Saturday 29 November 2014

AYAT KURSI

7 KEDAHSYATAN AYAT KURSI

1) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi apabila berbaring di tempat tidurnya, Allah SWT mewakilkan dua orang Malaikat memeliharanya hingga subuh.

2) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir setiap sembahyang Fardhu, dia akan berada dlm lindungan Allah SWT hingga sembahyang yang lain.

3) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap sembahyang,tidak menegah akan dia daripada masuk syurga kecuali maut dan barang siapa membacanya ketika hendak tidur, Allah SWT memelihara akan dia ke atas rumahnya, rumah jirannya dan ahli rumah-rumah disekitarnya.

4) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir tiap2 sembahyang fardhu, Allah SWT
menganugerahkan dia setiap hati orang yg bersyukur,setia p perbuatan orang yg
benar,pahala nabi2 serta Allah melimpahkan padanya rahmat.

5) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi sebelum keluar rumahnya, maka Allah SWT mengutuskan 70,000 Malaikat kepadanya - mereka semua memohon keampunan dan mendoakan baginya.

6) Barang siapa membaca ayat Al-Kursi diakhir sembahyang Allah SWT akan mengendalikan pengambilan rohnya dan dia adalah seperti orang yang berperang bersama Nabi Allah sehingga mati syahid.

7) Barang siapa yang membaca ayat Al-Kursi ketika dalam kesempitan nescaya Allah SWT berkenan memberi pertolongan kepadanya.

Dari Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah S.A.W.
bersabda,Sampaikanlah pesanku biarpun satu ayat..."



ILMU NAQLI & ILMU AQLI DI ANDALUSIA

PERKEMBANGAN ILMU NAQLI DAN ILMU AQLI DI ANDALUSIA 
PADA ABAD KE 11 HINGGA ABAD KE 13

          Abad ke 11 menyaksikan bermulanya era kemerosotan kerajaan Umayyah. Namun, perkembangan ilmu naqli dan ilmu aqli berkembang subur melalui kemunculan golongan cerdik pandai Islam pada masa itu. Pemerintah yang bertanggungjawab mengembangkan ilmu naqli ialah Abdul Rahman III dan anaknya al-Hakam II melalui pembinaan sekolah-sekolah agama dan menjemput para ulama dari Timur datang mengajar di Andalusia.

          Perkembangan ilmu naqli khususnya dapat dilihat dengan jelas dalam bidang fiqah melalui Ibn Hazm. Beliau merupakan seorang ulama terkenal yang arif dalam bidang fiqah dan qiraat. Ibn Hazm juga seorang ahli usul yang mendalam dan luas ilmunya sehingga menghasilkan beberapa kitab fiqah dan syariah. Salah satu karya beliau yang paling penting ialah al-Fasl fi al-Milal wa ‘I-ahwa’ wa ‘I-nithal, sebuah buku kajian yang lengkap tentang sejarah para nabi, perbincangan segala agama, pendapat ahli falsafah dan hujah yang menolak golongan anti-Tuhan khasnya penentang Islam. Karya ini mendahului pengetahuan masyarakat Barat beberapa kurun yang memperlihatkan kehebatan sarjana Islam.

     Seterusnya, bidang hadis memperlihatkan perkembangannya dengan kemunculan Ibn Abd al-Barr, seorang ulama hadis yang terkenal di Sepanyol dan Afrika. Karya beliau yang teragung ialah al-Istiah li Sahabah dan karya kedua beliau pula telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Ilmu naqli di Andalusia juga terus berkembang walaupun kerajaan Bani Umayyah mengalami kejatuhan. Hal ini berikutan pemerintah al-Muwahiddun yang sangat mengambil berat terhadap perkembangan ilmu dan berusaha gigih mengumpul para cendekiawan dari seluruh dunia bagi mengisi keperluan tenaga pengajar di institusi pengajian tinggi. Malah, pemerintah juga turut memperkenalkan aliran Asy’ariyah dan al-Ghazali yang membawa kepada perkembangan ilmu-ilmu kalam. Qadi Iyad juga seorang tokoh terkenal abad ke 12 Masihi telah membantu mengembangkan ilmu naqli melalui penghasilan lebih 20 kitab dalam bidang hadis, fiqah dan sejarah.

       Pembangunan ilmu aqli telah berkembang pesat kerana mendapat galakan dan insentif daripada pemerintah. Hal ini dapat dilihat melalui beberapa bidang ilmu aqli. Sejarah merupakan antara ilmu yang paling berkembang di Andalusia terutamanya melalui Marwan ibn Hayyan yang telah menulis lebih daripada 50 karya dalam bidang ini. Karyanya, al-Muqtabis fi Tarikh Rijal al-Andalus yang menerangkan sejarah tokoh-tokoh ilmuan, para pemerintah dan umat Islam Andalusia dari pembukaan sehinggalah zamannya masih kekal sehingga hari ini. Buku al-Matin pula memberi faedah besar kepada pengkaji sejarah Andalusia kerana menyentuh semua aspek sejarah dan mempunyai 60 jilid. Perkembangan ilmu aqli terus diperlihatkan melalui sejarah Andalusia yang terus diperkenalkan melalui karya daripada beberapa tokoh lain seperti Abu al-Qasim bin Ahmad dan Gharib bin Said.

      Ilmu falsafah sebagai salah satu cabang ilmu aqli terus berkembang pesat di Andalusia sewaktu masyarakat Kristian di Eropah berada dalam Zaman Kegelapan. Hal ini diperkukuhkan apabila golongan intelektual Islam berjaya menggabungkan falsafah Yunani dan Islam. Ibn Rushd muncul sebagai seorang ahli falsafah terkenal dunia kerana usahanya memperkenalkan hasil karya Aristotle kepada dunia Barat. Ulasannya juga telah diterjemahkan kepada beberapa bahasa. Karyanya, Tahafut al-Tahafut masih diguna pakai dan menjadi kajian di institusi pengajian tinggi Barat. Ibn Bajjah juga terkenal di Barat kerana karyanya, Tadbir al-Mutawahhid yang mendedahkan falsafah dirinya sendiri manakala ibn Tufail pula menceritakan evolusi manusia dari kelahiran sehingga dewasa melalui karyanya yang bertajuk Hayy ibn Yaqzan. Tokoh-tokoh lain juga membawa kepada perkembangan bidang falsafah dengan penghasilan karya berkaitan kepercayaan, pengenalan, logik serta kegunaan falsafah.

        Bidang astronomi pula mendapat galakan daripada pemerintah sehingga ahli astronomi Andalusia Berjaya mencipta alat-alat astrolabe dan membolehkan orang Eropah menentukan saiz bumi dengan lebih tepat. Malah, terdapat juga sebuah sekolah astronomi di Andalusia yang membantu memesatkan perkembangan bidang astronomi. Andalusia juga mempunyai sebuah balai cerap yang dikenali sebagai Giralda. Al-Zarqali, pembuat alat-alat astrolabe di Andalusia turut mengemukakan teori bintang dan pergerakan planet serta membetulkan ukuran panjang Laut Mediterranean selain menjadi ahli astronomi pertama mengetahui kedudukan matahari dengan merujuk bintang. Beliau juga membina sebuah jam air bagi menentukan waktu manakala karyanya digunakan secara meluas oleh Maharaja Alfonso X serta ahli astronomi istana. Perkembangan bidang ini dapat dilihat daripada nama bintang dan istilah teknikal yang dipinjam daripada bahasa Arab.

         Selain itu, bidang matematik terus membantu memperkembangkan ilmu aqli di Andalusia dengan memperkenalkan sistem angka yang berasal daripada angka Hindi yang memudahkan sistem penulisan angka. Ilmuwan Islam juga telah memperkenalkan teknologi untuk mengekstrak getah daripada pokok melalui alat alambique yang mengkagumkan. Ahli-ahli kimia juga mencipta banyak ubat baharu, pharmacopeia (daftar buku ubat-ubatan) dan menubuhkan farmasi. Bidang perubatan juga turut berkembang dengan penulisan sebuah ensiklopedia perubatan lengkap berjudul Kitab al-Tasrif yang membincangkan secara khusus tentang pembedahan oleh Abu al-Qasim al-Zahrawi. Karya beliau ini juga menjadi rujukan penting ilmu surgeri Zaman Pertengahan dan diterjemahkan. Ibn Zuhr pula muncul doktor Muslim pertama memberi penjelasan penyakit barah dalam perut dan rawatan penyakit pinggang. Karya perubatan Islam banyak diterjemahkan ke bahasa Eropah.

      Bidang geografi pula memperlihatkan perkembangannya dengan penghasilan Kitab al-Masalik wa al-Munalik oleh Abu Ubaid Abdullah, sebuah penulisan berkenaan jalan-jalan yang ditempuhinya di tiap-tiap buah negeri dan maklumat tentang kerajaan yang memerintah. Karyanya telah membantu urusan penghantaran surat dan utusan rasmi. Beliau juga menghasilkan sebuah kamus geografi. Tokoh-tokoh geografi yang lain telah menghasilkan karya tentang pengembaraan mereka termasuklah al-Idrisi yang juga menghasilkan peta glob daripada perak serta karya tentang kritikan dan penambahbaikan teori-teori Ptolemy. Perkembangan bidang zoologi dan botani dapat dilihat melalui karya Ibn Bassal yang digunakan secara meluas oleh penulis-penulis botani kemudiannya. Malahan, ada ahli botani yang mendaki gunung-gunung dan menerokai ladang di seluruh Andalusia serta Afrika dalam mencari tumbuhan herba untuk tujuan perubatan dan menghasilkan kamus lengkap tentang makanan dan perubatan. Sebuah ensiklopedia pertanian turut dihasilkan oleh ahli botani Andalusia.

        Abad ke 11 hingga abad ke 13 menyaksikan perkembangan pesat ilmu naqli dan ilmu aqli berlaku di Andalusia. Hal ini dapat dilihat melalui karya-karya dan penemuan sarjana-sarjana Islam Andalusia yang seterusnya menjadi asas ilmu pengetahuan moden secara amnya dan membantu perkembangan ilmu di Eropah pada Zaman Pertengahan.

AL-KHAWARIZMI

SUMBANGAN BELIAU DALAM BIDANG MATEMATIK


Abu Abd Allah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi merupakan nama sebenar al-Khawarizmi. Beliau merupakan tokoh ilmuan Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah, lojik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan serta sejarah Islam. Sumbangan beliau mula terserlah semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun di Baghdad khasnya dalam bidang matematik dan dinobatkan sebagai Ahli Falak Diraja.

Kepakaran beliau dalam bidang matematik mendapat pengiktirafan Khalifah Abbasiyyah. Khalifah Harun al-Rasyid misalnya melantik beliau sebagai pakar matematik di Baitul Hikmah. Beliau juga dilantik sebagai Pengarah Arkib Buku di perpustakaan istana oleh Khalifah al-Makmun.

Beliau juga telah memperkenalkan sistem nombor. Simbol-simbol tertentu digunakan untuk mewakili nilai-nilai tertentu. Al-Khawarizmi merupakan orang pertama memperkenalkan angka sifar dalam matematik. Melalui angka sifar akan terbit nombor yang mencapai infiniti.

Seterusnya, beliau memperkenalkan sistem angka yang sistematik. Sistem ini membolehkan operasi pengiraan matematik diperluas meliputi operasi kuasa, log dan kosinus. Sistem ini juga membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang pesat. Angka sifar yang beliau perkenalkan telah dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan sebutan ‘cifre’, ‘chiffre’ dan ‘zero’.


Al-Khawarizmi turut memperkenalkan sistem al-Jabar (Algebra). Penggunaan simbol yang mewakili nombor, nilai atau pembolehubah membolehkan banyak masalah pengiraan diselesaikan. Buku yang memperkenalkan kaedah aritmetik algebra ini telah diterjemah ke bahasa Latin dan menjadi rujukan pelbagai universiti di Eropah mulai abad ke 12 M hingga 16 M.

Selain itu, Al-Khawarizmi juga telah menghasilkan ‘al Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah’ yang digunakan dalam urusan pengiraan pembahagian harta pusaka. Masalah pengiraan yang rumit dan kompleks yang tidak dihurai dalam al-Quran dan hadis dapat diselesaikan dengan mudah.

Memang tidak dapat dinafikan, al-Khawarizmi memberi sumbangan sumber dalam bidang matematik. Sumbangan besar ini menyebabkan beliau bukan sahaja disanjung oleh umat Islam sahaja malahan dikagumi sarjana-sarjana Barat yang mengguna pakai idea-idea beliau.