Wednesday 28 May 2014

BIDANG POLITIK ...

PEMBAHARUAN-PEMBAHARUAN DALAM BIDANG POLITIK YANG DILAKUKAN OLEH KHALIFAH UMAR AL-KHATTAB

                    Khalifah Umar bin al-Khattab dilahirkan pada tahun 584 M. Beliau berasal daripada Bani Adi, iaitu keturunan bangsawan yang dihormati. Beliau seorang pemuda yang berani, tegas dan mempunyai pemikiran yang tajam. Beliau disegani dan ditakuti kerana keperibadiannya. Beliau memeluk agama Islam pada usia 33 tahun. Pengislamannya menyebabkan Islam berkembang dengan meluas. Beliau dilantik sebagai khalifah oleh Khalifah Abu Bakar al-Siddiq. Perlantikan beliau berdasarkan pengalaman, kewibawaan dan kepimpinannya. Perlantikannya sebagai khalifah kedua dipersetujui oleh para sahabat dan umat Islam. Beliau telah memerintah kerajaan Islam selama 10 tahun. Khalifah Umar al-Khattab telah melakukan banyak pembaharuan dan perubahan dalam bidang politik, ekonomi dan sosial.

                    Satu pembaharuan dalam bidang politik yang dilaksanakan oleh beliau ialah perubahan Majlis Syura. Sistem pemerintahan syura yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad SAW tidak diwujudkan sebagai satu badan yang rasmi. Perkara ini dilakukan oleh Khalifah Umar al-Khattab. Badan ini dibahagikan kepada dua, iaitu Majlis Syura Tinggi dan Majlis Syura Am. Anggota majlis ini dikenali Ahl al-Syura. Anggota majlis ini mestilah mempunyai sifat tertentu seperti beragama Islam, lelaki, merdeka dan mempunyai sahsiah yang tajam.

                    Semasa pemerintahan Khalifah Umar, empayar Islam dibentuk. Banyak kawasan baharu dibuka di Syria, Iraq, Mesir dan Palestin. Untuk melicinkan pentadbiran, Khalifah Umar telah membahagikan pentadbiran Negara kepada lapan wilayah. Di setiap wilayah dilantik seorang Gabenor yang dibantu oleh pegawai-pegawai seperti Setiausaha Tentera, Pegawai Cukai dan Pegawai Perbendaharaan. Pentadbiran wilayah ini adalah untuk memudahkan pengawasan. Setiap wilayah dilengkapi dengan pusat pemerintahan seperti Kufah, Damsyik dan Fustat.

                    Khalifah Umar juga memperkenalkan undang-undang tanah untuk memudahkan pentadbiran dan pengurusan tanah. Tanah dibahagikan kepada dua iaitu tanah bertuan dan tanah tidak bertuan. Tanah tidak bertuan juga dikenali sebagai tanah sawafi iaitu tanah-tanah yang dimiliki oleh pemerintah Parsi, tanah yang tiada waris dan tanah yang pemiliknya melarikan diri menjadi tanah kerajaan. Tanah sawafi ditadbir oleh golongan Ahl al-ayyam dan tanah ini tidak boleh dijual beli atau dimiliki oleh sesiapa. Tanah bertuan, iaitu tanah dhimmah pula ditadbir oleh pemilik asal.

                    Khalifah Umar juga mengemaskinikan struktur pentadbiran tentera. Beliau telah memperkenalkan dua pasukan tentera iaitu tentera tetap dan tentera sukarela. Tentera tetap dibayar gaji dan tidak boleh melibatkan diri dalam kerja sampingan. Mereka diberi latihan intensif, direkodkan nama dan nombor pendaftaran. Pusat-pusat ketenteraan dan kubu-kubu pertahanan dibina sebagai langkah pertahanan demi menjaga keselamatan Negara.

                    Satu lagi pembaharuan yang diperkenalkan oleh Khalifah Umar ialah bidang kehakiman. Beliau telah menubuhkan jabatan kehakiman dan jabatan tersebut diasingkan daripada jabatan-jabatan yang lain untuk menjamin keadilan. Beliau juga memperketat syarat-syarat perlantikan kadi. Gaji kadi dan pegawai kerajaan dibayar dengan jumlah yang tinggi untuk mengelakkan rasuah. Kadi juga tidak digalakkan bergaul mesra dengan masyarakat umum bagi menjamin keadilan perundangan. Prinsip kehakiman yang dilaksanakan adalah berlandaskan syariat Islam.

                    Zaman pemerintahan Khalifah Umar dianggap sebagai Zaman Keemasan kerajaan Islam. Selain daripada pembaharuan politik, ekonomi dan sosial, Khalifah Umar juga Berjaya membentuk satu empayar Islam yang luas. Dengan sumbangan dan kejayaan yang dicapai oleh beliau, Khalifah Umar digelar ‘Panglima Agung Mukmin’.

No comments: