Wednesday 23 April 2014

TOKOH SEJARAWAN ISLAM ... IBNU KHALDUN

PERANAN DAN SUMBANGAN IBNU KHALDUN 
DALAM BIDANG SEJARAH



              Nama sebenar Ibnu Khaldun ialah Abdul ar-Rahman bin Muhammad bin Khaldun al-Hadrami. Beliau dilahirkan di Tunisia pada tahun 1331M. Beliau seorang yang pakar dalam ilmu agama seperti fikah, tafsir dan hadis. Dari aspek ilmu aqli, beliau pakar dalam bidang falsafah, matematik dan sejarah. Beliau pernah memegang jawatan tinggi seperti Ahli Persuratan di Istana Faz dan menjadi Hajib di Bougie. Beliau juga pernah dilantik sebagai Hakim Mahkamah-mahkamah Raja di Mesir. Ketokohan beliau disanjung oleh tokoh-tokoh dan sarjana Barat. Toynbee dan R.Nicholson menganggap beliau sebagai ahli fikir dan tokoh yang tiada tolok bandingnya. G.Sarton menyatakan bahawa Ibnu Khaldun merupakan ahli sejarah dan falsafah agung sepanjang zaman. Karya-karya yang dihasilkan oleh beliau adalah himpunan daripada pembelajaran dan pengalaman yang diperolehnya.


           Sumbangan utama beliau ialah Kitab Al-Ibar yang merupakan ensiklopedia sintesis tentang metodologi sains kebudayaan. Kitab ini banyak membantu ahli-ahli sejarah menghasilkan karya atau kajian yang benar dan berbentuk ilmiah. Kitab tersebut dibahagikan kepada tiga bab dan diasingkan dalam tujuh jilid yang terdiri daripada bahagian asasi dan falsafah sejarah dan sains sosial.


             Bahagian pengenalan kepada kitab ini dinamakan nama Muqaddimah Ibn Khaldun setebal 700 muka surat yang membahaskan isu-isu tentang sejarah dan pensejarahan. Dalam pendahuluan, beliau membincangkan aspek sejarah, tema-tema dan juga kesalahan dalam meriwayatkan peristiwa sejarah. Kitab ini dianggap sebagai suatu sumbangan agung dalam bidang pensejarahan kerana cuba memahami pola perubahan kepada organisasi politik dan sosial manusia. Kitab ini turut menjelaskan peristiwa sejarah harus dikaji dan difahami.

          Ibn Khaldun juga memberikan sumbangan dalam pengkajian sejarah. Beliau mengutarakan beberapa konsep dan prinsip pengkajian sejarah. Beliau menekankan konsep sejarah yang merangkumi keseluruhan kegiatan manusia. Hal ini jelas menunjukkan bahawa beliau telah meluaskan ruang lingkup kajian sejarah iaitu aspek geografi dan sosiologi. Antara prinsip utama yang beliau kemukakan ialah prinsip hubungan antara sebab dan akibat. Maka pada dasarnya, sejarah manusia ditentukan oleh manusia sendiri kecuali jika melanggar hukum Tuhan.

               Ibn Khaldun merupakan sejarawan pertama yang mengkaji sejarah dari aspek sosiologi. Beliau menggunakan pendekatan ini untuk mengumpulkan maklumat berhubung dengan kehidupan sosial umat Islam. Menurut beliau, sejarah menentukan peristiwa-peristiwa luaran manakala ilmu sosiologi menerangkan aspek dalaman iaitu sifat-sifat semula jadi. Kaedah penyelidikan beliau mirip dengan kaedah sosiologi menghasilkan sejarah khas yang mengandungi dua kualiti iaitu zahir dan batin. Dalam aspek batinnya, beliau dapat memberikan penjelasan dan pengetahuan yang mendalam tentang sesuatu peristiwa dan sebabnya.

        Ibn Khaldun juga memberikan sumbangan dalam bidang teori dan pendekatan sejarah. Beliau telah memperkenalkan pendekatan multidisciplinary dalam pengkajian sejarah. Beliau menggunakan disiplin lain seperti geografi dan sosiologi dalam kajian beliau. Penggabungan ilmu atau disiplin ini membantu dalam memberikan satu penilaian yang kritis terhadap peristiwa sejarah.


                Ibn Khaldun merupakan seorang tokoh sejarah yang dapat menjelaskan sebab ahli-ahli sejarah sering bersikap berat sebelah dan tidak ada tafsiran yang jujur. Antara alasan beliau ialah wujud semangat kepartian yang menghalang pertimbangan yang waras. Selain itu, kegagalan dalam memahami sumber kerana tidak mengesahkan sumber tersebut. Seterusnya ialah kegagalan untuk menempatkan sesuatu kejadian dalam hubungan yang sebenar.

              Kesimpulannya, ketokohan Ibn Khaldun dalam bidang pensejarahan tidak dapat dinafikan. Hasil karyanya memberikan sumbangan besar kepada peradaban manusia. Beliau meletakkan asas bagi perkembangan sejarah bercorak saintifik.

No comments: