Monday 1 December 2014

KEPENTINGAN ZAKAT

KEPENTINGAN ZAKAT PADA ZAMAN
KERAJAAN BANI ASSABIYAH

Zakat dari segi bahasa Arab membawa maksud penambahan, penyucian jiwa dan penyuburan pahala. Zakat merupakan salah satu daripada Rukun Islam dan diwajibkan ke atas setiap orang yang cukup syaratnya. Perkataan zakat kerap disebut dalam al-Quran. Sejarah pelaksanaan zakat bermula sebelum kerasulan Nabi Muhammad SAW. Pada tahun kedua Hijrah, zakat mula difardukan ke atas setiap umat Islam. Keengganan membayar zakat membawa kepada hukuman bunuh atau dipaksa membayar oleh pemerintah.

Pelaksanaan zakat pada zaman pemerintahan Bani Abbasiyah merupakan kesinambungan dari zaman Nabi Muhammad SAW dan Khalifah al-Rasyidin. Zakat pada zaman Bani Abbasiyah dibahagikan kepada dua iaitu zakat fitrah dan zakat harta. Zakat fitrah wajib ditunaikan sebelum solat Hari Raya Aidilfitri. Zakat harta pula dikenakan ke atas binatang ternakan, emas dan perak, barang perdagangan dan wajib kepada yang mampu setelah harta yang dimiliki cukup nisab dan haulnya.

Zakat mempunyai pelbagai fungsi dan peranan, antaranya ialah zakat dapat mengeratkan hubungan atau tali persaudaraan antara umat Islam terutama antara golongan kaya dengan golongan miskin. Zakat yang dikeluarkan oleh golongan kaya membolehkan golongan miskin menjalankan kehidupan mereka dengan lebih baik dan sempurna. Keadaan ini dapat mengukuhkan perpaduan umat Islam dan sekali gus membentuk sebuah masyarakat yang adil dan penyayang.

Zakat juga dapat menyucikan jiwa dan rohani manusia. Pembayaran zakat boleh menghilangkan sifat tercela seperti kedekut, sombong, tamak, mementingkan harta dan sebagainya. Hal ini terkandung dalam surah al-Taubah, ayat 103 yang menjelaskan zakat akan membersihkan hati dan menghapuskan sifat buruk serta akan melahirkan sebuah masyarakat yang aman, bahagia dan saling bekerjasama.

Peranan zakat yang seterusnya ialah sebagai ujian kepada keimanan dan ketakwaan golongan kaya. Pembayaran zakat dapat melahirkan perasaan bersyukur seterusnya mengawal hawa nafsu dan kemahuan yang tidak terbatas. Sikap bersyukur ini boleh melahirkan individu yang pemurah dan saling menolong. Hal ini akan mewujudkan keadaan masyarakat Islam yang hidup secara aman dan tenteram.

Pemberian zakat akan membersihkan harta seseorang daripada bercampur dengan harta lain, iaitu harta yang tidak halal. Harta yang dimiliki oleh seseorang harus dikeluarkan zakat apabila cukup nisab dan genap haulnya. Zakat yang dikeluarkan akan diberikan kepada orang yang berhak menerimanya. Selagi zakat tidak dikeluarkan, maka hak orang lain masih bercampur dalam harta tersebut. Jika harta ini dibelanjakan, bermakna hak orang lain juga dibelanjakan. Pengeluaran zakat dapat mengelakkan penggunaan harta dan hak orang lain.

Pelaksanaan zakat pada zaman Bani Abbasiyah juga telah membawa kepada perkembangan ekonomi dan intelektual. Orang yang beriman akan berusaha untuk mengeluarkan zakat bagi memperoleh ganjaran daripada Allah SWT. Zakat ini digunakan oleh  kerajaan untuk menyediakan kemudahan-kemudahan asas bagi mendorong pembangunan ekonomi. Pada zaman ini juga berlaku perkembangan intelektual yang pesat. Golongan cerdik pandai yang pernah mendapat zakat telah memanfaatkannya dengan sebaik-baik yang boleh. Hal ini menyebabkan kota Baghdad muncul sebagai pusat keilmuan.


Kesimpulannya, zakat yang merupakan satu kewajipan menjadi sumber pendapatan yang penting pada zaman Kerajaan Bani Abbasiyah. Bantuan yang diberikan kepada golongan yang kurang bernasib baik dilihat sebagai usaha pemerintah untuk menunaikan tanggungjawab sosial demi kemakmuran Negara.

No comments: