Monday 1 December 2014

PEMERINTAHAN ISLAM DI MADINAH

STRUKTUR PEMERINTAHAN ISLAM DI MADINAH

Perjanjian Aqabah Kedua dimeterai pada tahun 622 M. Perjanjian ini dimeterai setelah Nabi Muhammad SAW menerima perintah Allah SWT supaya berhijrah ke Yathrib (Madinah). Perpindahan ini diikuti oleh orang Islam Makkah yang terdiri daripada suku kaum Quraisy. Perpindahan ini membawa pengertian yang besar kepada sejarah perkembangan Islam serta kemunculan Madinah sebagai sebuah kerajaan yang teguh. Kerajaan Islam Madinah meletakkan Nabi Muhammad SAW bukan sahaja sebagai nabi dan rasul tetapi ketua bagi setiap bidang termasuk ketua agama Islam.

Penduduk di Madinah terbahagi kepada tiga golongan iaitu Muhajirin,  Ansar dan Yahudi. Golongan Muhajirin dan Ansar dapat mengikut pemerintahan kerajaan Madinah kerana mereka merupakan penganut agama Islam tetapi golongan Yahudi tidak dapat memberikan kerjasama kerana perbezaan agama dan ideologi. Nabi Muhammad SAW perlu melakukan sesuatu untuk menjadikan penduduk Madinah bersatu padu. Beliau menjalankan pemerintahan Islam yang berteraskan wahyu Allah SWT. Wahyu (al-Quran) menggariskan konsep, prinsip, dasar, ciri, batas dan ruang lingkup mengenai pemerintahan serta hak dan tanggungjawab rakyat.

Pemerintahan jenis kedua merupakan konsep musyawarah dengan para sahabat dan menggubal sebuah perlembagaan yang dikenali sebagai Piagam Madinah (Sahifah Madinah). Mengikut Haji Dasuki Ahmad, tindakan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW tidak pernah dilakukan oleh mana-mana nabi dan rasul sebelumnya. Terdapat beberapa dasar pemerintahan yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW. Pertama, pemerintahan ditegakkan atas dasar keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT. Kedua, hak pemerintahan yang mutlak ialah Allah SWT dan manusia hanya sebagai pemegang amanah sahaja.

Ketiga pula, ketua negara ialah pemegang amanah Allah SWT yang tertinggi dan rakyat diwajibkan memberi kesetiaan. Keempat, ciri utama pemerintahan ialah pelaksanaan syura berdasarkan garis yang ditetapkan oleh wahyu. Seterusnya, pemerintah sedaya upaya melaksanakan syariah Islamiah secara mutlak dan mengamalkan akhlak yang mulia mengikut wahyu. Yang terakhir, pemerintah juga bertanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar secara serentak.

Nabi Muhammad SAW mempunyai ciri-ciri tertentu untuk memerintah. Pertama, pemerintahannya mesti sederhana dan ringkas. Kedua, Nabi Muhammad SAW sebagai ketua Negara. Ketiga, Nabi Muhammad SAW mengetuai kuasa eksekutif dan ketenteraan. Keempat, terdapat beberapa jawatan yang diwujudkan seperti setiausaha, gabenor, kadi, penulis, penterjemah serta pekerja. Kelima, mereka yang dilantik menerimanya dengan sukarela dan tidak menerima sebarang upah.

Kesimpulannya, semasa memerintah, Nabi Muhammad SAW menjalankan pemerintahan dengan berteraskan 21 surah iaitu wahyu yang diturunkan Allah SWT di Madinah yang menitikberatkan soal kenegaraan, undang-undang dan ilmu pengetahuan yang merangkumi kehidupan manusia dan beriman kepada Allah SWT. Di samping itu, baginda turut menggunakan 93 surah yang diturunkan di kota Makkah sebagai panduan untuk baginda dalam menjalankan tugasnya sebagai seorang ketua negara dan rasul.

No comments: