Thursday 21 November 2013

AMERIKA SYARIKAT

SISTEM PEMERINTAHAN PERSEKUTUAN

Perkataan “persekutuan” berasal daripada perkataan Greek, iaitu foedus bermaksud perjanjian. Persekutuan ialah gabungan beberapa buah wilayah atau negeri yang dahulunya bebas tetapi menjadi Negara bersekutu di bawah satu perlembagaan pusat. Pemerintahan persekutuan merupakan satu bentuk pemerintahan yang membahagikan kuasa antara kerajaan pusat dengan kerajaan tempatan. Kerajaan pusat dan kerajaan negeri mempunyai bidang kuasa masing-masing. Pada 4 Julai 1776, Kongres dalam persidangan yang diadakan di Philadelphia meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan. Pengisytiharan Kemerdekaan ini telah ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 buah koloni digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

Di dalam sistem pentadbiran di Amerika Syarikat, kuasa kerajaan dibahagikan kepada kerajaan pusat dan kerajaan negeri. Setiap negeri ini mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara-perkara tertentu. Pada awalnya, Artikel Persekutuan yang digubal selepas Amerika Syarikat bebas daripada British menjadi panduan dalam pembentukan Negara Amerika Syarikat. Malangnya, artikel ini tidak mampu mewujudkan sebuah kerajaan yang kuat. Hal ini berpunca daripada pembahagian kuasa yang sedikit kepada kerajaan persekutuan. Secara tidak langsung kekurangan ini menjadikan Amerika Syarikat sebuah Negara yang lemah dan tidak mampu untuk menjalankan projek-projek pembangunan di samping tidak mempunyai sumber kewangan yang tidak mencukupi. Kerajaan persekutuan terpaksa bergantung kepada sumbangan kerajaan negeri sebagai sumber ekonomi. Pada peringkat ini juga, kerajaan persekutuan tidak dibenarkan membentuk sistem perdagangan dengan negeri-negeri ataupun Negara lain.

Oleh hal yang demikian, Konvensyen Philadelphia 1787 telah diadakan bagi membincangkan tentang kuasa yang akan diberi kepada kerajaan pusat. Dari sini terbentuknya Perlembagaan Amerika. Perlembagaan ini memperuntukkan perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang dikuasai oleh kerajaan pusat, memberi kebebasan kepada negeri-negeri menggubal undang-undang berkaitan adat dan budaya tempatan serta memberi kuasa yang lebih besar kepada kerajaan persekutuan. Manakala, perlembagaan memperuntukkan hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri masing-masing. Menjelang tahun 1788, Sembilan buah negeri telah mengesahkan perlembagaan tersebut. Namun, oleh kerana pengaruh pihak antifederal, negeri New York mengesahkan untuk menyokong Perlembagaan Amerika.

Perlembagaan Amerika juga menggariskan badan-badan memerintah Negara bagi melindungi Negara dari sebarang unsur-unsur authoritarian dan radikal. Perlembagaan telah menggariskan bahawa struktur kerajaan terdiri daripada tiga bahagian, iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Kuasa Eksekutif diterajui oleh Presiden. Presiden dipilih untuk tempoh empat tahun. Selepas empat tahun, Presiden boleh dilantik semula untuk penggal kedua selama empat tahun.

Badan perundangan iaitu Kongres terdiri daripada Dewan Senat dan Dewan Perwakilan. Kongres berfungsi untuk mengimbangi kuasa Presiden yang memiliki kuasa veto. Presiden Amerika Syarikat boleh membatalkan undang-undang melalui kuasa veto dan mengawasi kongres. Namun, melalui dua pertiga undi kongres, kedua-dua dewan dapat mengatasi kuasa veto Presiden. Ahli Dewan Senat dan Dewan Perwakilan dipilih oleh rakyat.

Badan kehakiman terdiri daripada Mahkamah Tinggi dan mahkamah-mahkamah lain. Badan ini merupakan badan yang bebas. Mahkamah boleh mengambil tindakan terhadap Presiden sekiranya Presiden melanggar perlembagaan.

Pilihan raya pertama bagi Amerika Syarikat diadakan pada 4 November 1789 dan dalam piliha raya tersebut, George Washington telah dilantik sebagai Presiden Amerika Syarikat yang pertama.


Kesimpulannya, pembentukan kerajaan persekutuan di Amerika Syarikat dilihat sebagai salah satu cara yang paling berkesan untuk menggabungkan negeri-negeri yang pernah menjadi koloni British. Kerajaan persekutuan yang sama, hak dan kebebasan peribadi rakyat tidak diusik. Sekaligus, ini membantu Amerika Syarikat untuk muncul sebagai kuasa ekonomi dan politik dunia.

No comments: