Saturday 29 November 2014

AL-KHAWARIZMI

SUMBANGAN BELIAU DALAM BIDANG MATEMATIK


Abu Abd Allah Muhammad Ibn Musa al-Khawarizmi merupakan nama sebenar al-Khawarizmi. Beliau merupakan tokoh ilmuan Islam yang berpengetahuan luas dalam bidang falsafah, lojik, aritmetik, geometri, muzik, kejuruteraan serta sejarah Islam. Sumbangan beliau mula terserlah semasa pemerintahan Khalifah al-Makmun di Baghdad khasnya dalam bidang matematik dan dinobatkan sebagai Ahli Falak Diraja.

Kepakaran beliau dalam bidang matematik mendapat pengiktirafan Khalifah Abbasiyyah. Khalifah Harun al-Rasyid misalnya melantik beliau sebagai pakar matematik di Baitul Hikmah. Beliau juga dilantik sebagai Pengarah Arkib Buku di perpustakaan istana oleh Khalifah al-Makmun.

Beliau juga telah memperkenalkan sistem nombor. Simbol-simbol tertentu digunakan untuk mewakili nilai-nilai tertentu. Al-Khawarizmi merupakan orang pertama memperkenalkan angka sifar dalam matematik. Melalui angka sifar akan terbit nombor yang mencapai infiniti.

Seterusnya, beliau memperkenalkan sistem angka yang sistematik. Sistem ini membolehkan operasi pengiraan matematik diperluas meliputi operasi kuasa, log dan kosinus. Sistem ini juga membolehkan ilmu sains dan teknologi berkembang pesat. Angka sifar yang beliau perkenalkan telah dipinjam oleh bahasa-bahasa Eropah dengan sebutan ‘cifre’, ‘chiffre’ dan ‘zero’.


Al-Khawarizmi turut memperkenalkan sistem al-Jabar (Algebra). Penggunaan simbol yang mewakili nombor, nilai atau pembolehubah membolehkan banyak masalah pengiraan diselesaikan. Buku yang memperkenalkan kaedah aritmetik algebra ini telah diterjemah ke bahasa Latin dan menjadi rujukan pelbagai universiti di Eropah mulai abad ke 12 M hingga 16 M.

Selain itu, Al-Khawarizmi juga telah menghasilkan ‘al Kitab al-Mukhtasar fi Hisab al-Jabr wa al-Muqabalah’ yang digunakan dalam urusan pengiraan pembahagian harta pusaka. Masalah pengiraan yang rumit dan kompleks yang tidak dihurai dalam al-Quran dan hadis dapat diselesaikan dengan mudah.

Memang tidak dapat dinafikan, al-Khawarizmi memberi sumbangan sumber dalam bidang matematik. Sumbangan besar ini menyebabkan beliau bukan sahaja disanjung oleh umat Islam sahaja malahan dikagumi sarjana-sarjana Barat yang mengguna pakai idea-idea beliau.

No comments: