Sunday 4 May 2014

INSTITUSI PENDIDIKAN DI ACHEH

ACHEH MENJADI PUSAT PENGAJIAN ISLAM YANG TERPENTING DI NUSANTARA PADA ABAD KE 16 HINGGA ABAD KE 17.

PERKEMBANGAN INSTITUSI PENDIDIKANNYA.


                 Latar belakang sistem pendidikan pada zaman pemerintahan kerajaan Islam di Acheh bermula apabila Acheh telah mengambil alih peranan Melaka sebagai pusat politik selepas kejatuhan kerajaan Melaka pada tahun 1511 M. Acheh juga memainkan peranan sebagai pusat pengajian agama Islam yang terulung di Nusantara. Pada abad ke 17 M dan ke 18 M, kerajaan Acheh telah mencapai kegemilangannya berikutan penubuhan kerajaan Perlak dan Pasai.


                 Matlamat pendidikan di Acheh dijayakan dengan institusi-institusi pendidikan ditubuhkan di Acheh bagi memudahkan rakyat mempelajari dan mendalami ilmu pengetahuan. Kerajaan Acheh sangat menitikberatkan ilmu pengetahuan dan telah menubuhkan pelbagai institusi pendidikan terutamanya institusi pendidikan Islam.

                 Institusi pendidikan Islam di Acheh merupakan institusi yang tersusun dan terancang. Terdapat beberapa institusi telah ditubuhkan. antaranya ialah Meunasah dan madrasah yang merupakan institusi pendidikan permulaan yang biasanya didirikan di setiap kampung.


                 Masjid berfungsi sebagai pusat pendidikan dan juga pusat kegiatan umat Islam. Masjid juga merupakan pusat pendidikan yang bersangkutan dengan pendidikan tingkat menengah pertama. Beberapa masjid dinaik taraf menjadi pusat pendidikan tinggi seperti Masjid Baiturahman. Untuk melanjutkan pelajaran agama yang lebih tinggi, pelajar akan belajar di rangkang atau disebut juga pondok, pesantren atau madrasah.

                 Terdapat dayah yang berpusat di masjid bersama rangkang tetapi kebanyakan dayah berdiri sendiri di luar lingkungan masjid dengan menyediakan sebuah balai utama, iaitu yang digunakan sebagai tempat belajar sembahyang. Antara dayah yang terkenal ialah Dayah Cot Kala dan Dayah Teungku Chik.

                 Balai Setia Ulama dan Balai Jamaah Himpunan Ulama. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam telah menubuhkan Lembaga Pelaksana Pendidikan yang terdiri daripada Balai Setia Hukama, Balai Setia Ulama dan Balai Jamaah Himpunan Ulama. Balai Setia Hukama merupakan tempat para ulama dan ahli fikir untuk membahaskan perkara-perkara yang menyentuh tentang pendidikan. Balai Setia Ulama merupakan tempat menguruskan masalah-masalah yang berkaitan dengan pendidikan. Balai Jamaah Himpunan Ulama merupakan kelab perbincangan bagi para sarjana dan ulama bertukar-tukar pandangan, mengadakan seminar, membahaskan masalah pendidikan dan sebagai tempat pengembangan ilmu pengetahuan.

                 Masjid Baiturahman dinaik taraf menjadi Jamiah atau Universiti Baiturahman. Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam sendiri telah mendirikan Masjid Baiturahman yang digunakan semata-mata untuk dijadikan tempat menuntut ilmu. Pendidikan di Acheh terbahagi kepada lima peringkat iaitu pendidikan dasar atau madrasah, pendidikan menengah atau rangkang. Terdapat beberapa tahap rangkang yang bergantung pada tahap ilmu yang dimiliki oleh guru yang mengajar. Pendidikan tinggi di Ballee, beberapa kumpulan Rangkang Ballee melahirkan dayah. Pendidikan yang dijalankan juga di masjid seperti Masjid Baiturahman, Baiturahim dan Bait Mushadah.


                 Kurikulum pendidikan terbahagi kepada peringkat rendah atau madrasah, peringkat menengah rendah atau rangkang, peringkat menengah atas, atau dayah dan peringkat Jamiah Baiturahman. Pada peringkat rendah, kanak-kanak menerima pendidikan asas agama. Pelajar diajar menulis Arab dan membaca al-Quran serta belajar perkara-perkara asas dalam Islam. Selain itu, pelajar turut mempelajari ilmu fardu ain seperti Rukun Iman, Rukun Islam, fiqah, ibadat dan akhlak serta cara beribadat seperti sembahyang dan puasa. Para pelajar juga dilatih bernasyid iaitu yang berhubung dengan agama yang dinamakan dike (zikir) atau seulaweut (selawat) pada setiap malam Jumaat. Anak-anak yang khatam al-Quran diajar beberapa kitab agama yang ditulis dalam bahasa Jawa dan Acheh seperti Kitab Perukunan dan Risalah Masailal al-Muhtadin. Sejarah Islam juga diajar dengan cara bercerita.

                 Seterusnya, pada peringkat menengah rendah atau rangkang, pelajar diajar bahasa Arab, fiqah, tauhid, tasawuf, ilmu tajwid dan tafsir al-Quran dan Ilmu umum seperti Geografi, Sejarah dan Matematik. Pelajar menggunakan buku-buku yang ditulis dalam bahasa Melayu, selain daripada buku-buku bahasa Arab.

                 Berikutnya ialah peringkat menengah atas atau dayah yang diajar dalam bahasa Arab dengan menggunakan kitab-kitab dari Arab. Mata pelajaran yang diajar ialah Bahasa Arab, Fiqh, Jenayat (hukum pidana), Fiqh Munakahat (hukum perkahwinan), Fiqh Duali (hukum tatanegara), Sejarah Islam, sejarah Negara-negara, Ilmu Mantik, Tauhid atau Filsafat, Tasawuf, Akhlak, Ilmu Falak, Tafsir, Hadis dan sebagainya turut diajar.

                 Akhir sekali ialah peringkat Jamiah Baiturahman yang terdapat 17 dar (fakulti) seperti Fakulti Ilmu Tafsir dan Hadis, Fakulti Ilmu Kedoktoran, Fakulti Ilmu Kimia, Fakulti Pertanian, Fakulti Peperangan dan yang lain-lain. Ilmu-ilmu yang berkembang pesat sekali ialah ilmu-ilmu Usuluddin, Fiqah dan tasawuf.


                 Tenaga pengajar pula terdiri daripada guru-guru yang terdiri daripada ulama tempatan dan ulama dari luar Acheh. Banyak ulama muncul pada zaman ini. Antaranya Hamzah Fansuri, Bukhari al-Jauhari dan Abdul Rauf Sengkel. Ulama-ulama banyak menghasilkan karya mereka dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab juga. Banyak ulama luar dari negeri Arab, Parsi, India, Turki dan Gujerat datang ke Acheh. Mereka menjadi penasihat kepada kerajaan dan guru-guru di institusi pengajian dan di masjid-masjid. Contohnya Syeikh Abu al-Khayr Ibn Hajar dan Muhammad Yamani dari Makkah, Syeikh Muhammad Jayani dan Ibn Muhammad Hamid dari Gujerat.


                 Bahan rujukan atau teks yang digunakan ialah kitab al-Quran, Kitab Perukunan, risalah Masail al-Muhtadin, kitab-kitab terjemahan dari bahasa Arab ke dalam bahasa Melayu, buku-buku rujukan yang dikarang dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab, kitab-kitab karya Hamzah Fansuri seperti Asyarabul Asyikin, Asyrabul Arifin dan kitab-kitab karya Sheikh Nuruddin al-Raniri seperti Bustanus Salatin dan As-Siratul Mustaqim turut menjadi bahan rujukan.

                 Kesimpulannya, kerajaan Acheh telah mencapai zaman kegemilangan dalam sistem pendidikan dan telah berkembang maju sama ada dari peringkat rendah, menengah dan tinggi. Kegemilangan pendidikan telah membolehkan Acheh telah dikenali di seluruh alam Melayu dengan gelaran Serambi Makkah.


No comments: