Wednesday 23 April 2014

BAITULMAL PADA ZAMAN KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

SUMBER BAITULMAL DAN PELAKSANAANNYA 

Baitulmal merupakan institusi kewangan yang menguruskan harta-harta kerajaan Islam. Baitulmal berfungsi sebagai tempat menyimpan barang-barang yang berharga. Pada zaman ini, baitulmal dikenali sebagai Perbendaharaan Negara. Institusi ini sudah wujud sejak zaman Nabi Muhammad SAW lagi tetapi tarikh penubuhan rasmi baitulmal adalah pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, banyak penaklukan wilayah berlaku dan ini menambahkan hasil Negara. Banyak harta diperoleh melalui perluasan kuasa. Tiga jenis harta, iaitu harta masyarakat,harta Negara dan harta umum dibenarkan masuk ke dalam Khalifah Umar berasaskan beberapa ayat al-Quran dan hadis. Terdapat pelbagai sumber pendapatan yang disimpan dalam baitulmal.

Sumber baitulmal yang pertama ialah zakat. Terdapat dua jenis zakat iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah diwajibkan ke atas semua orang Islam, manakala zakat harta dibayar oleh orang Islam ke atas pendapatan seperti emas, perak, hasil pertanian, hasil ternakan dan sebagainya. Zakat harta dibayar apabila cukup hasil dan nisabnya. Zakat biasanya diagih-agihkan kepada orang yang layak menerimanya. Lebihan harta ini disimpan dalam baitulmal untuk pembangunan Negara.

Kharaj merupakan cukai tanah yang dikenakan ke atas pemilik tanah di wilayah-wilayah yang ditakluki. Kadarnya ialah 10 peratus. Kharaj terbahagi kepada dua jenis, iaitu kharaj al-wazifah dan khazraj al-muqasamah. Kharaj al-wazifah dibayar sekali dalam satu tahun manakala kharaj al-muqasamah perlu dibayar setiap kali hasil yang diusahakan diperoleh.

Usyur merupakan satu lagi sumber baitulmal. Usyur ialah cukai perniagaan yang dikenakan ke atas semua peniaga Islam dan bukan Islam tetapi kadar yang dikenakan adalah berbeza. Orang Islam dikenakan kadar bayaran 2.5 peratus apabila cukup nisabnya, iaitu 200 dirham. Golongan kafir zimmi dikenakan cukai usyur dengan kadar 5 peratus manakala kafir harbi perlu membayar dengan kadar 10 peratus.

Sumber pendapatan seterusnya ialah ghanimah dan al-fay. Kedua-dua sumber ini merupakan harta rampasan perang. Ghanimah ialah harta yang diperoleh selepas berlaku satu peperangan, iaitu pihak musuh menyerah kalah. Harta ini biasanya ialah harta peninggalan tanpa waris. Baitulmal memperuntukkan satu perlima daripada kutipan ghanimah kepada kerajaan pusat di Madinah. Lebihan harta ini diagih-agihkan kepada askar-askar yang terlibat dalam peperangan.

Jizyah ialah cukai perlindungan yang dibayar oleh golongan kafir zimmi yang bernaung di bawah pemerintahan Islam. Kerajaan-kerajaan bukan Islam yang sanggup tunduk di bawah pemerintahan kerajaan Islam juga perlu membayar jizyah. Sebagai balasan pembayaran jizyah, kerajaan Islam wajib memberikan perlindungan dan menjamin keselamatan nyawa dan harta benda. Kadar jizyahditentukan oleh kerajaan Islam selepas rundingan. Hanya golongan yang cukup syarat sahaja perlu membayar cukai jizyah.

Pada zaman Khalifah Umar, institusi baitulmal diuruskan secara sistematik. Beliau telah melantik pegawai-pegawai khas untuk menguruskan baitulmal. Beliau juga memastikan bahawa sumber –sumber masuk ke dalam baitulmal adalah tidak bertentangan dengan syariat. Khalifah Umar juga memperkenalkan buku kira-kira supaya semua maklumat kutipan, simpanan dan agihan sentiasa dikemas kini. Maklumat-maklumat ini dapat mengelakkan penyelewengan dan mengesan perbelanjaan dan pendapatan.

Khalifah Umar juga memastikan bahawa sumber-sumber baitulmal membawa manfaat kepada rakyat dan Negara. Zakat yang dikutip diberikan kepada golongan yang layak menerimanya. Sumber-sumber ini juga digunakan untuk membangunkan ekonomi Negara Islam. Beliau juga menyediakan kemudahan awam seperti sistem pengairan, masjid dan kubu-kubu pertahanan.

Pada zaman Khalifah Umar, baitulmal daerah didirikan di setiap wilayah. Gabenor wilayah bertanggungjawab menguruskannya. Harta wilayah itu disimpan dalam baitulmal wilayah untuk membangunkan wilayah itu. Gabenor perlu menghantar laporan tahunan kepada khalifah. Khalifah al-Rasyidin menganggap baitulmal sebagai amanat Allah SWT, maka kaum Muslimin tidak mengizinkan kemasukan sesuatu ke dalam atau pengeluaran yang bertentangan dengan syarak Islam. Khalifah al-Rasyidin juga mengharamkan penggunaan sumber baitulmal untuk kepentingan peribadi.

Baitulmal memainkan peranan yang penting dalam menguruskan pendapatan Negara. Baitulmal menjamin pembangunan ekonomi, membantu golongan yang kurang bernasib baik dan juga memastikan harta kerajaan islam dijaga serta diuruskan berdasarkan syariat.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum, kalau boleh tahu, buku apa yang dijadikan sumber rujukan tentang baitul mal di atas? :D