Tuesday 3 December 2013

PERANG DINGIN

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA BERLAKUNYA 
PERANG DINGIN

Perang Dingin dapat diistilahkan sebagai konflik antara blok kapitalis yang diterajui oleh Amerika Syarikat dengan blok komunis yang dipimpin oleh Soviet Union sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945. Istilah ini dipopularkan oleh seorang kolumnis dari Amerika Syarikat iaitu Walter Lippmann dan digunakan secara meluas pada tahun 1947 apabila Doktrin Truman dilancarkan. Oleh itu, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada tercetusnya Perang Dingin.

Antara faktor tersebut ialah tiada kesepakatan dalam rundingan. Pemimpin Big Three Kuasa Berikat telah mengadakan satu pertemuan di Tehran, Iran pada tahun 1943 bagi membincangkan masa depan politik Eropah kerana Jerman semakin menghampiri kekalahan. Namun, dalam persidangan tersebut, Amerika Syarikat tidak memberi sebarang persetujuan tentang kawasan yang dimiliki (konsesi) oleh Rusia di Eropah Tengah. Selain itu, Rusia yang diwakili oleh Joseph Stalin berharap agar Amerika Syarikat dan Britain membuka second front melalui Perancis. Hal ini adalah untuk memudahkan Rusia menyerang Jerman dan sebagai ganjaran, Rusia berjanji akan membantu Amerika Syarikat dan Britain untuk menewaskan Jepun.

Pertemuan kedua diadakan pada Februari 1945 di Yalta, Rusia. Joseph Stalin merasa bimbang akan ancaman Jerman dan mahu Negara-negara Eropah Timur berada di bawah pengaruh Rusia serta sebagai pelindung kepada Rusia. Namun, Presiden Amerika Syarikat, Franklin D.Roosevelt gagal menjelaskan dasar Amerika Syarikat terhadap Eropah Timur. Keadaan tersebut mengakibatkan Jospeh Stalin menganggap pihak Barat bersedia menerima pengaruh Rusia di Poland sekiranya Rusia berundur dari Eropah Barat. Selain itu, persidangan terakhir di Potsdam, Berlin pada 17 Julai hingga 2 Ogos 1945 juga tidak berjaya seperti yang diharapkan oleh Joseph Stalin disebabkan oleh isu penguasaan ke atas Eropah Timur dan Eropah Tengah.

Faktor kedua ialah perbezaan ideologi antara blok Barat dengan blok komunis. Dari segi politik, blok Barat mengamalkan sistem demokrasi dan sistem pelbagai parti. Kerajaan yang memerintah adalah hasil undian rakyat menerusi pilihan raya umum. Manakala blok komunis pula menganjurkan sistem pemerintahan secara diktator dan hanya parti komunis sahaja diiktiraf.

Dari segi ekonomi, blok Barat mengamalkan sistem kapitalisme dengan prinsip pasaran bebas. Pemerintah  mempunyai peranan yang terbatas dalam persaingan ekonomi dan ini menguntungkan pelabur-pelabur yang bermodal besar serta Berjaya meningkatkan persaingan dalam kalangan pengusaha sehingga ekonomi Negara turut meningkat. Blok komunis pula mengawal perdagangan bebas dan pemerintahnya memainkan peranan besar. Hal ini menyebabkan perkembangan ekonominya perlahan kerana tiada persaingan. Dari sudut social pula, blok Barat member sepenuhnya kebebasan kepada individu seperti kebebasan memilih kerajaan, kebebasan bersuara, hak asasi dan sebagainya. Berlainan pula dengan blok komunis, rakyatnya mempunyai kebebasan yang terhad.

Faktor ketiga ialah kemelesetan ekonomi disebabkan pembiayaan Perang Dunia Kedua. Dalm Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat tidak menjadi medan peperangan dan hal ini menyelamatkan Negara tersebut daripada kemusnahan prasarana. Disebabkan hal ini juga, Presiden Harry S. Truman membuat pengisytiharan bahawa Amerika Syarikat akan menolong setiap bangsa yang merdeka bagi berdepan dengan komunis. Justeru, Rancangan Marshall (Marshall Plan) diperkenalkan pada tahun 1948 bertujuan untuk membangunkan ekonomi Eropah Barat di samping memerangi pengaruh komunis. Melalui rancangan tersebut, ekonomi Perancis, Jerman Barat, Itali, Belanda, Britain dan lain-lain berjaya dipulihkan. Namun, Rusia menolak bantuan Amerika Syarikat kerana berpendapat bahawa rancangan ini merupakan helah Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam pentadbiran negara lain.

Faktor terakhir ialah kebimbangan Rusia terhadap ancaman Jerman. Kebimbangan ini berasaskan sejarah hubungan yang tegang antara Rusia dengan Jerman terutamanya apabila Adolf Hitler melancarkan Operasi Barbarossa. Peristiwa tersebut merupakan salah satu usaha Jerman untuk menakluk Rusia dan pada masa itu, Rusia menghadapi serangan Jerman bersendirian tanpa mendapat sebarang bantuan dari Negara lain. Antara tindakan Adolf Hitler ialah mengarahkan  79 pasukan tenteranya menyerang Rusia di sempadan sepanjang 2000 batu. Operasi ini berlaku selama 900 hari dan dalam tempoh itu, 600 000 bom digugurkan oleh tentera udara Jerman. Jerman memilih Rusia bagi mendapatkan tanah yang subur dan luas dan Hitler juga berpendapat bahawa orang Rusia dan daerah lain yang bukan Aryan patut ditakluki dan dijadikan hamba kepada bangsa Jerman.

Kesimpulannya, kedua-dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union merupakn pihak penting dalam Perang Dingin. Kedua-duanya akan menggunakan apa sahaja cara untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing termasuklah pengintipan, kegiatan subversive dan berperang secara tidak langsung melalui sekutu mereka. Merekalah sebenarnya yang telah mencorakkan hubungan antarabangsa dalam tempoh Perang Dingin ini.

                          

TAWAKAL

DENGAN 
 NAMA  ALLAH 
AKU  BERSERAH 


Diriwayatkan daripada Umar bin al-Khattab, beliau berkata, “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : ‘Jikalau kalian bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, maka kalian akan diberikan rezeki seperti seekor burung yang diberi rezeki. Ia keluar (pada awal pagi) dalam keadaan lapar dan pulang (ketika hampir senja) dalam keadaan kenyang,” (Riwayat al-Tirmizi)




KAMUS ISTILAH

TAWAKAL : Penyerahan segala urusan seorang Muslim kepada Allah SWT selepas dia berusaha. Tawakal dan usaha dua perkara berbeza, namun sama sekali tidak dapat dipisahkan.


Sumber : Majalah Gen-Q (Isu no.23)

COUNT CAMILLO DI CAVOUR

LANGKAH-LANGKAH YANG DIAMBIL OLEH 
COUNT CAMILLO DI CAVOUR
UNTUK MENYATUKAN ITALI

Count Camillo Benso di Cavour merupakan seorang negarawan yang memainkan peranan penting dalam usaha penyatuan Itali.  Beliau berasal daripada keluarga bangsawan Piedmont. Beliau merupakan tokoh yang memainkan peranan penting dalam politik Piedmont. Beliau pernah memegang jawatan sebagai ahli Parlimen dan Menteri Pertanian dan Perdagangan Piedmont. Pada tahun 1852, beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Piedmont dan mengambil pelbagai langkah untuk merealisasikan usaha penyatuan Itali.

Sebagai Perdana Menteri Piedmont, Count Cavour mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan dala bidang politik dan ekonomi. Beliau menjalankan reformasi dalam bidang ketenteraan pentadbiran dan perindustrian. Reformasi dalam bidang pentadbiran diperlihatkan dengan menjalankan reformasi dalam bidang ketenteraan dan perundangan. Ekonomi kerajaan juga dibangunkan dengan memajukan sector pertanian, perdagangan dan perindustrian. Count Cavour menggalakkan penubuhan industri baharu, menggalakkan pelabur-pelabur dari luar Negara melabur di Piedmont dan mendapatkan khidmat nasihat pakar ekonomi luar Negara dalam membangunkan ekonomi Piedmont. Langkah-langkah tersebut diambil bertujuan untuk mengukuhkan kedudukan kerajaan bagi menghadapi peperangan dengan Austria. Selain itu, tindakan tersebut juga merupakan sebahagian daripada usaha yang dilakukan oleh beliau untuk menyatukan Itali.

Langkah seterusnya yang diambil oleh beliau untuk merealisasikan hasrat menyatukan Itali adalah dengan menjalinkan perikatan Perancis. Beliau menggunakan kebijaksanaan politik bagi mengelakkan kewujudan perikatan dengan antara Austria dan Perancis. Beliau berpendapat perikatan antara Austria dan Perancis akan mengancam kedudukan Piedmont. Tambahan pula, pemimpin Perancis iaitu Napoleon berminat memberi bantuan kepada Itali.

Count Cavour mengambil peluang tersebut untuk menjalinkan hubungan rapat dengan Perancis. Selain itu, beliau juga mengadakan pakatan ketenteraan dengan Perancis bagi menyerang Austria. Pakatan ketenteraan ini membolehkan Piedmont mendapat bekalan tentera dari Perancis dan mendapat Lombardy dan Venetia sekiranya Austria dapat ditewaskan dalam peperangan tersebut.

Bagi merealisasikan usaha penyatuan Itali, Count Cavour turut melibatkan Piedmont dalam hal ehwal yang berlaku di luar Negara. Beliau berpendapat, kuasa-kuasa Eropah akan membantu menyelesaikan masalah yang bakal dihadapi sekiranya Itali memainkan peranan aktif dalam hal ehwal antarabangsa. Sehubungan dengan itu, beliau membuat keputusan untuk melibatkan Itali dalam peperangan yang berlaku di Crimea. Pada tahun1856, pasukan tentera Piedmont mencapai kejayaan dalam pertempuran di Tchemaya. Kemenangan ini memberi keyakinan kepada Piedmont untuk menghadapi peperangan dengan Austria.

Count Cavour turut memainkan peranan dalam pembentukan Persatuan Kebangsaan. Persatuan ini ditubuhkan bagi menyatukan kumpulan-kumpulan yang berjuang untuk menyatukan Itali. Persatuan ini memainkan peranan melahirkan kesedaran dalam kalangan nasionalis untuk mewujudkan sebuah organisasi bagi menyelaraskan usaha penyatuan Itali. Antara tokoh-tokoh yang terlibat ialah Pallavincio, La Farina, Garibaldi dan Daniele Manin. Mereka menjadikan Count Cavour sebagai rakan sekutu bagi menyelaraskan kegiatan pergerakan kebangsaan di Itali.

Count Cavour turut memainkan peranan dalam usaha menyelaraskan kegiatan pergerakan kebangsaan di Itali. Beliau mengadakan rundingan secara sulit dengan pemimpin Persatuan Kebangsaan. Sebagai contohnya, beliau mendapatkan bantuan La Farina bagi mencetuskan kebangkitan rakyat di wilayah utara dan tengah Itali. Beliau turut mendapatkan kerjasama daripada Garibaldi untuk menubuhkan pasukan tentera sukarela daripada kalangan penduduk Lombardy. Langkah-langkah ini menyebabkan wujud kesepakatan dalam kalangan golongan nasionalis untuk menyelaraskan usaha ke arah penyatuan Itali.

Langkah-langkah berbentuk provokatif juga diambil oleh Count Cavour agar Austria memulakan peperangan terhadap Piedmont. Antaranya memutuskan hubungan diplomatik dengan Vienna pada tahun 1857 apabila Vienna melucutkan jawatan seorang Senator Sardinia dari Lombardy. Beliau juga mengarahkan La Marmora, Menteri Kewangan Piedmont mengumpul dana untuk menghadapi peperangan dengan Austria. Tindakan ini telah menyebabkan Austria melancarkan peperangan dengan Piedmont. Count Cavour menjalinkan hubungan sulit dengan Persatuan Kebangsaan tetapi hubungan tersebut menimbulkan kemarahan Austria. Hasil hubungan tersebut, Persatuan Kebangsaan membantu Count Cavour menubuhkan depot-depot tentera dan mengedarkan risalah yang menyeru rakyat menyokong kepimpinan Piedmont.


Kesimpulannya, Count Cavour merupakan tokoh nasionalis yang memberikan sumbangan besar dalam usaha menyatukan Itali. Beliau menggunakan pelbagai pendekatan dan kebijaksanaan politik dalam mengatur gerakan menyatukan Itali. Kesan daripada langkah-langkah tersebut penyatuan Negara bangsa Itali menjadi kenyataan menjelang tahun 1870.

Friday 29 November 2013

PERANG DUNIA KEDUA

FAKTOR-FAKTOR YG MENYUMBANG KEPADA BERLAKUNYA 
PERANG DUNIA KEDUA (1939-1945)

Perang Dunia Kedua meletus selepas 20 tahun berakhirnya Perang Dunia Pertama. Perang ini berlaku sekitar tahun 1939 hingga 1945 dan dianggap sebagai peristiwa yang sangat tragik. Perang ini melibatkan dua pihak iaitu Kuasa Berikat yang dianggotai oleh Amerika Syarikat, Britain, Perancis dan Rusia serta Pakatan Paksi yang disertai oleh Jerman, Itali dan Jepun.

Antara sebab berlakunya Perang Dunia Kedua di Eropah ialah pertembungan ideology iaitu ideology demokrasi menentang fasisme dan nazisme. Fasisme dikaitkan dengan Benito Mussolini yang merupakan seorang dictator Itali antara tahun 1922 hingga 1943. Fahaman ini mengutamakan kepentingan Negara melebihi kepentingan individu serta menekankan dasar peluasan wilayah. Mussolini telah menakluk Habsyah di Afrika dan tindakan tersebut mendapat kecaman antarabangsa dan Liga Bangsa. Selain itu, beliau juga menggunakan kekerasan dan senjata kimia bagi menghapuskan penentangan penduduk tempatan.

Manakala Nazisme pula muncul di Jerman dan diasaskan oleh Adolf Hitler. Beliau telah dilantik sebagai Perdana Menteri pada tahun 1933 dan memiliki tentera peribadi (Parti Nazi) serta mengetepikan perlembagaan dengan menumpaskan semua tentangan dalam negeri dan melantik dirinya sebagai dictator Jerman pada tahun 1945. Nazisme juga mengutamakan kepentingan Negara, mengagungkan bangsa Jerman dan menyatukan bangsa Jerman yang berselerak di Eropah Tengah dan Eropah Timur.

Sebab kedua meletusnya Perang Dunia Kedua ialah kelemahan Perjanjian Versailles. Pemimpin Jerman tidak berpuas hati terhadap perjanjian tersebut. Hitler telah melanggar perjanjian tersebut dengan mengumumkan pembentukan Tentera Udara Jerman. Selain itu, Jerman juga memperkenalkan semula dasar kerahan tenaga bagi membentuk tentera. Pada tahun 1936, tentera Jerman Berjaya menawan kembali daerah Saar dan Rhineland yang diberikan kepada Perancis. Pada tahun 1938, Hitler memasukkan Austria ke dalam Jerman. Pada September 1939, Jerman telah menyerang Poland. Britain dan Perancis mengisytiharkan perang terhadap Jerman dan bermulanya Perang Dunia Kedua.

Faktor ketiga ialah desakan ekonomi apabila harga saham di Bursa Saham New York mengalami kemerosotan pada tahun 1929. Gandum yang merupakan hasil utama Amerika Syarikat, Kanada serta Negara di Eropah Tengah dan Eropah Timur mengalami kejatuhan harga menyebabkan para petani sukar untuk memasarkannya sehingga mereka jatuh miskin. Masalah pengangguran semakin ketara dan ramai rakyat mengalih sokongan kepada parti pembangkang pimpinan Adolf Hitler. Hitler telah menawan Austria dan Czechoslovakia bagi mendapatkan bahan mentah dan pasaran bagi Jerman.

Seterusnya, sikap Negara-negara yang terlibat juga menjadi faktor kepada Perang Dunia Kedua. Amerika Syarikat mula menonjolkan diri dan keluar dari dasar pemencilan yang diamalkan sejak sekian lama. Hal ini kerana Amerika Syarikat berasa terancam dengan dasar peluasan kuasa Jepun dan curiga dengan sikap Britain. Menjelang tahun 1930-an, Jepun cuba bersaing dengan Britain untuk menguasai perdagangan di China manakala Britain yakin bahawa mereka tidak akan dapat menewaskan Jepun sekiranya mereka berperang. Oleh itu, Britain sanggup bersekongkol dengan Jepun.

Lain pula halnya di Asia, sebab utama tercetusnya Perang Dunia Kedua di benua ini adalah disebabkan nasionalisme melampau atau Ultranasionalisme. Kita Ikki telah membawa aliran baru nasionalisme di Jepun. Beliau mencadangkan pembentukan semula Negara Jepun oleh tentera dan dilakukan atas nama maharaja. Pada tahun 1927, sebuah organisasi sulit ditubuhkan oleh pegawai-pegawai muda tentera bertujuan merancang perubahan politik Jepun. Kemunculan nasionalisme melampau dalam kalangan tentera adalah disebabkan oleh kemerosotan politik berparti dan masalah kemelesetan ekonomi. Selain itu, golongan tentera juga merampas kuasa pemerintahan Jepun kesan pegawai-pegawai kerajaan yang sering memberi dan menerima rasuah.

Dari segi keperluan ekonomi pula, Jepun memerlukan bahan mentah dan pasaran dari luar Negara kerana pasaran domestic yang lemah serta bahan mentah yang terhad. Antara tahun 1932 hingga 1937, Jepun memberi tumpuan sepenuhnya kepada Manchuria yang kaya dengan arang batu dan besi. Wilayah Manchuria turut menjadi rebutan Negara China. Oleh itu, pada tahun 1937, Perang China-Jepun telah meletus dan Jepun berjaya menewaskan China.

Amerika Syarikat pula berusaha menghentikan pendudukan Jepun di China dengan mengenakan sekatan ekonomi terhadap Jepun seperti melarang semua eksport ke Jepun serta membekukan harta Jepun di Amerika Syarikat. Britain dan Belanda juga telah menyekat kemaraan Jepun sehingga Jepun kehilangan sumber minyak yang penting untuk melaksanakan dasar imperialismenya.

Punca terakhirnya ialah keselamatan Negara. Yoshida Shion, seorang intelek Jepun mencadangkan supaya Jepun mengukuhkan pertahanannya dengan memajukan Pulau Hokkaido, menakluki Kepulauan Ryukyu, menguasai Manchuria, Formosa (Taiwan) dan menjadikan Korea sebagai negeri naungan. Yamagata Arimoto memperkenalkan konsep garis kepentingan Negara, iaitu kawasan berhampiran Jepun akan mempengaruhi keselamatan Jepun dan ini menyebabkan Jepun meluaskan garis keselamatan ke Korea dan utara China. Hal ini menunjukkan bahawa Jepun mahu mengukuhkan keselamtan Negara dengan menakluk Negara-negara jiran.


Kesimpulannya, Perang Dunia Kedua menyaksikan kerakusan pemimpin-pemimpin Negara tertentu cuba bertindak menyaingi antara satu sama lain. Ruang lingkup Perang Dunia Kedua lebih luas jangkauannnya yang turut melibatkan benua Eropah, Asia, Afrika dan Kepulauan Pasifik. Keperitan dan kesengsaraan yang diratapi pihak terlibat memungkinkan generasi hari ini trauma dengan peperangan dan cuba mengelak daripada berlakunya Perang Dunia Ketiga.

Saturday 23 November 2013

KEBANGKITAN BOXER...

SEBAB-SEBAB BERLAKUNYA DI NEGARA CHINA

Gerakan Boxer wujud sejak akhir abad ke 19 dan berasal daripada kongsi gelap China iaitu I-hochuan. Mereka digelar sebagai Boxer kerana mengamalkan sejenis tinju China. Cogan kata gerakan ini ialah “selamatkan bangsa China, hapuskan bangsa asing” kerana Gerakan Boxer mengamalkan sikap anti-orang asing. I-hochuan diharamkan melalui satu dikri kerajaan kerana bersifat anti-Manchu pada tahun 1813. Pada tahun 1899 hingga 1900, Gerakan Boxer melancarkan rusuhan untuk menghalau keluar orang asing dari China dan membunuh orang China beragama Kristian.

Terdapat pelbagai sebab berlakunya kebangkitan Gerakan Boxer. Antaranya ialah sentimen orang asing. Kedaulatan Negara China terjejas semenjak Perang Inggeris-China Pertama (Perang Candu) kerana kuasa-kuasa Barat menceroboh China. Oleh itu, Gerakan Boxer menunjukkan keinginan untuk membalas dendam dan memulihkan kebanggaan nasional dalam kalangan orang China. Selain itu, perlumbaan antara kuasa-kuasa Barat untuk mendapatkan konsesi-konsesi di Negara China menyebabkan sentimen anti-orang asing semakin bertambah kerana terdapat kebimbangan bahawa Negara tersebut akan dibahagikan antara kuasa-kuasa Barat.

Di samping itu, perkembangan kegiatan mubaligh Kristian juga menyumbang kepada sebab kebangkitan Boxer. Perkembangan agama Kristian menambahkan kemarahan orang China terhadap orang asing dan menganggap satu penghinaan kepada kepercayaan dan falsafah orang China. Malahan, orang China yang memeluk agama Kristian dibenci kerana mereka meninggalkan sesetengah daripada adat lama, enggan membiayai perbelanjaan perayaan dan hiburan tempatan yang telah menambahkan beban perbelanjaan penduduk tempatan yang lain. Mubaligh-mubaligh Kristian juga sering campur tangan dalam pertikaian yang melibatkan orang China yang beragama Kristian dan kesannya menambahkan kemarahan orang China.

Seterusnya, kebencian orang China terhadap orang asing bertambah apabila ekonomi orang China dikuasai oleh orang asing. Justeru itu, beberapa perusahaan tempatan seperti perusahaan kain dan pertukangan tangan merosot menyebabkan bilangan rakyat China yang menganggur bertambah. Barang-barang buatan Barat yang lebih murah menyebabkan perusahaan tempatan dikuasai oleh orang asing. Kesengsaraan ekonomi orang China meningkat apabila kerajaan China menaikkan cukai dan memperkenalkan pelbagai cukai yang baharu kerana China mengalami kemerosotan dalam perdagangan asing. Kemerosotan taraf hidup menyebabkan ramai petani dan penganggur menyertai Gerakan Boxer.

Bencana alam juga menambahkan penderitaan orang China. Bencana alam seperti banjir dan kemarau mengakibatkan kebuluran dan orang China menyalahkan orang asing kerana bencana alam tersebut. Orang China percaya bahawa orang asing telah menyinggung perasaan Dewa-dewa China dan menganggu ketenteraman antara manusia dan alam semula jadi dengan ajaran-ajaran mereka.

Tambahan lagi, pihak istana juga menyokong kebangkitan Gerakan Boxer. Maharani Dowager menyokong usaha Gerakan Boxer untuk mengusir keluar orang Barat dari negeri China. Sokongan tersebut menaikkan lagi semangat ahli Gerakan Boxer untuk menyerang orang China yang beragama Kristian dan orang asing. Ahli-ahli Gerakan Boxer telah membunuh ramai orang asing dan orang China yang beragama Kristian. Bagaimanapun, Gerakan Boxer dapat ditumpaskan oleh tentera bersekutu yang terdiri daripada askar British, Jepun, Amerika Syarikat, Perancis dan Rusia. Pada tahun 1901, satu perjanjian telah dimeterai untuk menamatkan gerakan ini yang dikenali sebagai Protokol Boxer.


Kebangkitan Boxer boleh dikatakan sebagai satu cubaan untuk menyelamatkan Negara China daripada pencerobohan asing. Tekanan ekonomi yang dihadapi oleh China dan masalah penyebaran agama Kristian di China merupakan faktor dominan yang menyebabkan berlakunya Pemberontakan Boxer.

Thursday 21 November 2013

RAHSIA DI SEBALIK 5 SC (SMKPTS)

KHAS BUAT SAHABAT-SAHABAT SEPERJUANGANKU…


Assalamualaikum pembuka kata
Sebagai pengenalan tirai cerita
Selamat membaca kepada semua
Gelagat 5 SC buat semua orang sentiasa berbicara.

Hujung penjuru di blok F kelas kami
Penghuninya kacak dan anggun sekali
Selalu bising tak pernah sunyi
Hinggakan kelas seangkatan kami iri hati.

Tirai dibuka gamat sekali
Encik Sharfuddin guru kelas kami
Mengajar subjek Fizik setiap hari
Berpindah ke Perak buat kami rindu di sini.

Ho Koon Nai ketua kelas kami
Kalau marah bak halilintar memecah bumi
Dibantu oleh Huda penolong kelas kami
Orangnya comel sukar untuk dibandingi.

Kutip duit kerja si Ceti
Soh Kai Deng empunya diri
Minta duit tak kira hari
Sorry, kami tak ada ‘money’.

Mai dan Syeera atlet olahraga
Aktif sekali dalam acara balapan
Walaupun penat tetap berusaha
Demi Topaz dapatkan kejayaan.

Orangnya bijak bestari sukar ditandingi
Lim Shing Shik nama diberi
Sheng Kai pula nampak pendiam sekali
Sebenarnya fokus pada SPM tahun ini.

Hero Hindustan duduk seorang diri
Danne Pillay tampil ‘macho’dan gaya tersendiri
Hidup selamba yang diamalkan sejak azali lagi
Itulah Boon How pengerusi pancaragam sekolah ini.

Duduk di belakang bak hujung dunia
Sharifah tuan empunya nama
Farahain pula ‘member’ sebelahnya
Merupakan ahli pencak silat sekolah Paduka.

Menyakat orang no.1 di Malaysia
Dayah nama diberi orang tuanya
Sukan memanah amat sebati di dalam jiwa
Itulah Liyana dan tak lupa juga ketua kelas kita.

Ketawa sakan bak gempa bumi melanda
Sape tak kenal Faiqah lah orangnya
Minat KPOP tak ingat dunia
Itulah perangai Syafikah nampaknya.

Ee May dan Mei Chen sentiasa berdua
Berdamping bersama Zin Rou dan Chwee Teng
Mereka merupakan sahabat sehati sejiwa
Tak lupa juga kepada Fui Yee dan Wei Siang.

Diam-diam ubi berisi
Yew Boon dan Kevin sahabat sehidup semati
Pandai melukis dan memekak setiap hari
Itulah ‘pekerjaan’ hariannya kini.

Tubuhnya kurus bak penyapu lidi
Xing Fu pengerusi Pusat Sumber Sekolah ini
Lain pula ‘atuk’(Juin Siang) dan Jia Sheng kali ini
‘Ulat buku’ tak kira tempat di sana sini.

Perwatakannya ‘sporting’ entah kenapa?
Nita dan Meera sentiasa berdua
Di kelas tampak fokus sahaja
Dalam diam ada ‘agenda’ tersendiri rupa-rupanya.

Air yang dicincang tak putus-putus
Sentiasa berkepit setiap masa
Orangnya ialah Julia dan Fatin Hennis
Moga persahabatan mereka kekal abadi selamanya.

Kai Ling,Jing Liang dan Jia Ning bertiga sahaja
Buat sesuatu perkara ikut citarasanya sentiasa
Lupa pula Jie Ying,Cathrine dan Yee Fen
Mereka juga tak kurang hebatnya.

Peserta tersingkir ustazah pilihan ada di sini
Aten ialah tuan empunya diri   
Farrezatul pula berubah sikap tahun ini
Ponteng sakan entah mana pergi.

Inilah saya penutup cerita
Mengatur strategi mengenakan semua
Orangnya kecil dan betah berbicara
Yang selalu lafazkan ikrar Rukunegara.

Selesai sudah ceritaku ini
Harap anda terhibur kini
Kepada semua ahli kelas 5 SC tahun ini
Janganlah kamu berkecil hati
Sebab akan datang mungkin tak berjumpa lagi
Anggaplah sebagai memori indah di kala sepi.



               
NUKILAN,
Rasyidatul Najwa Rosman...


wlupn nukilan ni dh setahun lps dan 'tidak berjaya' masuk ke dlm sebuah mjlh sklh atas sbb tertentu yg tak dpt nkdielakkan..namun,, nukilan ini sntiasa buat diriku disirami rasa rindu terutamanya shbt2ku yg kini sdg berjuang di medan perang...i hope u alls can do that for your future...miss u alls :') 












ORANG PANDAI ???

SIAPAKAH ORANG YANG PANDAI ???

Orang yang pandai ialah orang yang bersiap-siap untuk hari kematiannya. Ini kerana dunia pendek sahaja usianya, sedangkan akhirat kekal abadi selamanya…



AMERIKA SYARIKAT

SISTEM PEMERINTAHAN PERSEKUTUAN

Perkataan “persekutuan” berasal daripada perkataan Greek, iaitu foedus bermaksud perjanjian. Persekutuan ialah gabungan beberapa buah wilayah atau negeri yang dahulunya bebas tetapi menjadi Negara bersekutu di bawah satu perlembagaan pusat. Pemerintahan persekutuan merupakan satu bentuk pemerintahan yang membahagikan kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan tempatan. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing. Pada 4 Julai 1776, Kongres dalam persidangan yang diadakan di Philadelphia meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan. Pengisytiharan Kemerdekaan ini telah ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 buah koloni digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

Di dalam sistem pentadbiran di Amerika Syarikat, kuasa kerajaan dibahagikan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Setiap negeri ini mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara-perkara tertentu. Pada awalnya, Artikel Persekutuan yang digubal selepas Amerika Syarikat bebas daripada British menjadi panduan dalam pembentukan Negara Amerika Syarikat. Malangnya, artikel ini tidak mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat. Hal ini berpunca daripada pembahagian kuasa yang sedikit kepada kerajaan persekutuan. Secara tidak langsung kekurangan ini menjadikan Amerika Syarikat sebuah Negara yang lemah dan tidak mampu untuk menjalankan projek-projek pembangunan di samping tidak mempunyai sumber kewangan yang tidak mencukupi. Kerajaan persekutuan terpaksa bergantung kepada sumbangan kerajaan negeri sebagai sumber ekonomi. Pada peringkat ini juga, kerajaan persekutuan tidak dibenarkan membentuk sistem perdagangan dengan negeri-negeri ataupun Negara lain.

Oleh hal yang demikian, Konvensyen Philadelphia 1787 telah diadakan bagi membincangkan tentang kuasa yang akan diberi kepada kerajaan pusat. Dari sini terbentuknya Perlembagaan Amerika. Perlembagaan ini memperuntukkan perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang dikuasai oleh kerajaan pusat, memberi kebebasan kepada negeri-negeri menggubal undang-undang berkaitan adat dan budaya tempatan serta memberi kuasa yang lebih besar kepada kerajaan persekutuan. Manakala, perlembagaan memperuntukkan hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing. Menjelang tahun 1788, Sembilan buah negeri telah mengesahkan perlembagaan tersebut. Namun, oleh kerana pengaruh pihak antifederal, negeri New York mengesahkan untuk menyokong Perlembagaan Amerika.

Perlembagaan Amerika juga menggariskan badan-badan memerintah Negara bagi melindungi Negara dari sebarang unsur-unsur authoritarian dan radikal. Perlembagaan telah menggariskan bahawa struktur kerajaan terdiri daripada tiga bahagian, iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Kuasa Eksekutif diterajui oleh Presiden. Presiden dipilih untuk tempoh empat tahun. Selepas empat tahun, Presiden boleh dilantik semula untuk penggal kedua selama empat tahun.

Badan perundangan iaitu Kongres terdiri daripada Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Kongres berfungsi untuk mengimbangi kuasa Presiden yang memiliki kuasa veto. Presiden Amerika Syarikat boleh membatalkan undang-undang melalui kuasa veto dan mengawasi kongres. Namun, melalui dua pertiga undi kongres, kedua-dua dewan dapat mengatasi kuasa veto Presiden. Ahli Dewan Senat dan Dewan Perwakilan dipilih oleh rakyat.

Badan kehakiman terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah lain. Badan ini merupakan badan yang bebas. Mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap Presiden sekiranya Presiden melanggar perlembagaan.

Pilihan raya pertama bagi Amerika Syarikat diadakan pada 4 November 1789 dan dalam piliha raya tersebut, George Washington telah dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama.


Kesimpulannya, pembentukan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat dilihat sebagai salah satu cara yang paling berkesan untuk menggabungkan negeri-negeri yang pernah menjadi koloni British. Kerajaan persekutuan yang sama, hak dan kebebasan peribadi rakyat tidak diusik. Sekaligus, ini membantu Amerika Syarikat untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dan politik dunia.

Sunday 17 November 2013

DEKOLONISASI & KEDAULATAN DI INDIA

PROSES DEKOLONISASI DAN PENGEMBALIAN KEDAULATAN 
YANG BERLAKU DI INDIA

Proses dekolonisasi bermaksud pembebasan tanah jajahan dengan memberikan kemerdekaan kepada tanah jajahan tersebut. Proses ini berlaku dengan pantas selepas Perang Dunia Kedua. Dekolonisasi melibatkan bekas tanah jajahan di merata tempat. Hal ini berlaku apabila Negara-negara Eropah mengalami kemerosotan ekonomi sehingga tidak mempunyai kekuatan untuk menguasai tanah jajahan mereka selepas Perang Dunia Kedua. Desakan hebat daripada penduduk tempatan khususnya golongan intelek menyebabkan proses dekolonisasi terpaksa dipercepatkan.

Dekolonisasi di India pada tahun 1905 hingga 1918 dikenali sebagai tahap militant kerana munculnya gerakan bersifat radikal yang memainkan peranan penting dalam menggerakkan penentangan terhadap British. Gerakan ini diketuai oleh B.G Tilak, Lala Lajpat Rai, Bipin Chandra Pal dan Aurobindo Ghosh. Mereka mencadangkan agar semua yang berkaitan dengan British dipulaukan seperti barangan, pendidikan, perkhidmatan kerajaan, undang-undang dan mahkamah. Namun, menjelang tahun 1920, usaha golongan militant tersebut gagal.

Pembabitan Turki dalam Perang Dunia Pertama turut memberi kesan kepada India dan masyarakat Islam menganggap Turki mewakili pemerintahan Islam. Oleh itu, masyarakat Islam di India menganggap musuh Turki juga musuh orang Islam. Gerakan Khilafat dilancarkan oleh Maulana Abul Kalam Azad Khan, Muhammad Ali dan Shaukat Ali untuk memulaukan semua aktiviti kerajaan dan penutupan premis perniagaan. Pemimpin-pemimpin Gerakan Khilafat mendakwa bahawa India bukanlah Negara Islam dan menyebabkan 500 000 hingga dua juta masyarakat Islam berhijrah ke Afghanistan.

Perjuangan penduduk India bercorak sederhana selepas Perang Dunia Pertama tetapi masih enggan bekerjasama dengan British. Mahatma Gandhi memimpin Kongres Kebangsaan India (INC) dan menukar INC daripada sebuah parti elit kepada gerakan massa yang mewakili semua lapisan masyarakat. Tiga prinsip perjuangan Mahatma Gandhi ialah satyagraha, ahimsa dan swadesi. Prinsip swadesi ialah berdikari tanpa mengharapkan bantuan orang lain. Mahatma Gandhi menyarankan agar masyarakat India bersatu memulau barangan dari Eropah dan Britain.

Prinsip satyagraha bererti berpegang kepada kebenaran. Melalui prinsip ini, Mahatma Gandhi menyarankan agar bangsa India terus memperjuangkan kemerdekaan yang dibenarkan dalam sistem demokrasi. Mahatma Gandhi merupakan seorang pejuang antikekerasan kerana menurut beliau, kekerasan tidak mampu menyelesaikan masalah. Manakala,dalam prinsip ahimsa, mogok lapar merupakan salah satu cara penentangan . Tindakan Mahatma Gandhi memaksa British memberikan kemerdekaan kepada India pada tahun 1947.

Mahatma Gandhi yang beragama Hindu mengkritik amalan kasta dalam agama Hindu yang dipaparkan dalam akhbar Young India dan Navajivan. Hal ini menyebabkan golongan militant tidak berpuas hati dengan Mahatma Gandhi dan membawa kepada pembunuhan beliau oleh Nathuram Ghose. Amalan kasta yang dikritik oleh Mahatma Gandhi menarik perhatian rakyat India dengan isu Harijan atau golongan yang tidak boleh disentuh. Beliau menekankan bahawa amalan tersebut harus dihapuskan. Beliau turut mengambil seorang gadis Harijan sebagai anak angkatnya.

Beberapa akta digubal untuk mempercepatkan rakyat tempatan memerintah India. Antaranya, termasuklah Akta Majlis India (1909) dan Akta Montague-Chelmsford. Perarakan Garam atau Perarakan Dandi diadakan oleh Mahatma Gandhi kerana British memonopoli pengeluaran garam dan menaikkan harga garam yang secara tradisinya dihasilkan oleh rakyat tempatan. Oleh itu, British telah menahan dan memenjarakan pemimpin-pemimpin INC termasuk Mahatma Gandhi dan INC diisytiharkan tidak sah.

Persidangan Meja Bulat diadakan di London tetapi gagal mencapai kata sepakat. Kemudiannya, British bekerjasama dengan INC dan menganjurkan Pakatan Gandhi-Irwin pada tahun 1931. Gandhi bersetuju membatalkan kempen melanggar perintah awam dan sebagai balasan, pihak British akan menarik balik segala tindakan kekerasan dan memberi jaminan untuk membebaskan nasionalis yang ditahan. Persidangan Meja Bulat Kedua diadakan dan Gandhi yang menghadiri persidangan tersebut merasakan pegawai-pegawai British berdolak-dalik dalam memberi kuasa mentadbir Negara sendiri kepada orang India.

British mendakwa Mahatma Gandhi gagal meyakinkan British dalam usaha menyelesaikan masalah perpaduan rakyat India dan sikap British ini mengecewakan Mahatma Gandhi. Hal ini menyebabkan Mahatma Gandhi menjalankan semula gerakan menentang British dan beliau ditahan sekali lagi. British bertindak dan memburukkan lagi keadaan dengan pengumuman Anugerah Perkauman yang menindas rakyat India dari kelas bawahan. Pakatan Poona diperkenalkan pada tahun 1932 berjaya menghentikan Mahatma Gandhi daripada terus mogok lapar di penjara. Persidangan Meja Bulat Ketiga diadakan dan Akta Kerajaan India 1935 diperkenalkan.

Dalam pilihan raya umum pada tahun 1937, INC menang besar di lapan wilayah manakala Liga Muslim menguasai tiga kawasan sahaja yang menyebabkan Liga Muslim mendakwa bahawa INC hanya memperjuangkan nasib orang Hindu dan mencipta slogan “Islam Dalam Bahaya” untuk meraih simpati. Di sinilah idea penubuhan Pakistan diperjuangkan dan mendapat sokongan sebilangan rakyat yang ditunjukkan dalam kemenangan Liga Muslim dalam pilihan raya umum pada tahun 1945 dan 1946. Parti INC dan Liga Muslim dipilih mewakili India dalam rundingan kemerdekaan India dengan pihak British.

Isu pertikaian Hindu dan Islam tidak dapat dibendung lagi. Gabenor Jeneral India, Lord Louis Mountbatten bersama pemimpin INC dan Liga Muslim mencapai satu kata sepakat. Oleh itu, rancangan pemisahan India untuk penganut Hindu dan Islam dilaksanakan. Secara ringkasnya, orang Islam memasuki Pakistan dan orang Hindu memasuki India yang mencatatkan penghijrahan besar. Proses penghijrahan tersebut melibatkan ribuan orang terkorban dan berlaku pertumpahan darah. Era penjajahan bagi kedua-dua Negara iaitu Pakistan dan India berakhir pada Ogos 1945 apabila kedua-dua Negara menjadi Negara bebas berdaulat.

Muhammad Ali Jinnah memegang jawatan sebagai Gabenor Jeneral Pakistan dan Jawaharlal Nehru menjadi Perdana Menteri India yang pertama. Lord Louis Mountbatten diminta meneruskan tugasnya sebagai Gabenor Jeneral India.

Pelbagai pihak telah mengambil langkah inisiatif untuk membebaskan India daripada penjajahan British. Perjalanan ke arah mendaulatkan India menempuh ranjau disebabkan pihak British sengaja melengah-lengahkan pemberian kemerdekaan dengan mengenakan pelbagai peraturan seperti Akta Majlis India (1909) dan Anugerah Perkauman (1932). Bagaimanapun, usaha membebaskan diri daripada belenggu penjajahan terjejas kesan konflik antara orang Hindu dan orang Islam yang akhirnya membawa perpecahan India kepada dua Negara iaitu India dan Pakistan.



Thursday 14 November 2013

TUNTUTAN ILMU

Menuntut Ilmu Bererti Menuju ke Syurga
                                                                             
Daripada Abu Daud r.a berkata: Aku telah mendengar Nabi s.a.w bersabda: Barangsiapa yang menjalani satu jalan ilmu bererti ia telah menjalani suatu jalan daripada jalan-jalan syurga. Sungguhnya para malaikat menghamparkan sayapnya kerana redha bagi orang yang menuntut ilmu. Dan sesungguhnya orang yang ada di seluruh lapisan langit dan bumi meminta ampun bagi orang yang alim sehingga ikanyang ada di laut. Dan sesungguhnya kelebihan orang yang alim atas orang yang abid seperti kelebihan bulan purnama atas sekalian bintang-bintang. Dan sesungguhnya ulama itu pewaris Nabi-nabi. Dan para Nabi itu sebenarnya tidak mewariskan dinar (wang emas) dan dirham (wang perak)tetapi yang diwariskan oleh mereka ialah ilmu. Maka barangsiapa mengambil ilmu bererti ia telah mengambil habuan yang paling sempurna´.

Hadis Riwayat Abu Daud.. 



ILMU KHAZANAH PENTING BAGI UMAT ISLAM

Rasulullah SAW juga pernah bersabda; ilmu itu ialah khazanah bagi orang-orang islam, maka jadilah antara 4 golongan majlis ilmu yang mendapatkan keredhaan dari Allah. dan 4 golongan tersebut ialah ;
                          
1) Orang yang bertanya/belajar
2) Orang yang mengajar
3) Orang yang mendengar
4) Orang yang cinta orang yang berada dalam majlis ilmu.


jangan kita jadi orang yang ke 5 benci kepada orang yang menuntut ilmu dan kepada orang yang mengajar ilmu ...

Wednesday 13 November 2013

JEAN-JACQUES ROUSSEAU

SUMBANGAN JEAN-JACQUES ROUSSEAU

Jean-Jacques Rousseau dilahirkan di Geneva dan berketurunan Swiss. Beliau dilahirkan di Geneva dan merupakan seorang pemikir yang berpengaruh. Ibunya meninggal dunia selepas beberapa hari melahirkannya. Beliau dibesarkan oleh ayahnya, seorang tukang jam. Pada tahun 1742, beliau ke Paris dan menjadi ahli muzik dan composer. Beliau kembali ke Geneva pada tahun 1745 dan berdampingan dengan ahli falsafah iaitu Diderot dan Condillac. Selepas itu, beliau mula melibatkan diri dalam bidang penulisan ketika berusia 40 tahun.

Dalam karyanya The Social Contract (1762), beliau mengemukakan pandangan bahawa sesebuah kerajaan atau pemerintah hendaklah melaksanakan pemerintahan berdasarkan perjanjian (kontrak) yang dibuat dengan rakyat jelata. Hal ini bermaksud, pemerintah perlulah menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat, barulah rakyat akan memberi ketaatan kepada pemerintah berkenaan. Sebaliknya, jika pemerintah tidak menjaga kebajikan rakyat, maka mandat yang diberi boleh ditarik balik. Rakyat boleh melantik pemerintah lain yang dirasakan mampu menjaga dan melindungi keselamatan mereka.

Beliau menekankan idea ini kerana baginya kontrak sosial adalah satu konsep semula jadi dan seseorang individu itu lebih mengetahui tentang apa yang terbaik untuk dirinya. Beliau turut menyatakan bahawa kebebasan untuk menentukan masa depan sendiri adalah kehendak setiap Negara. Ideanya adalah bertentangan dengan sistem politik di Perancis yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berkuasa mutlak ketika itu. Idea “kontrak sosial” ini menjadi elemen utama di dalam Pengisytiharan Perhimpunan Kebangsaan Revolusi Perancis serta digunakan oleh pemikir-pemikir Amerika seperti Benjamin Franklin dan Thomas Jefferson dalam karya mereka.

Pada tahun 1750, beliau telah menghasilkan karya bertajuk Discourse on The Arts and Sciences yang merupakan responnya terhadap bidang sains dan seni memainkan peranan dalam peningkatan unsur moral. Karya tersebut juga mengemukakan pendapat berbeza dengan pendapat orang yang sezaman dengannya. Beliau berpendapat bahawa kemajuan dalam seni dan sains tidak menyumbang kepada pemurniaan moral individu, sosial dan tahap politik. Karya ini turut membincangkan bagaimana masyarakat yang maju berkembang dari segi seni dan sains mengalami kemerosotan dari segi moral dan nilai-nilai murni.

Selain itu, beliau turut mengiktiraf Socrates sebagai seorang yang bijak kerana menyedari kebinasaan yang disebabkan oleh seni dan sains. Seterusnya, beliau beranggapan sains menjadikan hidup lebih mudah dan menyeronokkan tetapi bukan bertambah baik dari segi moral. Beliau juga menyokong pemikir yang dianggap bijak seperti Bacon, Descartes dan Newton. Beliau juga mahu majority masyarakat memberi perhatian kepada memperbaiki tingkah laku dan akhlak berbanding memajukan seni dan sains.

Karya Discourse on the Origin of Inequality pula didedikasikan kepada Republik Geneva dan dikatakan salah satu dokumen yang paling revolusioner pada abad ke 18 di Eropah. Karya ini menunjukkan perkembangan tamadun merosakkan kebahagiaan semula jadi dan kebebasan manusia dengan mencipta ketidaksamaan dalam kekayaan, kuasa dan keistimewaan sosial. Seterusnya, beliau berpendapat bahawa manusia primitive adalah bebas, tetapi apanila masyarakat menjadi lebih moden, anggota masyarakat yang kuat dan paling pintar dalam masyarakat memperolehi kelebihan yang tidak semula jadi ke atas saudara mereka yang lemah. Berikutnya, perlembagaan yang digubal untuk membetulkan ketidakseimbangan ini melalui keamanan dan keadilan sebenarnya tidak melakukan apa-apa tetapi mengekalkan kedudukan itu.

Beliau menjadi terkenal kerana Teori Naturalisme yang diperkenalkannya melalui buku yang bertajuk Emile yang mengkhusus kepada pendidikan awal kanak-kanak. Melalui karya ini, Rousseau memberi huraian secara terperinci tentang ciri-ciri semula jadi kanak-kanak mengikut peringkat umur yang berbeza. Menurutnya, kanak-kanak harus dibiarkan mengikut kecenderungan masing-masing dan tidak dipaksa mempelajari pelajaran yang mereka tidak gemari.

Kesimpulannya, Rousseau merupakan seorang ahli falsafah yang berpengaruh dan banyak menyumbangkan idea dan pemikiran pada Zaman Enlightenment (Pencerahan).


Tuesday 12 November 2013

PBB ???

MATLAMAT & DASAR PENUBUHAN 
PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU (PBB)

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bertujuan mengekalkan perdamaian di dunia dengan cara perundingan, bermuafakat dan bertukar-tukar fikiran dengan Negara anggota. Oleh itu,persidangan Dumbarton Oaks telah mencadangkan supaya dibentuk empat cawangan PBB iaitu Perhimpunan Agung, Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Jabatan Setiausaha dan Majlis Ekonomi dan Kemasyarakatan. Namun begitu, cara mengundi dalam Majlis Keselamatan telah memutuskan lima kuasa besar iaitu Amerika Syarikat, Russia, Britain, Perancis dan China. Oleh hal yang demikian, ditubuhkan pada 24 Oktober 1945,sebanyak 51 buah Negara telah menandatangani Pengisytiharan PBB di San Francisco dan dianggap sebagai ahli asal pertubuhan ini.

        Negara-negara anggota pertubuhan ini harus akur dengan Piagam PBB iaitu satu perjanjian antarabangsa yang menggalurkan prinsip-prinsip asas hubungan antarabangsa. Hal ini demikian, terdapat empat matlamat Piagam PBB iaitu menjamin keamanan dan keselamatan dunia, menggalakkan hubungan berbaik-baik antara Negara-negara anggota. Selain itu, bekerjasama dalam menyelesaikan masalah antarabangsa dan melindungi hak asasi manusia tanpa mengira bangsa, agama dan warna kulit. PBB juga boleh menggalakkan kemajuan kemasyarakatan dan memperbaiki taraf hidup manusia.                

Di samping itu, dasar-dasar yang menjadi pegangan PBB dan Negara-negara anggotanya ialah PBB didasarkan kepada persamaan taraf dan kedaulatan semua Negara anggotanya. Oleh itu, setiap Negara anggota akan mematuhi kewajipannnya mengikut Piagam PBB.                

Tambahan pula, semua Negara anggota akan menyelesaikan pertelingkahan antarabangsa dengan perasaan dan semangat serta keyakinan yang tinggi tanpa menggugat keamanan, keselamatan dan keadilan sejagat. Oleh hal yang demikian, sebarang konflik antarabangsa harus diselesaikan secara aman tanpa penggunaan kekerasan yang bertentangan dengan matlamat PBB.                
                 
Malahan,Negara-negara anggota juga tidak boleh menggunakan kekerasan atau ugutan terhadap kawasan atau kemerdekaan sesebuah Negara atau pun dengan cara yang tidak sesuai dengan semangat PBB. Walau bagaimanapun, Negara-negara anggota diminta memberi bantuan dalam apa sahaja tindakan yang diambil oleh PBB dan dikehendaki tidak memberi kerjasama kepada mana-mana pihak yang dikenakan tindakan oleh PBB. PBB juga hendaklah memastikan supaya Negara-negara yang tidak menyertai pertubuhan ini mematuhi dasar-dasar PBB setakat mana yang perlu bagi memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.                 

       Akhir sekali, PBB juga turut tidak akan mencapai untuk mencampuri urusan dalam sesebuah Negara yang berkaitan dengan bidang perundangan. Dasar ini akan diketepikan apabila tindakan terpaksa diambil untuk menghadapi ugutan yang mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Oleh hal yang demikian, PBB tidak akan campur tangan dalam hal ehwal dalam sesebuah Negara kecuali untuk tujuan melaksanakan keputusan PBB.                 

Kesimpulannya, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan pertubuhan antarabangsa yang mempunyai hubungan saling bergantungan antara satu sama lain dalam menjalankan usaha memelihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.