Friday 29 November 2013

PERANG DUNIA KEDUA

FAKTOR-FAKTOR YG MENYUMBANG KEPADA BERLAKUNYA 
PERANG DUNIA KEDUA (1939-1945)

Perang Dunia Kedua meletus selepas 20 tahun berakhirnya Perang Dunia Pertama. Perang ini berlaku sekitar tahun 1939 hingga 1945 dan dianggap sebagai peristiwa yang sangat tragik. Perang ini melibatkan dua pihak iaitu Kuasa Berikat yang dianggotai oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Rusia serta Pakatan Paksi yang disertai oleh Jerman, Itali dan Jepun.

Antara sebab berlakunya Perang Dunia Kedua di Eropah ialah pertembungan ideology iaitu ideology demokrasi menentang fasisme dan nazisme. Fasisme dikaitkan dengan Benito Mussolini yang merupakan seorang dictator Itali antara tahun 1922 hingga 1943. Fahaman ini mengutamakan kepentingan Negara melebihi kepentingan individu serta menekankan dasar peluasan wilayah. Mussolini telah menakluk Habsyah di Afrika dan tindakan tersebut mendapat kecaman antarabangsa dan Liga Bangsa. Selain itu, beliau juga menggunakan kekerasan dan senjata kimia bagi menghapuskan penentangan penduduk tempatan.

Manakala Nazisme pula muncul di Jerman dan diasaskan oleh Adolf Hitler. Beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1933 dan memiliki tentera peribadi (Parti Nazi) serta mengetepikan perlembagaan dengan menumpaskan semua tentangan dalam negeri dan melantik dirinya sebagai dictator Jerman pada tahun 1945. Nazisme juga mengutamakan kepentingan Negara, mengagungkan bangsa Jerman dan menyatukan bangsa Jerman yang berselerak di Eropah Tengah dan Eropah Timur.

Sebab kedua meletusnya Perang Dunia Kedua ialah kelemahan Perjanjian Versailles. Pemimpin Jerman tidak berpuas hati terhadap perjanjian tersebut. Hitler telah melanggar perjanjian tersebut dengan mengumumkan pembentukan Tentera Udara Jerman. Selain itu, Jerman juga memperkenalkan semula dasar kerahan tenaga bagi membentuk tentera. Pada tahun 1936, tentera Jerman Berjaya menawan kembali daerah Saar dan Rhineland yang diberikan kepada Perancis. Pada tahun 1938, Hitler memasukkan Austria ke dalam Jerman. Pada September 1939, Jerman telah menyerang Poland. Britain dan Perancis mengisytiharkan perang terhadap Jerman dan bermulanya Perang Dunia Kedua.

Faktor ketiga ialah desakan ekonomi apabila harga saham di Bursa Saham New York mengalami kemerosotan pada tahun 1929. Gandum yang merupakan hasil utama Amerika Syarikat, Kanada serta Negara di Eropah Tengah dan Eropah Timur mengalami kejatuhan harga menyebabkan para petani sukar untuk memasarkannya sehingga mereka jatuh miskin. Masalah pengangguran semakin ketara dan ramai rakyat mengalih sokongan kepada parti pembangkang pimpinan Adolf Hitler. Hitler telah menawan Austria dan Czechoslovakia bagi mendapatkan bahan mentah dan pasaran bagi Jerman.

Seterusnya, sikap Negara-negara yang terlibat juga menjadi faktor kepada Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat mula menonjolkan diri dan keluar dari dasar pemencilan yang diamalkan sejak sekian lama. Hal ini kerana Amerika Syarikat berasa terancam dengan dasar peluasan kuasa Jepun dan curiga dengan sikap Britain. Menjelang tahun 1930-an, Jepun cuba bersaing dengan Britain untuk menguasai perdagangan di China manakala Britain yakin bahawa mereka tidak akan dapat menewaskan Jepun sekiranya mereka berperang. Oleh itu, Britain sanggup bersekongkol dengan Jepun.

Lain pula halnya di Asia, sebab utama tercetusnya Perang Dunia Kedua di benua ini adalah disebabkan nasionalisme melampau atau Ultranasionalisme. Kita Ikki telah membawa aliran baru nasionalisme di Jepun. Beliau mencadangkan pembentukan semula Negara Jepun oleh tentera dan dilakukan atas nama maharaja. Pada tahun 1927, sebuah organisasi sulit ditubuhkan oleh pegawai-pegawai muda tentera bertujuan merancang perubahan politik Jepun. Kemunculan nasionalisme melampau dalam kalangan tentera adalah disebabkan oleh kemerosotan politik berparti dan masalah kemelesetan ekonomi. Selain itu, golongan tentera juga merampas kuasa pemerintahan Jepun kesan pegawai-pegawai kerajaan yang sering memberi dan menerima rasuah.

Dari segi keperluan ekonomi pula, Jepun memerlukan bahan mentah dan pasaran dari luar Negara kerana pasaran domestic yang lemah serta bahan mentah yang terhad. Antara tahun 1932 hingga 1937, Jepun memberi tumpuan sepenuhnya kepada Manchuria yang kaya dengan arang batu dan besi. Wilayah Manchuria turut menjadi rebutan Negara China. Oleh itu, pada tahun 1937, Perang China-Jepun telah meletus dan Jepun berjaya menewaskan China.

Amerika Syarikat pula berusaha menghentikan pendudukan Jepun di China dengan mengenakan sekatan ekonomi terhadap Jepun seperti melarang semua eksport ke Jepun serta membekukan harta Jepun di Amerika Syarikat. Britain dan Belanda juga telah menyekat kemaraan Jepun sehingga Jepun kehilangan sumber minyak yang penting untuk melaksanakan dasar imperialismenya.

Punca terakhirnya ialah keselamatan Negara. Yoshida Shion, seorang intelek Jepun mencadangkan supaya Jepun mengukuhkan pertahanannya dengan memajukan Pulau Hokkaido, menakluki Kepulauan Ryukyu, menguasai Manchuria, Formosa (Taiwan) dan menjadikan Korea sebagai negeri naungan. Yamagata Arimoto memperkenalkan konsep garis kepentingan Negara, iaitu kawasan berhampiran Jepun akan mempengaruhi keselamatan Jepun dan ini menyebabkan Jepun meluaskan garis keselamatan ke Korea dan utara China. Hal ini menunjukkan bahawa Jepun mahu mengukuhkan keselamtan Negara dengan menakluk Negara-negara jiran.


Kesimpulannya, Perang Dunia Kedua menyaksikan kerakusan pemimpin-pemimpin Negara tertentu cuba bertindak menyaingi antara satu sama lain. Ruang lingkup Perang Dunia Kedua lebih luas jangkauannnya yang turut melibatkan benua Eropah, Asia, Afrika dan Kepulauan Pasifik. Keperitan dan kesengsaraan yang diratapi pihak terlibat memungkinkan generasi hari ini trauma dengan peperangan dan cuba mengelak daripada berlakunya Perang Dunia Ketiga.

No comments: