Saturday 22 March 2014

PEMBENTUKAN NEGARA BANGSA TURKI

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN 
NEGARA BANGSA TURKI 
PADA ABAD KE-20


                  Empayar Turki Uthmaniyah mengalami kemunduran sejak akhir abad ke 19, namun pemerintahannya yang dikemudikan oleh Sultan Abdul Hamid II telah berjaya mempertahankan empayar tersebut. Baginda mencuba sedaya upaya mempertahankan empayar Turki Uthmaniyah biarpun kuasa-kuasa Barat, iaitu Britain, Rusia dan Perancis bersatu untuk menghancurkan wilayah tersebut. Namun, melalui pembaharuan yang dilakukan Sultan Abdul Hamid II serangan daripada imperialis Barat berjaya ditepis sekaligus membawa kepada pembentukan Negara bangsa Turki pada abad ke-20.

               Faktor pertama yang membawa kepada pembentukan negara bangsa Turki ialah kewujudan Dasar Pan-Islamisme yang merupakan dasar terpenting pada masa pemerintahan Sultan Abdul Hamid II. Dasar ini menekankan perpaduan dan kerjasama umat Islam di bawah pimpinan seorang khalifah. Orang-orang Islam di Turki dan yang berada dalam empayar Turki hendaklah disatukan di bawah pimpinan Sultan Turki Uthmaniyah manakala umat Islam di bawah penguasaan Barat hendaklah menyokong khalifah kerajaan Turki Uthmaniyah bagi memperjuangkan kemerdekaan negara masing-masing. Baginda menggerakkan seluruh lapisan masyarakat yang terdiri daripada kalangan ulama, pemikir dan pembesar daripada pelbagai kaum, negeri, aliran pemikiran dan pelbagai bidang kepakaran untuk mencapai dasar ini.

               Seterusnya, Sultan Abdul Hamid II juga telah memberi keutamaan dalam bidang pendidikan untuk memajukan empayar Turki Uthmaniyah dan seterusnya menjadikan empayar itu setanding negara-negara Barat. Sekolah menengah, sekolah rendah dan institusi pendidikan tinggi di Turki didirikan yang memberi perhatian kepada kemajuan moden tapi tidak mengetepikan pengetahuan agama dan akhlak Islam.




          Golongan minoriti yang tinggal di bawah penguasaan kerajaan Turki Uthmaniyah turut dilindungi dan diberikan hak mereka. Hal ini selaras dengan tuntutan Islam terhadap Ahl al-Dhimmah. Hubungan yang baik cuba diatur dengan golongan minority bagi menghindarkan masalah keselamatan negeri. Golongan minoriti ini terdiri daripada orang Armenia, Maronite dan Rom yang kebanyakan beragama Kristian dan Yahudi telah diberikan pelbagai keistimewaan melalui peraturan yang dikeluarkan oleh pemerintah Turki Uthmaniyah.

               Faktor seterusnya ialah perkembangan bidang komunikasi dan pengangkutan yang diberikan perhatian serius di empayar tersebut. Sistem telegraf telah disediakan di seluruh Negara dan talian telegraf sepanjang 30 000 km dibina di seluruh pelusuk negara. Stesen-stesen telegraf telah dibina di seluruh Bandar di Turki termasuk wilayah penguasaan dan bandar-bandar yang lain. Hal ini membawa faedah kepada perkembangan ekonomi dan politik di seluruh empayar Turki Uthmaniyah. Bidang pengangkutan pula menyaksikan pelancaran projek landasan kereta api Hijaz sepanjang 1327 batu menghubungkan bandar Constantinople dengan kota Madinah. Projek landasan kereta api Hijaz yang merupakan projek Islam turut membawa faedah dalam bidang ekonomi, perdagangan, dakwah, politik dan strategi keselamatan.

               Pemerintahan al-Ittihad wa al-Taraqqi juga merupakan salah satu faktor pembentukan negara bangsa Turki. Pemerintahan ini dikuasai oleh rejim Turki Muda yang menekankan dasar Turkifikasi bagi seluruh empayar Turki Uthmaniyah. Golongan al-Ittihad wa al-Taraqqi yang sebenarnya dipelopori oleh bangsa Rusia dan Yahudi Dunama menganjurkan nasiolisme dan meniupkan semangat ini atas nama merealisasikan impian bangsa Turaniah. Rejim Turki Muda ini kemudiannya memaksa seluruh rakyat di bawah empayar Turki Uthmaniyah sama ada Arab, Armenia, Greek dan lain-lain untuk menjadi Turki.

               Empayar Turki Uthmaniyah berakhir apabila Rejim Turki Muda melibatkan diri dalam Perang Dunia Pertama dan akhirnya meninggalkan empayar tersebut terumbang-ambing. Akhirnya, muncul Mustafa Kamal Ataturk menjadi penyelamat yang berbekalkan semangat jihad bersama-sama rakyat Turki berjaya mengisytiharkan kerajaan kebangsaan merdeka di kawasan Ankara.
               

No comments: