Monday 1 December 2014

PERANAN ORANG MUHAJIRIN & ORANG ANSAR

PERANAN YANG DIMAINKAN OLEH ORANG MUHAJIRIN DAN ORANG ANSAR DALAM USAHA MENGEMBANGKAN ISLAM 
DI MAKKAH DAN MADINAH

Orang Muhajirin merupakan orang Islam yang berasal dari Makkah yang telah berhijrah ke Madinah bagi mengelakkan diri daripada penindasan dan kezaliman kaum Quraisy Makkah. Perpindahan mereka didorong oleh Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah II antara Nabi Muhammad SAW dengan kaum Aus dan Khazraj dari Madinah. Orang Ansar pula ialah orang Islam Madinah yang terdiri daripada kaum Aus dan Khazraj. Golongan ini membuka jalan untuk orang Islam Makkah berhijrah ke Madinah kerana kesediaan mereka memeluk Islam dan memberikan apa jua bantuan yang diperlukan. Peranan kedua-dua golongan ini dalam penyebaran dan mempertahankan Islam adalah amat penting dan besar sekali. Peranan golongan Muhajirin bermula sejak awal penyebaran Islam di Makkah manakala peranan Ansar hanya bermula apabila menandatangani Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah II.

Dalam usaha mempertahankan Islam, selama 13 tahun golongan Muhajirin telah mempertahankan keimanan dan ketaatan mereka terhadap ajaran Islam. Mereka ikhlas dan berani untuk terus berkorban jiwa raga mereka biarpun ditindas dan dizalimi oleh musyrikin Makkah. Tanpa keteguhan iman, kesetiaan dan keikhlasan pada peringkat awal ini, Nabi Muhammad SAW tentunya akan menghadapi pelbagai kesulitan yang serius. Keyakinan dan sokongan padu umat Islam di Makkah menyukarkan usaha-usaha golongan musyrikin. Penyebaran Islam dalam kalangan masyarakat Makkah disebarkan ke luar Makkah sehingga golongan yang tidak memeluk Islam pun sudah tahu sedikit sebanyak tentang Islam.

Kesabaran golongan Muhajirin menjadi factor penting kemenangan Nabi Muhammad SAW. Pengorbanan mereka menyebabkan penganut Islam yang lain semakin teguh keimanan mereka sehingga mendorong orang bukan Islam ingin tahu rahsia ajaran Islam itu sendiri. Langkah-langkah seperti pemulauan ekonomi dan sosial tidak dapat mematahkan semangat orang-orang Islam untuk terus menyebarkan dan mempertahankan Islam. Penghijrahan golongan Muhajirin ke Madinah merupakan satu peristiwa yang penting. Ia membantu menyebarkan Islam dalam kalangan penduduk Madinah sebelum kedatangan Nabi Muhammad SAW ke Madinah. Mereka merupakan guru-guru agama bagi golongan Ansar sebelum ketibaan baginda. Kesanggupan mereka berhijrah disanjung tinggi oleh Allah SWT dalam al-Quran. Mereka menyumbangkan harta kekayaan mereka untuk kepentingan penyebaran dan mempertahankan Islam. Kebanyakan harta kekayaan ini digunakan untuk membantu orang Islam yang lemah, miskin dan hamba yang hendak menebus diri daripada tuan-tuan yang sentiasa menyeksa mereka kerana memeluk Islam.

Semasa di Madinah, golongan Muhajirin berusaha menyebarkan dan mempertahankan Islam. Mereka terus mengorbankan jiwa raga dan material untuk kepentingan Islam. Walaupun menghadapi pelbagai kesempitan mereka terus menolong Nabi Muhammad SAW untuk menyebarkan Islam dalam kalangan penduduk di luar Madinah. Mereka juga rela berkorban nyawa untuk menentang musuh-musuh Islam. Mereka memainkan peranan penting dalam beberapa peperangan yang berlaku seperti Perang Badar, Perang Uhud dan Perang Tabuk. Golongan Muhajirin juga membantu Nabi Muhammad SAW dalam mentadbir Negara Islam Madinah yang baru didirikan. Mereka menjadi orang kanan baginda dalam pentadbiran dan pemerintahan seperti Abu Bakar dan Umar al-Khattab. Mereka juga membantu baginda menyelesaikan segala masalah politik, sosial dan pentadbiran yang timbul.

Peranan golongan Ansar pada zaman Makkah dalam mempertahankan dan penyebaran Islam tidaklah sebesar sumbangan golongan Muhajirin. Kesanggupan mereka menandatangani Perjanjian Aqabah I dan Perjanjian Aqabah II merupakan sumbangan mereka yang penting. Ketika perjanjian itu dibuat, baginda sangat-sangat perlukan bantuan dan sokongan yang disumbangkan oleh golongan Ansar. Sahabat-sahabat baginda dihantar ke Madinah sebagai guru agama. Tanpa kedua-dua perjanjian ini sudah tentunya Nabi Muhammad SAW akan menemui jalan buntu dan Islam tidak dapat diperkenalkan di Madinah.

Di Madinah, peranan orang Ansar sama pentingnya dengan golongan Muhajirin. Mereka telah menyumbangkan harta benda mereka untuk membantu orang-orang Muhajirin yang amat memerlukan bantuan. Mereka sanggup menjadikan orang Muhajirin sebagai saudara mereka. Bantuan yang dihulurkan oleh mereka dapat meringankan beban dan penderitaan orang Muhajirin. Golongan Ansar juga rela mengorbankan jiwa raga dan kekayaan mereka untuk menghadapi musuh-musuh Islam.

Golongan Ansar juga memainkan peranan penting dalam pemerintahan dan pentadbiran Negara Islam Madinah yang dipimpin oleh Rasulullah SAW. Mereka membuat pengakuan dalam Sahifah Madinah bahawa mereka sebagai orang Islam mempunyai kewajipan untuk membuat perkara-perkara yang baik. dengan kerjasama mereka, pemerintahan Islam di Madinah dapat dijalankan dengan sempurna. Mereka juga menjadi pegawai-pegawai tentera yang baik dan berjasa terhadap Islam. Golongan ini terus bekerjasama dengan golongan Muhajirin selepas kewafatan baginda untuk terus memelihara dan memperkuat Negara Islam.


Kesimpulannya, peranan golongan Muhajirin adalah lebih besar semasa di Makkah jika dibandingkan dengan orang Ansar tetapi semasa di Madinah kedua-dua golongan ini banyak menyumbang bakti di pelbagai bidang seperti politik, ekonomi, sosial, ketenteraan dan agama. Selepas kewafatan baginda, Negara Islam Madinah dan agama Islam terus dipelihara dan berkembang dengan pesat.

No comments: