Wednesday 10 August 2016

ISTIMEWANYA TANAH ARAB

WILAYAH HIJAZ


Semenanjung Arab terbahagi kepada lima wilayah. Salah satunya ialah wilayah Hijaz. Hijaz ialah wilayah yang terletak di sebelah utara Yaman dan sebelah timur Tihamah. Ia terdiri daripada beberapa lembah yang terletak di celah-celah pergunungan al-Surah yang terbentang dari Syam hingga ke Najran di Yaman dan memuatkan dua kota suci Makkah dan Madinah.

Ia dinamakan Hijaz kerana ia memisahkan antara Tihamah dan Najd. Hijaz dahulunya merupakan zon gunung berapi yang aktiviti volkaniknya sangat tinggi. Ia diperkuatkan dengan adanya gunung-gunung berapi besar yang menghiasi permukaan dataran tinggi Ethiopia yang mempunyai kawah-kawah gunung berapi yang lebar seperti kawah Ambafrit, Jujam, Amidamit, Samin dan Dathan.

Allah melindungi Hijaz bermula dari Laut Merah. Di dalam Laut Merah terdapat aktiviti gunung berapi yang kecil yang menghasilkan batu-batu lahar. Dr. Thalat Abduh menyatakan bahawa aktiviti gunung berapi besar di Ethiopia dan aktiviti gunung berapi kecil di semenanjung Arab membersihkan kawasan Laut Merah yang penuh dengan rekahan-rekahan yang mempunyai aktiviti gempa bumi yang tinggi. Laut Merah juga asalnya adalah rekahan lapisan bumi yang sangat besar tetapi ia dipenuhi air dan menjadi laut.

Para geologi membuat kajian bahawa terdapat lintasan batu api berstatus pasif dan ia masih mengalirkan lahar volkanik sepanjang lintasannya. Laut Merah juga dikatakan bergerak dan bertambah luas. Gerakan ini mengakibatkan peningkatan aktiviti gempa bumi dan gunung berapi.




Sebenarnya Hijaz adalah wilayah yang memiliki struktur tanah yang rapuh. Seorang peneliti geografi bernama Fisher menyatakan bahawa ada garis kerapuhan structural yang melintasi semua wilayah Hijaz. Struktur batuan wilayah ini memang tidak seimbang dan boleh menyebabkan kegelongsoran tanah. Tetapi Allah Maha Kuasa. Walaupun wilayah Hijaz ini dikepung oleh lahar dan mempunyai aktiviti volkanik yang tinggi, Allah menjaganya daripada segala kemusnahan dan bala bencana.

Walaupun kawasan kejiranan wilayah Hijaz dilanda gempa bumi yang dahsyat, ia sedikitpun tidak memusnahkan dan menggoncang Hijaz. Hijaz juga ialah wilayah anti-penggurunan. Walaupun seluruh wilayah ini adalah zon padang pasir yang luas dan kering tetapi Allah menjaganya daripada menjadi tempat yang tandus dan gersang. Buktinya, Allah melimpahkan wilayah ini dengan sumber-sumber mata air seperti air zamzam yang melimpah-limpah.

Ini kerana Allah ingin menjaga dua kota suci iaitu Makkah dan Madinah daripada terkena apa-apa bencana dan malapetaka. Di sini terserlahlah bukti dan kebenaran kata-kata Abdul Mutalib iaitu datuk Rasulullah SAW yang menyatakan bahawa kota Makkah memiliki Tuhan yang selalu menjaganya. Wallahu a’lam.


Sumber:
Ustaz Fauzi Abdul Hamid (Segmen Islam & Sains)

Majalah al-Ustaz Isu no. 20.

No comments: