Friday 21 March 2014

SUMBER PENDAPATAN NEGARA

SUMBER-SUMBER PENDAPATAN NEGARA PADA ZAMAN PEMERINTAHAN
 NABI MUHAMMAD SAW


Walaupun ketika zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW agak sukar untuk memperoleh sumber pendapatan kerana keadaan geografinya yang padang pasir, namun Madinah merupakan sebuah kawasan yang pada asalnya sebuah oasis. Keadaan ini menyebabkan kawasan tersebut sesuai untuk bercucuk tanam, yang menyebabkan wujudnya sektor pertanian di Madinah. Dalam sektor pertanian, tanaman yang ditanam ialah tamar, anggur, barli dan gandum. Pokok tamar menjadi pokok yang paling penting dan memberi faedah besar kepada penduduk Madinah. Buahnya boleh dimakan, batangnya dapat dijadikan bahan binaan, bahan bakar dan makanan binatang. Kaum Yahudi merupakan kaum yang pintar, mempunyai kebun yang luas dan subur, rumah batu yang besar dan mempunyai benteng atau kubu. Mereka terdiri daripada usahawan, petani dan peniaga yang mengamalkan amalan riba dalam aktiviti ekonomi mereka. Pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW, selain kegiatan ekonomi yang dijalankan di Madinah, sumber kewangan Islam juga diperoleh daripada derma, rampasan tunai dan harta benda, rampasan hartanah, jizyah dan sadaqat.


Derma ialah sumbangan yang diberikan dengan rela hati dan tanpa paksaan. Umat Islam disarankan supaya memberikan sumbangan kepada kabilah yang baharu memeluk Islam. Orang Islam sentiasa menghulurkan pelbagai bentuk derma kepada tabung bersama. Contohnya, ketika Perang Khandak, kebanyakan para sahabat mendermakan sebahagian daripada harta mereka untuk tujuan tersebut. Antara para dermawan Islam ialah Abbas bin Abdul Muttalib, Talhah bin Ubaidullah, Sa’ad bin Ubadah dan Muhammad bin Maslamah. Selain menderma dalam bentuk wang, masyarakat Islam juga menderma dalam bentuk hartanah. Terdapat juga derma disumbangkan oleh golongan Yahudi yang percaya dengan keikhlasan Nabi Muhammad SAW.


Selain itu, rampasan tunai dan harta benda juga turut memberi sumbangan kepada sumber pendapatan Negara. Umat Islam diwajibkan berjihad dan berperang untuk agama sekiranya mereka diperangi oleh musuh yang berniat untuk menghalang penyebaran Islam. Nabi Muhammad SAW bersama tentera Islam menentang tentera Quraisy pada 623M. Dengan kekuatan tentera Islam hanya 313 orang, tentera Islam telah berjaya memenangi Perang Badar dan mengalahkan tentera Quraisy yang seramai 1000 orang. Kemenangan ini ialah kemenangan yang pertama umat Islam dan musuh meninggalkan harta rampasan yang besar kepada umat Islam. Harta rampasan tersebut ialah seperti senjata, 150 ekor unta, 10 ekor kuda, tikar kulit dan pakaian.

Seterusnya, sumber kewangan Islam turut diperoleh daripada bayaran tebusan tawanan perang. Tawanan Perang Badar telah membayar sejumlah wang untuk membebaskan diri mereka. Seramai 20 orang tawanan telah membayar 75 000 dirham; 10 orang membayar 4 000 dirham. Harta rampasan yang diperoleh oleh Nabi Muhammad SAW dan umat Islam ketika itu tidak banyak dan jumlah yang diperoleh adalah kecil, namun demikian harta rampasan itu dapat mengurangkan beban ekonomi masyarakat Islam.

Sumber ekonomi Islam juga diperoleh melalui rampasan hartanah. Hartanah pertama yang dirampas adalah daripada pihak Yahudi, iaitu Bani Fityun yang diusir keluar dari Madinah. Seterusnya, rampasan daripada Bani Qainuqa’ apabila kubu dan pasar mereka diambil alih orang Islam. Manakala, daripada Bani Nadhir meliputi kebun kurma dan lading berhampiran kubu-kubu mereka telah diuruskan oleh Abu Rafil yang dilantik oleh Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, sumber pendapatan yang lain ialah jizyah. Jizyah ialah cukai politik yang dikenakan ke atas orang bukan Islam yang digelar golongan Zimmi bagi perlindungan yang diberikan kepada mereka atas keselamatan jiwa dan harta benda mereka. Jizyah adalah berbentuk tunai, barangan atau pun kedua-duanya sekali. Secara tunai, jumlahnya ialah satu dinar atau kain senilai dengannya. Secara bayaran, jumlahnya adalah dalam bentuk barangan yang mungkin sampai satu daripada hasil pertanian. Mereka yang tidak membayar jizyah dikira tidak setia dan boleh dikenakan hukuman berat.



Akhir sekali ialah sadaqat. Sadaqat ialah istilah yang digunakan bagi cukai agama yang dikenakan ke atas umat Islam yang meliputi zakat, ushr dan sebagainya. Ayat di dalam al-Quran mengandungi banyak perintah tentang zakat dan semua ayat memerintahkan umat Islam mendirikan solat dan diiringi dengan perintah membayar zakat.

Ringkasnya, sumber-sumber pendapatan negara pada zaman pemerintahan Nabi Muhammad SAW diperoleh daripada pelbagai sumber dan mampu untuk menampung keperluan negara.

No comments: