Monday 11 November 2013

CHARLES LOUIS MONTESQUEIU ...

SUMBANGAN CHARLES LOUIS MONTESQUIEU

Charles Louis Montesquieu dilahirkan di Chateau de la Brede, barat daya Perancis pada 18 Januari 1689. Berasal dari keluarga aristokrat dan meninggal dunia pada 10 Februari 1775. Beliau merupakan lulusan undang-undang dari Universiti Bordeaux dan Berjaya menjadi peguam pada tahun 1708. Beliau adalah salah seorang tokoh pemikir politik Perancis yang banyak memberikan sumbangan dan idea semasa Zaman Pencerahan (Enlightenment). Bapa saudaranya menjadi Penasihat Parlimen Bordeaux. Selepas bapa saudaranya meninggal dunia pada tahun 1716, Montesquieu telah dilantik sebagai Presiden Parlimen Bordeaux.

Salah satu idea melalui bukunya Spirit of The Laws, beliau menegaskan bahawa kerajaan yang berbeza-beza dibentuk berdasarkan iklim dan keadaan tertentu. Beliau berpendapat bahawa pemerintahan mutlak sesuai untuk memerintah di sebuah empayar yang luas. Sistem demokrasi pula subur di Negara-negara kecil. Idea beliau masih diperdebatkan sehingga hari ini.

Antara idea utama diutarakan oleh Charles Louis Montesqueiu ialah idea politik pemerintahan yang telah diperkenalkan melalui doktrin pengasingan kuasa. Teori ini dibincangkan melalui karyanya, Spirit of The Laws. Karya ini telah memberi kesan mendalam sama ada dalam bidang intelektual mahupun dalam amalan bidang politik dan pemerintahan terhadap Negara-negara di dunia. Perkara yang dibincangkan dalam karya ini termasuklah bentuk-bentuk pemerintahan, adat kebiasaan dan iklim, masalah ekonomi dan masalah agama.

Beliau menjelaskan bahawa konsep pengasingan kuasa dalam pemerintahan terbahagi kepada tiga buah badan bebas iaitu badan perundangan, badan eksekutif dan badan kehakiman. Ketiga-tiga badan tersebut mempunyai bidang kuasa tersendiri dan setiap cabang pemerintahan tidak mencampuri urusan badan lain. Doktrin ini dikemukakan kerana beliau menentang pemerintahan berkuasa mutlak. Menurut beliau, kuasa pemerintahan di Perancis perlu dibahagikan antara parlimen, golongan bangsawan, estet-estet provinsi, majlis perbandaran dan pihak gereja. Pemusatan kuasa dalam sistem monarki berlaku secara berleluasa kerana raja mempunyai kuasa yang tidak terbatas dalam semua bidang.

Beliau berpendapat jika kuasa menggubal undang-undang (legislatif) dan kuasa memerintah (eksekutif) dimiliki oleh orang yang sama, pasti kebebasan tidak akan wujud kerana pihak pemerintah akan menggubal undang-undang yang zalim supaya mereka terus berkuasa. Kebebasan juga tidak akan berlaku jika hakim-hakim tidak diberi kebebasan untuk melaksanakan tugasnya. Menurutnya, pengasingan kuasa ini perlu supaya penyalahgunaan kuasa dapat dielakkan. Doktrinnya mempunyai pengaruh dalam penggubalan Perlembagaan Amerika Syarikat pada tahun 1787.

Selain itu melalui karya The Considerations on the Causes of the Grandeur and Decadence of the Romans yang diterbitkan pada tahun 1734 memaparkan sejarah kebangkitan, kegemilangan dan kejatuhan kerajaan Rom. Montesqueiu menyatakan untuk memahami kegemilangan dan kejatuhan sesebuah empayar,seseorang harus memahami masyarakatnya. Beliau juga mengkaji peristiwa yang menimpa tentera Rom yang akhirnya membawa kepada kejatuhannya. Selain daripada kesetiaan tentera kepada pemimpin dan bukan kepada Negara, pertambahan bilangan tentera upahan telah melemahkan semangat tentera Rom yang sebenarnya merupakan nadi kepada empayar Rom.

Montesquieu telah menunjukkan cara beliau menginterpretasikan sebab dan akibat sejarah dengan memfokuskan kepada sebab-sebab tersirat dari segi sosial dan moral bagi kejatuhan Rom. Beliau digelar ahli sosiologi pertama kerana sumbangannya dalam mengkaji kesan dan akibat sosial dan fenomena persekitaran terhadap tingkah laku manusia.

Melalui karya ini, Montesquieu telah mengenal pasti beberapa factor yang menjadi punca kejatuhan empayar Rom. Penambahan bilangan tentera upahan dan pemberian taraf kewarganegaraan kepada warga asing yang kurang setia kepada Negara menjadi penyumbang kepada kemerosotan empayar Rom. Selain itu, sikap tamak kepada harta rampasan perang di wilayah-wilayah yang ditakluki menyebabkan sebahagian masyarakat meninggalkan pekerjaan dalam bidang kemahiran dan perniagaan. Kemerosotan moral dalam kalangan anggota masyarakat seperti ini membawa kepada kejatuhan empayar Rom.

Melalui karyanya iaitu Letters Persanes yang diterbitkan pada tahun 1721, beliau telah mengkritik masyarakat Perancis terutamanya kerana kemerosotan moral pada penghujung zaman pemerintahan Raja Louis XIV dan Raja Louis XV. Karya ini mengisahkan dua orang Persia yang bernama Usbek dan Rica yang mengembara ke Perancis. Semasa pengembaraan, isteri-isteri mereka dikawal oleh sida yang bertanggungjawab menjaga keselamatan isteri-isteri tersebut.

Kesimpulannya, Charles Louis Montesquieu telah banyak memberikan sumbangan kepada Perancis semasa Zaman Pencerahan terutamanya dalam sistem pemerintahan. Tidak hairanlah jika doktrin pengasingan kuasa yang diketengahkannya mempunyai pengaruh dalam penggubalan perlembagaan di dunia hari ini.

No comments: