Tuesday 3 December 2013

PERANG DINGIN

FAKTOR-FAKTOR YANG MENYUMBANG KEPADA BERLAKUNYA 
PERANG DINGIN

Perang Dingin dapat diistilahkan sebagai konflik antara blok kapitalis yang diterajui oleh Amerika Syarikat dengan blok komunis yang dipimpin oleh Soviet Union sejak berakhirnya Perang Dunia Kedua pada 1945. Istilah ini dipopularkan oleh seorang kolumnis dari Amerika Syarikat iaitu Walter Lippmann dan digunakan secara meluas pada tahun 1947 apabila Doktrin Truman dilancarkan. Oleh itu, terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada tercetusnya Perang Dingin.

Antara faktor tersebut ialah tiada kesepakatan dalam rundingan. Pemimpin Big Three Kuasa Berikat telah mengadakan satu pertemuan di Tehran, Iran pada tahun 1943 bagi membincangkan masa depan politik Eropah kerana Jerman semakin menghampiri kekalahan. Namun, dalam persidangan tersebut, Amerika Syarikat tidak memberi sebarang persetujuan tentang kawasan yang dimiliki (konsesi) oleh Rusia di Eropah Tengah. Selain itu, Rusia yang diwakili oleh Joseph Stalin berharap agar Amerika Syarikat dan Britain membuka second front melalui Perancis. Hal ini adalah untuk memudahkan Rusia menyerang Jerman dan sebagai ganjaran, Rusia berjanji akan membantu Amerika Syarikat dan Britain untuk menewaskan Jepun.

Pertemuan kedua diadakan pada Februari 1945 di Yalta, Rusia. Joseph Stalin merasa bimbang akan ancaman Jerman dan mahu Negara-negara Eropah Timur berada di bawah pengaruh Rusia serta sebagai pelindung kepada Rusia. Namun, Presiden Amerika Syarikat, Franklin D.Roosevelt gagal menjelaskan dasar Amerika Syarikat terhadap Eropah Timur. Keadaan tersebut mengakibatkan Jospeh Stalin menganggap pihak Barat bersedia menerima pengaruh Rusia di Poland sekiranya Rusia berundur dari Eropah Barat. Selain itu, persidangan terakhir di Potsdam, Berlin pada 17 Julai hingga 2 Ogos 1945 juga tidak berjaya seperti yang diharapkan oleh Joseph Stalin disebabkan oleh isu penguasaan ke atas Eropah Timur dan Eropah Tengah.

Faktor kedua ialah perbezaan ideologi antara blok Barat dengan blok komunis. Dari segi politik, blok Barat mengamalkan sistem demokrasi dan sistem pelbagai parti. Kerajaan yang memerintah adalah hasil undian rakyat menerusi pilihan raya umum. Manakala blok komunis pula menganjurkan sistem pemerintahan secara diktator dan hanya parti komunis sahaja diiktiraf.

Dari segi ekonomi, blok Barat mengamalkan sistem kapitalisme dengan prinsip pasaran bebas. Pemerintah  mempunyai peranan yang terbatas dalam persaingan ekonomi dan ini menguntungkan pelabur-pelabur yang bermodal besar serta Berjaya meningkatkan persaingan dalam kalangan pengusaha sehingga ekonomi Negara turut meningkat. Blok komunis pula mengawal perdagangan bebas dan pemerintahnya memainkan peranan besar. Hal ini menyebabkan perkembangan ekonominya perlahan kerana tiada persaingan. Dari sudut social pula, blok Barat member sepenuhnya kebebasan kepada individu seperti kebebasan memilih kerajaan, kebebasan bersuara, hak asasi dan sebagainya. Berlainan pula dengan blok komunis, rakyatnya mempunyai kebebasan yang terhad.

Faktor ketiga ialah kemelesetan ekonomi disebabkan pembiayaan Perang Dunia Kedua. Dalm Perang Dunia Kedua, Amerika Syarikat tidak menjadi medan peperangan dan hal ini menyelamatkan Negara tersebut daripada kemusnahan prasarana. Disebabkan hal ini juga, Presiden Harry S. Truman membuat pengisytiharan bahawa Amerika Syarikat akan menolong setiap bangsa yang merdeka bagi berdepan dengan komunis. Justeru, Rancangan Marshall (Marshall Plan) diperkenalkan pada tahun 1948 bertujuan untuk membangunkan ekonomi Eropah Barat di samping memerangi pengaruh komunis. Melalui rancangan tersebut, ekonomi Perancis, Jerman Barat, Itali, Belanda, Britain dan lain-lain berjaya dipulihkan. Namun, Rusia menolak bantuan Amerika Syarikat kerana berpendapat bahawa rancangan ini merupakan helah Amerika Syarikat untuk campur tangan dalam pentadbiran negara lain.

Faktor terakhir ialah kebimbangan Rusia terhadap ancaman Jerman. Kebimbangan ini berasaskan sejarah hubungan yang tegang antara Rusia dengan Jerman terutamanya apabila Adolf Hitler melancarkan Operasi Barbarossa. Peristiwa tersebut merupakan salah satu usaha Jerman untuk menakluk Rusia dan pada masa itu, Rusia menghadapi serangan Jerman bersendirian tanpa mendapat sebarang bantuan dari Negara lain. Antara tindakan Adolf Hitler ialah mengarahkan  79 pasukan tenteranya menyerang Rusia di sempadan sepanjang 2000 batu. Operasi ini berlaku selama 900 hari dan dalam tempoh itu, 600 000 bom digugurkan oleh tentera udara Jerman. Jerman memilih Rusia bagi mendapatkan tanah yang subur dan luas dan Hitler juga berpendapat bahawa orang Rusia dan daerah lain yang bukan Aryan patut ditakluki dan dijadikan hamba kepada bangsa Jerman.

Kesimpulannya, kedua-dua kuasa besar dunia iaitu Amerika Syarikat dan Soviet Union merupakn pihak penting dalam Perang Dingin. Kedua-duanya akan menggunakan apa sahaja cara untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing termasuklah pengintipan, kegiatan subversive dan berperang secara tidak langsung melalui sekutu mereka. Merekalah sebenarnya yang telah mencorakkan hubungan antarabangsa dalam tempoh Perang Dingin ini.

                          

No comments: