Wednesday 23 April 2014

KHULAFA' AL-RASYIDIN DAN KERAJAAN BANI UMAYYAH

KAEDAH PEMILIHAN KHALIFAH 



                Kaedah pemilihan khalifah dalam Khulafa al-Rasyidin dibahagikan kepada dua iaitu syura dan baiah. Oleh sebab syariah Islam tidak menyatakan dengan terperinci tentang kaedah pemilihan khalifah, maka terdapat pelbagai kaedah yang dilaksanakan dalam pemilihan khalifah bagi memerintah negara dan umat Islam bagi menggantikan kepimpinan Nabi Muhammad SAW.


                Kaedah pertama dalam kerajaan Khalifah al-Rasyidin ialah perundingan beramai-ramai. Cara ini dilakukan dengan mengadakan perundingan dan persetujuan tanpa ditetapkan calon terlebih dahulu. Nabi Muhammad SAW telah memberikan kebebasan kepada umat Islam dalam kalangan mereka untuk memerintah Negara dan umat Islam menggantikan baginda. Umat Islam diwakili oleh kaum Muhajirin dan Ansar telah berhimpun di Dewan Bani Saadah untuk menentukan pengganti yang akan dilantik menjadi khalifah. Khalifah yang telah dipilih dengan cara ini ialah Khalifah Abu Bakar al-Siddiq.

                Seterusnya, perlantikan dengan mengusul seseorang calon. Sebelum pemilihan khalifah, nama calon akan diusulkan oleh khalifah sebelumnya terlebih dahulu sebelum musyawarah atau secara syura dan dibaiahkan oleh umat Islam. Nama calon tersebut akan diputuskan secara syura. Cara ini telah digunakan semasa pemilihan Khalifah Umar al-Khattab. Sebelum Khalifah Abu Bakar al-Siddiq meninggal dunia, beliau telah menamakan Saidina Umar al-Khattab sebagai penggantinya.


                Kaedah ketiga adalah dengan mengusul sekumpulan calon. Khalifah yang sebelumnya akan mencalonkan beberapa nama yang difikirkan baik untuk dicaonkan sebagai khalifah. Bagi menentukan keputusan orang yang layak di antara calon yang disenaraikan akan menjadi khalifah, musyawarah telah diadakan. Dalam majlis musyawarah tersebut, pengundian dijalankan dan calon yang mendapat undian yang paling tinggi akan dilantik sebagai khalifah dan dibaiahkan. Pemilihan dengan cara ini telah digunakan semasa pemilihan Khalifah Uthman bin Affan. Antara nama lain yang tercalon untuk dilantik sebagai khalifah pula ialah Saidina Ali bin Abu Talib, Abdul Rahman bin Auf, Zubair al-Awwam, Saad bin Abi Waqas dan Talhah bin Ubaidillah.


                Kaedah keempat pula, pengusulan oleh sekumpulan masyarakat. Masyarakat Islam akan mencalonkan keturunan Nabi Muhammad SAW untuk dijadikan khalifah seterusnya. Khalifah Ali bin Abu Talib telah dipilih dengan cara ini. beliau telah dicadangkan oleh sekumpulan umat Islam dan musyawarah turut diadakan bagi memilih calon yang benar-benar sesuai bagi menjadi khalifah. Walaupun Khalifah Ali bin Abu Talib menolak jawatan tersebut pada mulanya, namun atas desakan para sahabat, beliau telah dibaiah dan menjadi Khalifah al-Rasyidin yang terakhir. Perlantikan khalifah dalam Khulafa’ al-Rasyidin berlaku secara demokrasi. Pemilihan dilakukan secara syura oleh ahli-ahlinya yang terdiri daripada para sahabat Nabi Muhammad SAW. Keputusan majlis ini dibaiahkan oleh umat Islam. Khalifah yang dipilih akan membaiahkan dirinya sebagai khalifah dengan berpaksikan al-Quran dan sunnah. Setelah wafatnya Khalifah Ali bin Abu Talib, sistem demokrasi dalam pemilihan khalifah dimansuhkan dan berakhirlah pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin.


                Setelah wafatnya Khalifah Ali bin Abu Talib, sistem demokrasi dalam pemilihan khalifah sebagaimana yang diamalkan semasa zaman Khulafa’ al-Rasyidin telah dimansuhkan dan berakhirlah pemerintahan Khulafa’ al-Rasyidin. Perlantikan khalifah dalam kerajaan Bani Umayyah yang bercorak monarki pula diperkenalkan. Hal ini membawa maksud, jawatan khalifah akan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Perkara ini secara tidak langsung telah memberi hak mutlak kepada khalifah untuk memilih penggantinya. Terdapat beberapa contoh pemilihan warisan dalam kerajaan Bani Umayyah antaranya ialah perlantikan Yazid bin Muawiyah oleh Muawiyah ketika khalifah sedang uzur. Cara perlantikan ini diteruskan oleh Khalifah Yazid bin Muawiyah yang melantik Khalid bin Yazid bagi menggantikannya sebagai khalifah. Berdasarkan sistem pemilihan khalifah secara warisan ini juga telah menyebabkan putera mahkota dinamakan sebagai pewaris khalifah.

                Setelah tumbangnya kerajaan Bani Umayyah, sistem perlantikan khalifah secara warisan turut diamalkan oleh pemerintah kerajaan Bani Abbasiyah.

No comments: