Wednesday 7 May 2014

ETIKA KETIKA MENGHADAPI PEPERANGAN

ETIKA YANG DIAMALKAN OLEH NABI MUHAMMAD SAW 
KETIKA MENGHADAPI PEPERANGAN


                   Islam tidak menggalakkan peperangan, tetapi Nabi Muhammad SAW terpaksa menghadapi pelbagai penentangan dalam usaha baginda untuk mengembangkan agama Islam. Peperangan terpaksa dilakukan untuk mempertahankan kesucian agama, mempertahankan maruah, menjaga keamanan dan menegakkan agama Islam. Peperangan pada zaman Rasulullah SAW dibahagikan kepada dua iaitu Perang Ghazwah dan Perang Sarriyah. Perang Ghazwah disertai oleh Nabi Muhammad SAW yang membawa kepada pertempuran seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Khandak. Dalam peperangan ini, Nabi Muhammad SAW telah memperkenalkan etika peperangan yang berkonsepkan akidah Islam. Perang Sarriyah pula ialah peperangan yang tidak disertai oleh baginda. Etika peperangan dapat dibahagikan kepada sebelum, semasa dan selepas peperangan.

           Sebelum peperangan berlaku, tentera Islam perlu menawarkan perdamaian kepada pihak musuh, sama ada untuk memeluk agama Islam atau membayar jizyah sebagai simbol naungan dan kepatuhan bermula. Seandainya pihak musuh berkeras dan mahu memulakan serangan ke atas orang Islam, maka berlakulah peperangan.

                   Semasa peperangan, beberapa etika harus dipraktikkan. Tentera Islam dilarang memerangi golongan yang lemah seperti kaum wanita, kanak-kanak, orang cacat, orang yang menyerah kalah dan orang tua. Namun demikian, jika golongan tersebut mencetuskan atau menggerakkan perang, maka tentera Islam boleh bertindak balas dengan tindakan yang sewajarnya.

                   Semasa peperangan berlaku, tentera Islam juga dilarang merosakkan harta dan kemudahan awam. Mereka tidak dibenarkan memusnahkan rumah-rumah, kawasan pertanian dan rumah ibadat kerana semua itu melibatkan kepentingan orang awam dan juga merupakan satu pembaziran.


                   Satu lagi etika yang diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa perang ialah kepatuhan kepada ketua. Semua anggota tentera wajib akur kepada arahan pemimpin atau ketua. Etika ini wajib diamalkan demi mengelakkan perpecahan atau berlakunya sesuatu yang tidak diingini. Hal ini dapat dilihat semasa Perang Uhud. Tentera Islam mengalami kekalahan kerana mereka tidak mematuhi arahan pemimpin dan mementingkan tujuan lain seperti harta benda dan bekalan makanan.

                   Peperangan haruslah dihentikan sekiranya pihak musuh ingin berdamai. Etika ini diamalkan oleh Nabi Muhammad SAW semasa baginda dan tentera Islam bersedia untuk menyerang kota Makkah. Penduduk Arab Makkah ingin berdamai dan Perjanjian Hudaibiyah ditandatangani. Perjanjian ini membawa kepada pembukaan kota Makkah kepada orang Islam. Tentera Islam juga wajib mematuhi segala perjanjian yang telah dipersetujui. Mereka juga perlu memberikan layanan yang adil kepada musuh yang kalah atau ditawan seperti memberikan pengampunan.

                   Sifat adil juga merupakan salah satu etika peperangan. Sifat ini sebati dengan Nabi Muhammad SAW. Baginda sentiasa berlaku adil kepada semua orang tidak kira kawan atau lawan. Keadilan terhadap kawan diperlihatkan apabila baginda membahagikan harta rampasan perang secara sama rata kepada tentera yang menyertai perang tersebut. Keadilan terhadap lawan pula ditunjukkan apabila memberikan layanan yang baik dan tidak melakukan pencerobohan.

                   Etika peperangan yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW membawa kejayaan yang besar kepada umat Islam. Asas kekuatan tentera Islam ialah kepimpinan Nabi Muhammad SAW. Sifat kepahlawanan baginda dicontohi oleh pemimpin-pemimpin Islam yang lain.

No comments: