Wednesday 7 May 2014

SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH

SUMBANGAN SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH DALAM MENGUKUHKAN EMPAYAR TURKI UTHMANIYAH



                Nama sebenar Sultan Muhammad al-Fatih ialah Muhammad bin Murad. Baginda dilahirkan pada 29 Mac 1432 dan menduduki takhta semasa berumur 19 tahun bagi menggantikan bapanya Sultan Murad II. Sultan Muhammad al-Fatih sangat terkenal dalam bidang ketenteraan dan penaklukan negeri dan baginda digelar al-Fatih (penakluk). Baginda telah memerintah empayar yang luas selama 30 tahun. Baginda merupakan seorang negarawan yang ulung dan panglima tentera  yang handal. Kejayaannya yang paling besar dalam bidang ketenteraan ialah penaklukan ke atas kota Constantinople iaitu pusat pemerintahan Byzantine.

                Sejak kecil lagi, Sultan Muhammad al-Fatih telah meninjau dan mengkaji langkah bapanya yang ingin menawan kota Constantinople. Baginda berasa terancam apabila Raja Constantine XI cuba mengugutnya. Baginda menyediakan pasukan tentera seramai 265 000 orang dengan kapal laut sebanyak 400 buah dan peralatan moden seperti meriam gergasi. Kemudian baginda telah membina sebuah kubu pertahanan ‘Rumili Hisari’ di tebing Selat Bosphorus. Baginda telah mengadakan perjanjian damai dengan kawasan-kawasan jiran seperti Serbia dan Hungary. Angkatan Tentera Byzantine pula dibantu oleh Kerajaan Vatican dan beberapa Negara Eropah. Sultan Muhammad al-Fatih telah menggunakan pelbagai strategi untuk mencapai kemenangan.


                Salah satu daripada strategi tersebut ialah membawa ulama untuk memberikan motivasi dan semangat kepada tentera Islam. Baginda juga membawa kapal perang melalui jalan darat. Hampir dua bulan diserang, kota itu masih dapat dipertahankan tetapi setelah sembilan bulan, kota ini jatuh kepada tentera Islam dan rajanya terbunuh. Sultan Muhammad al-Fatih  berjaya memasuki istana raja pada tahun 1435 M. Kota Constantinople ditukar nama kepada Istanbul dan dijadikan sebagai ibu kota Turki Uthmaniyah.

                Tugas baginda seterusnya adalah menambah bilangan penduduk Istanbul yang sudah berkurangan akibat terkorban dalam peperangan. Baginda mengarahkan orang Yahudi kembali ke kota ini. Kekayaan yang dimiliki telah membantu memakmurkan Constantinople. Baginda juga mengarahkan negeri-negeri di bawah takluknya menghantar wakil masing-masing ke Istanbul. Orang Islam dari Asia turut berpindah secara beramai-ramai ke kota ini kerana terletak di tempat yang strategik. Sifat baik hati dan pemurah Sultan Muhammad al-Fatih menjadikan kota ini sebagai pusat pendidikan dan intelektual.

                Sumbangan penting Sultan Muhammad al-Fatih ialah menyatukan empayarnya di bahagian utara Balkan untuk menyekat serangan kaum Magyar. Baginda terpaksa mengambil alih pemerintahan Serbia. Pada tahun 1458, berlaku krisis di istana Belgrade akibat perebutan kuasa. Kesempatan ini digunakan oleh baginda untuk menawan Belgrade. Baginda juga berjaya menghapuskan perikatan tentera Kerajaan Albania.

                Baginda juga mendirikan masjid dan bangunan-bangunan lain untuk memajukan negara. Gereja Besar St Sophies ditukar kepada Masjid Aya Sofia sebagai pusat beribadat orang Islam. Baginda juga membina dua lagi masjid di Istanbul. Terdapat pelbagai kemudahan dibina seperti madrasah, perpustakaan, hospital, rumah tumpangan, kolam renang dan telaga air. Semua kemudahan ini adalah untuk kebajikan rakyat dan menjaga keselamatan sultan selain membina limbungan kapal, gedung senjata dan juga kubu pertahanan.

                Sultan Muhammad al-Fatih memperoleh kejayaan besar sepanjang pemerintahannya. Baginda berjaya menyusun dan mengemaskinikan sistem pentadbiran, menjalinkan hubungan baik dengan kawasan naungannya dan membina empayar yang luas. Pembukaan Istanbul merintis jalan kepada kehancuran kerajaan Byzantine.

No comments: