan Muhammad al-Fatih ialah menyatukan empayarnya di bahagian utara Balkan untuk menyekat serangan kaum Magyar. Baginda terpaksa mengambil alih pemerintahan Serbia. Pada tahun 1458, berlaku krisis di istana Belgrade akibat perebutan kuasa. Kesempatan ini digunakan oleh baginda untuk menawan Belgrade. Baginda juga berjaya menghapuskan perikatan tentera Kerajaan Albania.

                Baginda juga mendirikan masjid dan bangunan-bangunan lain untuk memajukan negara. Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofia sebagai pusat beribadat orang Islam. Baginda juga membina dua lagi masjid di Istanbul. Terdapat pelbagai kemudahan dibina seperti madrasah, perpustakaan, hospital, rumah tumpangan, kolam renang dan telaga air. Semua kemudahan ini adalah untuk kebajikan rakyat dan menjaga keselamatan sultan selain membina limbungan kapal, gedung senjata dan juga kubu pertahanan.

                Sultan Muhammad al-Fatih memperoleh kejayaan besar sepanjang pemerintahannya. Baginda berjaya menyusun dan mengemaskinikan sistem pentadbiran, menjalinkan hubungan baik dengan kawasan naungannya dan membina empayar yang luas. Pembukaan Istanbul merintis jalan kepada kehancuran kerajaan Byzantine.

Sunday 4 May 2014

INSTITUSI PENDIDIKAN DI ACHEH

ACHEH MENJADI PUSAT PENGAJIAN ISLAM YANG TERPENTING DI NUSANTARA PADA ABAD KE 16 HINGGA ABAD KE 17.

PERKEMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKANNYA.


                 Latar belakang sistem pendidikan pada zaman pemerintahan kerajaan Islam di Acheh bermula apabila Acheh telah mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat politik selepas kejatuhan kerajaan Melaka pada tahun 1511 M. Acheh juga memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama Islam yang terulung di Nusantara. Pada abad ke 17 M dan ke 18 M, kerajaan Acheh telah mencapai kegemilangannya berikutan penubuhan kerajaan Perlak dan Pasai.


                 Matlamat pendidikan di Acheh dijayakan dengan institusi-institusi pendidikan ditubuhkan di Acheh bagi memudahkan rakyat mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan. Kerajaan Acheh sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan telah menubuhkan pelbagai institusi pendidikan terutamanya institusi pendidikan Islam.

                 Institusi pendidikan Islam di Acheh merupakan institusi yang tersusun dan terancang. Terdapat beberapa institusi telah ditubuhkan. antaranya ialah Meunasah dan madrasah yang merupakan institusi pendidikan permulaan yang biasanya didirikan di setiap kampung.


                 Masjid berfungsi sebagai pusat pendidikan dan juga pusat kegiatan umat Islam. Masjid juga merupakan pusat pendidikan yang bersangkutan dengan pendidikan tingkat menengah pertama. Beberapa masjid dinaik taraf menjadi pusat pendidikan tinggi seperti Masjid Baiturahman. Untuk melanjutkan pelajaran agama yang lebih tinggi, pelajar akan belajar di rangkang atau disebut juga pondok, pesantren atau madrasah.

                 Terdapat dayah yang berpusat di masjid bersama rangkang tetapi kebanyakan dayah berdiri sendiri di luar lingkungan masjid dengan menyediakan sebuah balai utama, iaitu yang digunakan sebagai tempat belajar sembahyang. Antara dayah yang terkenal ialah Dayah Cot Kala dan Dayah Teungku Chik.

                 Balai Setia Ulama dan Balai Jamaah Himpunan Ulama. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menubuhkan Lembaga Pelaksana Pendidikan yang terdiri daripada Balai Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jamaah Himpunan Ulama. Balai Setia Hukama merupakan tempat para ulama dan ahli fikir untuk membahaskan perkara-perkara yang menyentuh tentang pendidikan. Balai Setia Ulama merupakan tempat menguruskan masalah-masalah yang berkaitan dengan pendidikan. Balai Jamaah Himpunan Ulama merupakan kelab perbincangan bagi para sarjana dan ulama bertukar-tukar pandangan, mengadakan seminar, membahaskan masalah pendidikan dan sebagai tempat pengembangan ilmu pengetahuan.

                 Masjid Baiturahman dinaik taraf menjadi Jamiah atau Universiti Baiturahman. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sendiri telah mendirikan Masjid Baiturahman yang digunakan semata-mata untuk dijadikan tempat menuntut ilmu. Pendidikan di Acheh terbahagi kepada lima peringkat iaitu pendidikan dasar atau madrasah, pendidikan menengah atau rangkang. Terdapat beberapa tahap rangkang yang bergantung pada tahap ilmu yang dimiliki oleh guru yang mengajar. Pendidikan tinggi di Ballee, beberapa kumpulan Rangkang Ballee melahirkan dayah. Pendidikan yang dijalankan juga di masjid seperti Masjid Baiturahman, Baiturahim dan Bait Mushadah.


                 Kurikulum pendidikan terbahagi kepada peringkat rendah atau madrasah, peringkat menengah rendah atau rangkang, peringkat menengah atas, atau dayah dan peringkat Jamiah Baiturahman. Pada peringkat rendah, kanak-kanak menerima pendidikan asas agama. Pelajar diajar menulis Arab dan membaca al-Quran serta belajar perkara-perkara asas dalam Islam. Selain itu, pelajar turut mempelajari ilmu fardu ain seperti Rukun Iman, Rukun Islam, fiqah, ibadat dan akhlak serta cara beribadat seperti sembahyang dan puasa. Para pelajar juga dilatih bernasyid iaitu yang berhubung dengan agama yang dinamakan dike (zikir) atau seulaweut (selawat) pada setiap malam Jumaat. Anak-anak yang khatam al-Quran diajar beberapa kitab agama yang ditulis dalam bahasa Jawa dan Acheh seperti Kitab Perukunan dan Risalah Masailal al-Muhtadin. Sejarah Islam juga diajar dengan cara bercerita.

                 Seterusnya, pada peringkat menengah rendah atau rangkang, pelajar diajar bahasa Arab, fiqah, tauhid, tasawuf, ilmu tajwid dan tafsir al-Quran dan Ilmu umum seperti Geografi, Sejarah dan Matematik. Pelajar menggunakan buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu, selain daripada buku-buku bahasa Arab.

                 Berikutnya ialah peringkat menengah atas atau dayah yang diajar dalam bahasa Arab dengan menggunakan kitab-kitab dari Arab. Mata pelajaran yang diajar ialah Bahasa Arab, Fiqh, Jenayat (hukum pidana), Fiqh Munakahat (hukum perkahwinan), Fiqh Duali (hukum tatanegara), Sejarah Islam, sejarah Negara-negara, Ilmu Mantik, Tauhid atau Filsafat, Tasawuf, Akhlak, Ilmu Falak, Tafsir, Hadis dan sebagainya turut diajar.

                 Akhir sekali ialah peringkat Jamiah Baiturahman yang terdapat 17 dar (fakulti) seperti Fakulti Ilmu Tafsir dan Hadis, Fakulti Ilmu Kedoktoran, Fakulti Ilmu Kimia, Fakulti Pertanian, Fakulti Peperangan dan yang lain-lain. Ilmu-ilmu yang berkembang pesat sekali ialah ilmu-ilmu Usuluddin, Fiqah dan tasawuf.


                 Tenaga pengajar pula terdiri daripada guru-guru yang terdiri daripada ulama tempatan dan ulama dari luar Acheh. Banyak ulama muncul pada zaman ini. Antaranya Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari dan Abdul Rauf Sengkel. Ulama-ulama banyak menghasilkan karya mereka dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab juga. Banyak ulama luar dari negeri Arab, Parsi, India, Turki dan Gujerat datang ke Acheh. Mereka menjadi penasihat kepada kerajaan dan guru-guru di institusi pengajian dan di masjid-masjid. Contohnya Syeikh Abu al-Khayr Ibn Hajar dan Muhammad Yamani dari Makkah, Syeikh Muhammad Jayani dan Ibn Muhammad Hamid dari Gujerat.


                 Bahan rujukan atau teks yang digunakan ialah kitab al-Quran, Kitab Perukunan, risalah Masail al-Muhtadin, kitab-kitab terjemahan dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, buku-buku rujukan yang dikarang dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab, kitab-kitab karya Hamzah Fansuri seperti Asyarabul Asyikin, Asyrabul Arifin dan kitab-kitab karya Sheikh Nuruddin al-Raniri seperti Bustanus Salatin dan As-Siratul Mustaqim turut menjadi bahan rujukan.

                 Kesimpulannya, kerajaan Acheh telah mencapai zaman kegemilangan dalam sistem pendidikan dan telah berkembang maju sama ada dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Kegemilangan pendidikan telah membolehkan Acheh telah dikenali di seluruh alam Melayu dengan gelaran Serambi Makkah.


AL-MAS'UDI

SUMBANGAN AL-MAS’UDI 
DALAM 
BIDANG PENEROKAAN DAN PENJELAJAHAN


                Al-Mas’udi dilahirkan di Baghdad dan berketurunan Arab iaitu keturunan Abdullah bin Mas’udi. Beliau mendapat pendidikan secara langsung daripada ibu bapanya dan sangat berminat membuat penyelidikan tentang sejarah dan adat istiadat negeri-negeri. Beliau memulakan pelayaran dari Parsi. Beliau menulis karya besarnya iaitu Muruj al-Dhahab semasa di Basrah. Apabila kembali ke Fustat, beliau menyusun karangan keduanya berjudul, Akhbar al-Zaman dan meninggal dunia di Fustat.


                Beliau sangat terkenal dalam bidang geografi dan pelayaran. Kitab Muruj al-Dhahab yang dihasilkan oleh beliau membicarakan bidang geografi dan dikenali sebagai ensiklopedia geografi. Beliau cuba menggabungkan disiplin geografi dengan disiplin sejarah malah memberikan beberapa gambaran tentang perairan Laut Mati, gempa bumi dan tajuk geologi yang lain. Beliau juga pernah menyebut tentang kincir air di Sijistan.

                Beliau menghuraikan tentang gempa bumi yang berlaku di Iskandariah, Mesir pada tahun 955 M yang telah menumbangkan menara Iskandariah dalam kitab Muruj al-Dhahab. Beliau turut mengaitkan fenomena alam semula jadi dengan kehidupan manusia dan juga mengaitkan kepentingan pengaruh iklim. Selain itu, beliau menyokong teori Determinisme Alam Sekitar iaitu iklim dipengaruhi oleh planet yang mempunyai pengaruh rapat dengan sikap manusia.


                Tambahan pula, beliau membahagikan dunia kepada dua bahagian iaitu Barat di kawasan garis lintang tinggi manakala Timur di kawasan garis lintang pertengahan. Dalam bidang geografi pula, beliau mengkaji flora dan fauna yang terdapat di India serta memberi gambaran terperinci tentang geografi fizikal di India. Beliau juga membuat kajian tentang tanah fay iaitu tanah yang diperoleh oleh orang Islam tanpa peperangan.

                Dalam bidang pelayaran, beliau berjaya belayar sehingga ke Asia Tenggara dan China serta berjaya menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan ahli pelayaran dan pelaut tentang nama-nama pulau yang mereka lalui. Beliau memberikan gambaran tentang laluan dari Teluk Parsi ke Laut China.

                Selain itu, beliau turut menerangkan laluan pelayaran bangsa Arab melalui Pantai Afrika dan juga memperbetulkan kesilapan pelaut-pelaut dengan menegaskan bahawa laut bersambung antara satu sama lain dan tidak berasingan. Malah, beliau turut memperbetulkan kesilapan pelaut Arab yang menganggap Laut Kaspia dan Laut Hitam bersambung kerana kedua-duanya sebenarnya tidak bersambung antara satu sama lain. Beliau juga mengemukakan pandangan tentang jarak antara benua Eropah dengan benua China.

                Kesimpulannya, Al-Mas’udi telah memberi sumbangan besar dalam bidang geografi dan pelayaran sehingga digelar “Herodotus” dan “Plinius” Arab.

Saturday 3 May 2014

CINTA HATIKU !!!

10 TANDA CINTA KEPADA ALLAH SWT


ü Yakin bahawa Allah terpuji dalam semua sifat dan perbuatannya

ü Yakin bahawa Allah sangat baik dan pemurah kepada hamba-hamba-Nya

ü Yakin bahawa anugerah Allah kepadanya sangat baik sehingga tidak mampu dibayar dengan kata-kata syukur atau amal perbuatan

ü Yakin bahawa tugasan yang dibebankan kepadanya sangat sedikit


ü Setiap saat pasti merasa takut dan bimbang Allah akan berpaling daripadanya & mencabut semua nikmat-nikmat  yang pernah diberikan kepadanya

ü Selalu berasa perlu kepada Allah pada setiap masa dan tidak akan berpisah dengan-Nya

ü Selalu menyebut-nyebut nama-Nya


ü Berusaha untuk melaksanakan perintah-Nya yang wajib dan sunnah agar menjadi lebih dekat kepada-Nya

ü Merasa gembira setiap kali mendengar atau melihat seseorang berjuang di jalan Allah & menyumbangkan diri, harta, atau anak-anaknya untuk agama Allah

ü Setiap kali mendapati ada orang meminta bantuan dengan menyebut nama Allah, ia selalu membantunya…

  {SHEIKH NAWAWI AL-BANTANI, KASYIFAT AL-SAJA}