Sunday 30 March 2014

IBNU SINA a.k.a AVICENNA

SUMBANGAN IBNU SINA DALAM 
PERKEMBANGAN INTELEKTUAL


Ibnu Sina dikenali sebagai Avicenna dalam kalangan Barat. Beliau mula mempelajari al-Quran dan bahasa Arab ketika berusia lima tahun manakala menghafal al-Quran serta menguasai banyak bidang ilmu agama menjelang umur 10 tahun. Beliau mempelajari ilmu kedoktoran semasa berumur 16 tahun daripada Abu Sahl al-Jarjan, malah telah berjaya mengubati penyakit Perdana Menteri ketika berumur 17 tahun. Beliau turut mempelajari ilmu logik, geometri dan astronomi.


             Antara sumbangan beliau adalah dalam bidang perubatan. Beliau menghasilkan sebuah karya yang terkenal, iaitu Qanun fi At-Tibb yang menyenaraikan ubat-ubatan dan penyakit yang dihadapi oleh manusia melibatkan semua anggota badan. Beliau juga dianggap sebagai ‘Bapa Kedoktoran’ oleh penulis Barat. Beliau telah mengembangkan ilmu diagnosis melalui denyutan jantung. Beliau juga mencatatkan penyakit paru-paru sebagai penyakit berjangkit serta memberi tanda-tanda dan kesan penyakit kencing manis.

             Selain itu, beliau menemui sistem peredaran darah manusia dan merupakan orang pertama berjaya mengubati penyakit radang selaput otak. Beliau bertanggungjawab mengubati penyakit serius seperti barah termasuk barah usus malah memperkenalkan cara mengubati penyakit jiwa dan tekanan perasaan melalui kaedah psikoterapi.

             Dalam bidang falsafah, beliau cuba menyesuaikan ajaran falsafah Yunani dengan ajaran Islam. Al-Syifaa’ merupakan karya beliau yang terkenal dalam bidang falsafah kerana telah memuatkan ilmu metafizik, fizik, psikologi dan yang lain-lain. Beliau telah membicarakan pelbagai istilah yang digunakan dalam bidang falsafah dalam Kitab al-Hudud, membicarakan proses keinsafan dalam Kitab al-Insaaf dan mengupas tentang kebimbingan dan peringatan serta memperkatakan tentang prinsip ketuhanan dan keagamaan dalam Kitab al-Isyarat wa al-Tanbihat.


                   Tambahan pula, beliau berpendapat bahawa matematik boleh digunakan mengenal Tuhan, malah berpendapat bahawa muzik merupakan satu daripada cabang ilmu matematik yang berhubung dengan not-not muzik. Beliau telah mengkategorikan dua jenis muzik, iaitu natural dan buatan. Dalam bidang geologi, beliau telah berbicara tentang kejadian pembentukan gunung, manakala dalam bidang kimia pula, beliau mengemukakan teori tentang pembentukan kuningan dengan warna putih yang diambil daripada cairan perak atau membentuk perak dengan warna merah hingga seperti warna emas. Beliau menyimpulkan bahawa penyatuan itu boleh membentuk logam baharu.


                   Dalam bidang astronomi, beliau diberikan kepercayaan untuk memperbaik sistem kalendar perancangan untuk pembinaan balai cerap. Dalam bidang politik, beliau menggambarkan idea negara yang bercorak kemasyarakatan dalam karya al-Madinah al-Fadhilah. Beliau turut mengandaikan penyusunan negara dan keluarga adalah sama. Beliau juga sering menulis syair dalam bidang falsafah dan terserlah sebagai seorang penyair.


                   Kesimpulannya, Ibnu Sina telah memberi sumbangan besar dalam pelbagai bidang terutamanya bidang perubatan. Jasa beliau telah membantu para doctor pada masa kini dalam merawat kebanyakan penyakit yang dihidapi oleh pesakit.

No comments: