Friday 9 May 2014

PEMBAYARAN JIZYAH

NAUNGAN MELALUI PEMBAYARAN JIZYAH PADA ZAMAN PEMERINTAHAN KHULAFA’ AL-RASYIDIN

Jizyah merupakan perkataan Arab yang membawa maksud ganti rugi atau balasan terhadap kebaikan atau keburukan. Jizyah dianggap sebagai sesuatu pemberian ufti oleh seorang individu atau negara bukan Islam kepada kerajaan Islam yang memerintah. Jizyah juga ditakrifkan sebagai cukai politik yang dikenakan ke atas golongan kafir zimmi yang menerima perlindungan nyawa dan harta benda daripada pemerintah Islam. Orang bukan Islam yang membayar jizyah akan diberi hak yang sama seperti orang Islam dan akan mendapat kebebasan beragama. Jizyah bukan satu bentuk denda tetapi merupakan ganjaran ke atas penat lelah kerajaan Islam yang melindungi mereka. Pembayaran jizyah oleh kerajaan bukan Islam merupakan simbol naungan di bawah kerajaan Islam.

Naungan melalui pembayaran jizyah boleh dikategorikan kepada dua iaitu jizyah secara baik dan jizyah secara paksaan. Jizyah secara baik ialah pembayaran atas dasar kerelaan atau persetujuan antara orang bukan Islam dengan pemerintah Islam. Jizyah secara paksaan pula ialah kadar pembayaran yang ditentukan oleh pemerintah Islam apabila ada hubungan antara golongan zimmi dengan pemerintah Islam. Kesanggupan berada di bawah naungan kerajaan Islam dengan membayar jizyah menggambarkan kekuatan kerajaan Islam Madinah.

Pelaksanaan jizyah dijalankan secara meluas pada zaman pemerintahan Khalifah al-Rasyidin. Keadaan ini merupakan susulan kejayaan ekspedisi dakwah dan ketenteraan pada tempoh masa itu. Semasa pemerintahan Khalifah Abu Bakar, beliau akan memberikan tiga pilihan kepada Iraq dan Syria iaitu untuk memeluk Islam, diserang atau membayar jizyah. Khalifah Abu Bakar berjaya mengalahkan beberapa kawasan seperti Iraq dan Syria dan pemerintah di kawasan tersebut bersetuju untuk membayar jizyah sebanyak 19 ribu dirham kepada kerajaan Islam. Kerajaan al-Anbar dan ‘Ain al-Tamar juga sanggup bernaung di bawah kerajaan Islam apabila ditawan oleh panglima Khalid Al-Walid. Penduduk di wilayah-wilayah tersebut rela membayar jizyah.

Pada zaman Khalifah Umar al-Khattab, banyak lagi kawasan yang rela bernaung di bawah kerajaan Islam Madinah. Untuk melicinkan kutipan jizyah, Khalifah Umar telah mengarahkan gabenor-gabenor wilayah untuk menjalankan tugas ini dengan sempurna. Penduduk Mesir sanggup bernaung di bawah kerajaan Islam apabila Amru bin al-As berjaya menewaskan penjajah Rom di Mesir. Pemimpin Baitulmuqaddis sanggup membayar jizyah apabila menandatangani perjanjian damai dengan Khalifah Umar. Kerajaan Islam memberikan jaminan terhadap keselamatan nyawa dan harta benda di samping kebebasan beragama serta amalan beribadat. Penduduk di Syam, Palestin dan Jordan juga bersetuju untuk membayar jizyah selepas kejayaan tentera Islam mengalahkan tentera Byzantine.

Tugasan dan pungutan jizyah diteruskan oleh Khalifah Uthman bin Affan. Kawasan naungan kerajaan Islam bertambah luas akibat perluasan kuasa yang dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Kejayaan ekspedisi ketenteraan menyebabkan kawasan-kawasan seperti Tripoli, Nabah dan Qairawan menyatakan kesanggupan untuk berada di bawah naungan kerajaan Islam melalui pembayaran jizyah.

Pada zaman Khalifah Ali bin Abu Talib, pelaksanaan jizyah agak kabur. Hal ini disebabkan keadaan negara yang tidak aman, berlaku pemberontakan dan perang saudara seperti Perang Jamal dan Perang Siffin. Pendapatan melalui jizyah berkurang kerana terdapat beberapa buah negeri yang tidak membayar jizyah dan membebaskan diri daripada menjadi naungan kerajaan Islam.

Kesimpulannya, pelaksanaan jizyah bukan sahaja membuktikan kehebatan kerajaan Islam Madinah tetapi pada masa yang sama dapat meningkatkan pendapatan negara. Sistem ini diteruskan lagi pada zaman Khalifah Bani Umaiyah tetapi terdapat perbezaan dari segi kutipannya.


No comments: