Saturday 23 November 2013

KEBANGKITAN BOXER...

SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA DI NEGARA CHINA

Gerakan Boxer wujud sejak akhir abad ke 19 dan berasal daripada kongsi gelap China iaitu I-hochuan. Mereka digelar sebagai Boxer kerana mengamalkan sejenis tinju China. Cogan kata gerakan ini ialah “selamatkan bangsa China, hapuskan bangsa asing” kerana Gerakan Boxer mengamalkan sikap anti-orang asing. I-hochuan diharamkan melalui satu dikri kerajaan kerana bersifat anti-Manchu pada tahun 1813. Pada tahun 1899 hingga 1900, Gerakan Boxer melancarkan rusuhan untuk menghalau keluar orang asing dari China dan membunuh orang China beragama Kristian.

Terdapat pelbagai sebab berlakunya kebangkitan Gerakan Boxer. Antaranya ialah sentimen orang asing. Kedaulatan Negara China terjejas semenjak Perang Inggeris-China Pertama (Perang Candu) kerana kuasa-kuasa Barat menceroboh China. Oleh itu, Gerakan Boxer menunjukkan keinginan untuk membalas dendam dan memulihkan kebanggaan nasional dalam kalangan orang China. Selain itu, perlumbaan antara kuasa-kuasa Barat untuk mendapatkan konsesi-konsesi di Negara China menyebabkan sentimen anti-orang asing semakin bertambah kerana terdapat kebimbangan bahawa Negara tersebut akan dibahagikan antara kuasa-kuasa Barat.

Di samping itu, perkembangan kegiatan mubaligh Kristian juga menyumbang kepada sebab kebangkitan Boxer. Perkembangan agama Kristian menambahkan kemarahan orang China terhadap orang asing dan menganggap satu penghinaan kepada kepercayaan dan falsafah orang China. Malahan, orang China yang memeluk agama Kristian dibenci kerana mereka meninggalkan sesetengah daripada adat lama, enggan membiayai perbelanjaan perayaan dan hiburan tempatan yang telah menambahkan beban perbelanjaan penduduk tempatan yang lain. Mubaligh-mubaligh Kristian juga sering campur tangan dalam pertikaian yang melibatkan orang China yang beragama Kristian dan kesannya menambahkan kemarahan orang China.

Seterusnya, kebencian orang China terhadap orang asing bertambah apabila ekonomi orang China dikuasai oleh orang asing. Justeru itu, beberapa perusahaan tempatan seperti perusahaan kain dan pertukangan tangan merosot menyebabkan bilangan rakyat China yang menganggur bertambah. Barang-barang buatan Barat yang lebih murah menyebabkan perusahaan tempatan dikuasai oleh orang asing. Kesengsaraan ekonomi orang China meningkat apabila kerajaan China menaikkan cukai dan memperkenalkan pelbagai cukai yang baharu kerana China mengalami kemerosotan dalam perdagangan asing. Kemerosotan taraf hidup menyebabkan ramai petani dan penganggur menyertai Gerakan Boxer.

Bencana alam juga menambahkan penderitaan orang China. Bencana alam seperti banjir dan kemarau mengakibatkan kebuluran dan orang China menyalahkan orang asing kerana bencana alam tersebut. Orang China percaya bahawa orang asing telah menyinggung perasaan Dewa-dewa China dan menganggu ketenteraman antara manusia dan alam semula jadi dengan ajaran-ajaran mereka.

Tambahan lagi, pihak istana juga menyokong kebangkitan Gerakan Boxer. Maharani Dowager menyokong usaha Gerakan Boxer untuk mengusir keluar orang Barat dari negeri China. Sokongan tersebut menaikkan lagi semangat ahli Gerakan Boxer untuk menyerang orang China yang beragama Kristian dan orang asing. Ahli-ahli Gerakan Boxer telah membunuh ramai orang asing dan orang China yang beragama Kristian. Bagaimanapun, Gerakan Boxer dapat ditumpaskan oleh tentera bersekutu yang terdiri daripada askar British, Jepun, Amerika Syarikat, Perancis dan Rusia. Pada tahun 1901, satu perjanjian telah dimeterai untuk menamatkan gerakan ini yang dikenali sebagai Protokol Boxer.


Kebangkitan Boxer boleh dikatakan sebagai satu cubaan untuk menyelamatkan Negara China daripada pencerobohan asing. Tekanan ekonomi yang dihadapi oleh China dan masalah penyebaran agama Kristian di China merupakan faktor dominan yang menyebabkan berlakunya Pemberontakan Boxer.

No comments: