Sunday 4 May 2014

AL-MAS'UDI

SUMBANGAN AL-MAS’UDI 
DALAM 
BIDANG PENEROKAAN DAN PENJELAJAHAN


                Al-Mas’udi dilahirkan di Baghdad dan berketurunan Arab iaitu keturunan Abdullah bin Mas’udi. Beliau mendapat pendidikan secara langsung daripada ibu bapanya dan sangat berminat membuat penyelidikan tentang sejarah dan adat istiadat negeri-negeri. Beliau memulakan pelayaran dari Parsi. Beliau menulis karya besarnya iaitu Muruj al-Dhahab semasa di Basrah. Apabila kembali ke Fustat, beliau menyusun karangan keduanya berjudul, Akhbar al-Zaman dan meninggal dunia di Fustat.


                Beliau sangat terkenal dalam bidang geografi dan pelayaran. Kitab Muruj al-Dhahab yang dihasilkan oleh beliau membicarakan bidang geografi dan dikenali sebagai ensiklopedia geografi. Beliau cuba menggabungkan disiplin geografi dengan disiplin sejarah malah memberikan beberapa gambaran tentang perairan Laut Mati, gempa bumi dan tajuk geologi yang lain. Beliau juga pernah menyebut tentang kincir air di Sijistan.

                Beliau menghuraikan tentang gempa bumi yang berlaku di Iskandariah, Mesir pada tahun 955 M yang telah menumbangkan menara Iskandariah dalam kitab Muruj al-Dhahab. Beliau turut mengaitkan fenomena alam semula jadi dengan kehidupan manusia dan juga mengaitkan kepentingan pengaruh iklim. Selain itu, beliau menyokong teori Determinisme Alam Sekitar iaitu iklim dipengaruhi oleh planet yang mempunyai pengaruh rapat dengan sikap manusia.


                Tambahan pula, beliau membahagikan dunia kepada dua bahagian iaitu Barat di kawasan garis lintang tinggi manakala Timur di kawasan garis lintang pertengahan. Dalam bidang geografi pula, beliau mengkaji flora dan fauna yang terdapat di India serta memberi gambaran terperinci tentang geografi fizikal di India. Beliau juga membuat kajian tentang tanah fay iaitu tanah yang diperoleh oleh orang Islam tanpa peperangan.

                Dalam bidang pelayaran, beliau berjaya belayar sehingga ke Asia Tenggara dan China serta berjaya menyelesaikan masalah yang timbul dalam kalangan ahli pelayaran dan pelaut tentang nama-nama pulau yang mereka lalui. Beliau memberikan gambaran tentang laluan dari Teluk Parsi ke Laut China.

                Selain itu, beliau turut menerangkan laluan pelayaran bangsa Arab melalui Pantai Afrika dan juga memperbetulkan kesilapan pelaut-pelaut dengan menegaskan bahawa laut bersambung antara satu sama lain dan tidak berasingan. Malah, beliau turut memperbetulkan kesilapan pelaut Arab yang menganggap Laut Kaspia dan Laut Hitam bersambung kerana kedua-duanya sebenarnya tidak bersambung antara satu sama lain. Beliau juga mengemukakan pandangan tentang jarak antara benua Eropah dengan benua China.

                Kesimpulannya, Al-Mas’udi telah memberi sumbangan besar dalam bidang geografi dan pelayaran sehingga digelar “Herodotus” dan “Plinius” Arab.

No comments: