Tuesday 5 May 2015

MY HERO IN THE WORLD UNTIL JANNAH


Istilah ROLE MODEL (QUDWAH) sebenarnya lebih tepat berbanding IDOLA. Istilah idola lebih menggambarkan ‘pujaan’ sedangkan istilah role model lebih tertumpu pada ‘ikutan’ –ikutan yang baik. Kebanyakan remaja pada hari ini hanya mempunyai idola, yang dipuja dan diminati tetapi bukan untuk diteladani (aspek kebaikannya).

Rasulullah SAW Heroku…
Dalam hidup ini kita akan selalu dipengaruhi oleh idola. Andai dapat yang baik, InsyaAllah baiklah kita. Andainya tidak, hasilnya adalah sebaliknya. Mengapa?
Kerana meniru dan mengikuti itu sebahagian daripada fitrah manusia. Lihatlah pada sejarah, setelah Qabil membunuh saudaranya Habil, Qabil meniru kelakuan seekor burung gagak. Iaitu menggali tanah dan menguburkan mayat Habil dalam lubang yang digalinya.

Sejarah ini telah dirakamkan oleh Allah dalam al-Quran: “Kemudian Allah menyuruh seekor burung gagak menggali di bumi untuk memperlihatkan kepadanya (Qabil) bagaimana seharusnya ia menguburkan mayat saudaranya.” (Surah al-Maidah 5: 31)

Maknanya, manusia sangat memerlukan idola, mentor/murabbi untuk ditiru dan dijadikan teladan untuk diikuti kerana yakin ia membawa kepada kebaikan. Tidak kira sama ada ingin melakukan kebaikan pun perlu ada teladan dan ingin meninggalkan kejahatan pun perlu ada teladan.

Kerana idola/teladan ini menzahirkan ilmu dalam bentuk realiti. Ilmu tidak cukup hanya dibaca tetapi juga perlu dilihat. Hal ini kerana manusia lebih dipercayai matanya berbanding telinga. Dengan mata, manusia dapat melihat idolanya –bagaimana idolanya berfikir, berjalan, berpakaian dan membuat keputusan.
Apabila ia nampak, ia akan sedar dan tahu sesuatu ilmu. Sama ada dalam akhlak, ilmu, penampilan dan sebagainya.



Kini siapa idola kita? Kalau kita tanyakan kepada manusia, maka sudah pasti kita akan temui pelbagai jawapan. Tidak aka nada jawapan yang objektif dan mutlak kerana memilih idola itu subjektif, bergantung pada cita rasa manusia. Ada yang memilih idola itu kerana raut wajah, bentuk tubuh, penampilan diri, kebijaksanaan dan tingkah lakunya.

Namun sebagai seorang Muslim, kita tentulah ada kayu pengukur tersendiri untuk menilai dan memilih idola. Dan tentu sahaja idola yang menjadi pilihan Islam adalah lebih berkualiti, hakiki dan abadi.

Dalam Islam, idola tidak dinilai dan dipilih pada ukuran luaran sahaja. Tetapi mencakupi pelbagai aspek. Oleh itu, hendaklah memilih idola selaras dengan pilihan Allah kerana apa-apa yang dipilih olehNya itu sudah tentu lebih tepat dan betul.

Sebab itu awal-awal lagi Allah telah menguar-uarkan pilihanNya ini: “Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi sesiapa yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah al-Ahzab 33: 21)

Inilah idola yang dipilih oleh Allah sebagai rujukan sekalian manusia. Mana mungkin ada lagi idola yang terbaik selain Rasulullah. Masakan tidak, hanya Baginda sahaja yang dibentuk dan dididik sendiri dengan acuan Allah!

KAYU PENGUKUR IDENTITI IDOLA:
1)   AKIDAH –Pastikan dalamannya benar2 beriman kepada Allah SWT. Akidah yang benar dihasilkan drpd perlakuan yang baik dan benar.
2)   SYARIAT –Pastikan luarannya pula membuktikan keimanannya dengan amalan rutin iaitu solat, puasa dan sebagainya. Di samping meninggalkan perkara yg haram dan melakukan perkara yang halal.
3)   AKHLAK –Ini adalah output daripada latihan hati dan latihan fizikal. Idola yang berakhlak pasti pemaaf, sabar, lemah lembut dan terserlah ketenangan dalam dirinya.

Bagaimana pula kalau mengambil Non-Muslim sebagai idola?
Tiada masalah, namun ambillah hikmahnya dari sudut ilmunya dan teladannya yang baik. Misalnya beliau gigih dalam soal dunia, mengapa tidak kita meniru kegigihan tersebut. Tetapi lakukan untuk soal akhirat pula!

TERIMA KASIH YA ALLAH!
Indah dan beruntungnya kehidupan kita sebagai seorang Muslim. Masakan tidak, sudahlah dibekalkan manual kehidupan (al-Quran) sebagai rujukan, diutus pula Rasulullah yang ‘melakonkan’ semula kandungan al-Quran sebagai teladan untuk kita. Manusia yang matang pasti akan tersenyum dan bersyukur kepada Allah.

Jika idola2 dunia hanya membawa pengikutnya untuk mencapai keseronokan di dunia, para rasul terutamanya Rasulullah SAW pula membawa umatnya untuk mencapai kebahagiaan, ketenangan dan kejayaan berganda di dunia dan di akhirat.

Mujur Allah SWT mengutus Rasulullah SAW kepadaku kerana dialah manusia yang paling berjasa kepada kita. Rasulullah yang memberitahu, memahamkan, mendidik dan memimpin kita untuk sukses dalam hidup.

Kalau tidak…diriku samalah juga dengan makhlukNya yang lain. Kata Buya Hamka: “Kalau hidup hanya sekadar hidup, kera di hutan juga hidup. Kalau kerja sekadar kerja, kerbau di sawah juga bekerja!”

Bersyukurlah…utusan Allah inilah yang memandu kehidupanku lebih terarah dan menyebabkan aku menjadi ‘manusia’. Wallahu a’alam.


#CreditByGenQ 

No comments: