Wednesday 13 November 2013

JEAN-JACQUES ROUSSEAU

SUMBANGAN JEAN-JACQUES ROUSSEAU

Jean-Jacques Rousseau dilahirkan di Geneva dan berketurunan Swiss. Beliau dilahirkan di Geneva dan merupakan seorang pemikir yang berpengaruh. Ibunya meninggal dunia selepas beberapa hari melahirkannya. Beliau dibesarkan oleh ayahnya, seorang tukang jam. Pada tahun 1742, beliau ke Paris dan menjadi ahli muzik dan composer. Beliau kembali ke Geneva pada tahun 1745 dan berdampingan dengan ahli falsafah iaitu Diderot dan Condillac. Selepas itu, beliau mula melibatkan diri dalam bidang penulisan ketika berusia 40 tahun.

Dalam karyanya The Social Contract (1762), beliau mengemukakan pandangan bahawa sesebuah kerajaan atau pemerintah hendaklah melaksanakan pemerintahan berdasarkan perjanjian (kontrak) yang dibuat dengan rakyat jelata. Hal ini bermaksud, pemerintah perlulah menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, barulah rakyat akan memberi ketaatan kepada pemerintah berkenaan. Sebaliknya, jika pemerintah tidak menjaga kebajikan rakyat, maka mandat yang diberi boleh ditarik balik. Rakyat boleh melantik pemerintah lain yang dirasakan mampu menjaga dan melindungi keselamatan mereka.

Beliau menekankan idea ini kerana baginya kontrak sosial adalah satu konsep semula jadi dan seseorang individu itu lebih mengetahui tentang apa yang terbaik untuk dirinya. Beliau turut menyatakan bahawa kebebasan untuk menentukan masa depan sendiri adalah kehendak setiap Negara. Ideanya adalah bertentangan dengan sistem politik di Perancis yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak ketika itu. Idea “kontrak sosial” ini menjadi elemen utama di dalam Pengisytiharan Perhimpunan Kebangsaan Revolusi Perancis serta digunakan oleh pemikir-pemikir Amerika seperti Benjamin Franklin dan Thomas Jefferson dalam karya mereka.

Pada tahun 1750, beliau telah menghasilkan karya bertajuk Discourse on The Arts and Sciences yang merupakan responnya terhadap bidang sains dan seni memainkan peranan dalam peningkatan unsur moral. Karya tersebut juga mengemukakan pendapat berbeza dengan pendapat orang yang sezaman dengannya. Beliau berpendapat bahawa kemajuan dalam seni dan sains tidak menyumbang kepada pemurniaan moral individu, sosial dan tahap politik. Karya ini turut membincangkan bagaimana masyarakat yang maju berkembang dari segi seni dan sains mengalami kemerosotan dari segi moral dan nilai-nilai murni.

Selain itu, beliau turut mengiktiraf Socrates sebagai seorang yang bijak kerana menyedari kebinasaan yang disebabkan oleh seni dan sains. Seterusnya, beliau beranggapan sains menjadikan hidup lebih mudah dan menyeronokkan tetapi bukan bertambah baik dari segi moral. Beliau juga menyokong pemikir yang dianggap bijak seperti Bacon, Descartes dan Newton. Beliau juga mahu majority masyarakat memberi perhatian kepada memperbaiki tingkah laku dan akhlak berbanding memajukan seni dan sains.

Karya Discourse on the Origin of Inequality pula didedikasikan kepada Republik Geneva dan dikatakan salah satu dokumen yang paling revolusioner pada abad ke 18 di Eropah. Karya ini menunjukkan perkembangan tamadun merosakkan kebahagiaan semula jadi dan kebebasan manusia dengan mencipta ketidaksamaan dalam kekayaan, kuasa dan keistimewaan sosial. Seterusnya, beliau berpendapat bahawa manusia primitive adalah bebas, tetapi apanila masyarakat menjadi lebih moden, anggota masyarakat yang kuat dan paling pintar dalam masyarakat memperolehi kelebihan yang tidak semula jadi ke atas saudara mereka yang lemah. Berikutnya, perlembagaan yang digubal untuk membetulkan ketidakseimbangan ini melalui keamanan dan keadilan sebenarnya tidak melakukan apa-apa tetapi mengekalkan kedudukan itu.

Beliau menjadi terkenal kerana Teori Naturalisme yang diperkenalkannya melalui buku yang bertajuk Emile yang mengkhusus kepada pendidikan awal kanak-kanak. Melalui karya ini, Rousseau memberi huraian secara terperinci tentang ciri-ciri semula jadi kanak-kanak mengikut peringkat umur yang berbeza. Menurutnya, kanak-kanak harus dibiarkan mengikut kecenderungan masing-masing dan tidak dipaksa mempelajari pelajaran yang mereka tidak gemari.

Kesimpulannya, Rousseau merupakan seorang ahli falsafah yang berpengaruh dan banyak menyumbangkan idea dan pemikiran pada Zaman Enlightenment (Pencerahan).


No comments: